Tuesday, April 1, 2014

1829) Mar 31, 2014 - KDRM tekad perangi rokok seludup

Headline: KDRM tekad perangi rokok seludup
Publication: BH
Date of publication: Mar 31, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 018
Byline / Author: Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Berhenti menjual atau berdepan hukuman! Itu peringatan tegas Kastam Diraja Malaysia (KDRM) kepada penjual dan pengedar rokok tidak sah.

Amaran itu bersekali dengan tindakan KDRM memperhebat Ops Outlet di seluruh negara bagi membanteras penjualan dan pengedaran rokok tidak sah sejak operasi berkenaan dilancarkan pada 5 Mac lalu.

Hasilnya, sejak 5 Mac lalu hingga ke hari ini, sebanyak 43,353 batang rokok tidak sah dirampas, manakala 22 peniaga berusia di antara 20-an hingga 50-an, ditahan dan segelintir direman.

Pada minggu pertama pelancaran operasi itu, KDRM menyerbu empat premis simpanan rokok tidak sah di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Sebanyak 16 lagi premis rokok tidak sah diserbu dalam operasi pada 25 dan 26 Mac lalu di Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Dalam operasi selama dua hari itu, pasukan khas KDRM yang ditubuhkan bagi membanteras rokok tidak sah menahan tiga peniaga berusia di antara 25 hingga 49 tahun, selain merampas 4,016 batang rokok tidak sah.

Pada 7 Mac, 18 Mac dan 20 Mac lalu, seramai 11 pengurus kedai dan pekedai runcit, dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan memiliki rokok tidak sah di Seremban, Kota Bharu, Bahau dan Klang.

Lumpuhkan pengedaran

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili, berkata usaha giat KDRM itu bertujuan memastikan rangkaian pengedaran runcit rokok tidak sah lumpuh.

Katanya, Ops Outlet yang akan berterusan sehingga Disember depan, membabitkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk polis serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dilaksana bagi mencapai sasaran untuk mengurangkan penjualan rokok tidak sah sebanyak 30 peratus tahun ini.

"Selain daripada operasi berterusan di seluruh negara, KDRM juga kini giat menyebarkan poster di kedai runcit mengandungi peringatan dan amaran kepada peruncit supaya tidak menjual rokok tidak sah," katanya.

Ops Outlet kali pertama dilancar pada Februari 2010, yang mana 35,648 premis diperiksa serta mencatatkan 6,440 kes dengan nilai rampasan mencecah RM59.05 juta.

Dalam ops itu, 4,744 orang ditahan dengan 752 didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Kastam 1967.

Sementara itu, persatuan pemborong dan peruncit pula berikrar bekerjasama dengan KDRM.

Presiden Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR), Amanullah Maideen, berkata 800 ahlinya bertekad bersama-sama KDRM memerangi kegiatan haram itu.

"Kita berharap KDRM mengadakan perjumpaan dengan semua persatuan pemborong dan peruncit di seluruh negara untuk memastikan operasinya mencapai sasaran ditetapkan," katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Noorul Hassan Saul Hameed, berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada ahli supaya tidak terbabit dengan penjualan rokok tidak sah dan membantu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan jenayah itu.

Lapor kepada pihak berkuasa

"Kegiatan melanggar undang-undang itu perlu ditangani dengan tuntas. Orang ramai juga tidak sewajarnya sekadar berpeluk tubuh dan terus membeli rokok haram yang membahayakan kesihatan, sebaliknya melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa," katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan meminta pengguna, khususnya beragama Islam melihat penjualan rokok tidak sah daripada perspektif lebih meluas.

"Rokok tidak sah atau seludup memang jauh lebih murah tetapi mempunyai pelbagai toksik membahayakan. Ia juga boleh menyebabkan ekonomi negara terjejas," katanya.

Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar, berkata biarpun pelbagai taktik digunakan penjual termasuk ada yang cuba berselindung dengan perniagaan lain, beliau percaya segala tipu helah itu tidak akan ke mana dan mudah dibongkar dan dihidu pihak berkuasa.

INFO

Ops Outlet

- Dilancarkan pada 5 Mac lalu dengan sasaran mematahkan rangkaian penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok tidak sah dengan menumpukan kepada peniaga dan peruncit.

- Peniaga yang didapati menjual rokok tidak sah boleh didakwa mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda sehingga 20 kali nilai rampasan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

- Rokok tidak sah diseludup oleh sindiket jenayah, jadi berhenti menyokong penjenayah dengan menghubungi 1800888855.

- Rokok tidak sah adalah dua kali ganda berbahaya dari segi kesihatan.

Link :

http://www.nib.com.my/archives/text/view/122907193?pos=2&hide_header=1&resultset=nstpec%3Awww/cross-search/search.php%3A_1396326902%3Aresultset

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...