Friday, April 18, 2014

1860) 13/4/2014 BERITA HARIAN - 200 PEMBELI RUMAH MUFLIS



Headline: 200 pembeli rumah muflis
Publication: BM
Date of publication: Apr 13, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 020
Byline / Author: Oleh Meor Ahmad Nasriin Rizal

Kuala Lumpur: Kira-kira 200 pembeli rumah diisytiharkan muflis dipercayai ditipu oleh sebuah perbankan Islam selepas hampir 47 projek rumah dibiayai bank berkenaan tidak wujud dan terbengkalai.

Walaupun rumah dibeli mangsa tidak wujud, bank itu tetap membuat tuntutan bayaran balik dengan jumlah dua kali ganda daripada harga asal.

Mangsa yang ingin memiliki rumah sendiri terpaksa berdepan hutang melebihi RM400,000 walaupun pihak bank tahu rumah dijanjikan pemaju sebelum ini tidak pernah wujud.

Lebih mengecewakan, mangsa bukan saja dibelenggu hutang yang terpaksa dibayar secara bulanan, malah tapak rumah dijanjikan hanya terdapat lalang dan timbunan kayu saja.

Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Kewangan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Sheikh Abd Kareem S Khadaied, berkata kes seperti ini sudah lama dibincangkan, tetapi bank itu tidak membuat sebarang tindakan, sebaliknya terus memaksa mangsa membuat bayaran melebihi dua kali ganda daripada harga asal rumah terbabit.

"Mangsa yang tidak mampu membuat bayaran disenarai hitam oleh bank itu, sekali gus menyukarkan mereka membuat pinjaman daripada institusi kewangan lain.

Pemaju tidak dapat dijejaki

"Mangsa penipuan ini kebanyakan terdiri daripada Bumiputera dan pemaju yang berjanji akan membina rumah juga tidak dapat dijejaki sehingga kini," katanya, di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, semalam.

Menurutnya, beliau bersama 50 mangsa penipuan di sekitar Lembah Klang membuat laporan polis di IPD Dang Wangi bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

Sheikh Abd Kareem berkata, hasil analisis yang dilakukan PPIM, 40,000 pemilik rumah seluruh negara sudah menjadi mangsa penipuan syarikat perbankan Islam dan berharap mereka boleh membuat laporan polis secepat mungkin.

"Jika diam dan tidak bertindak segera, mungkin mereka juga akan disenarai hitam oleh bank itu," katanya.

Amirudin Abd Wahab, 41, berkata dia yang membuat pinjaman rumah RM70,000 pada tahun 2002 kecewa apabila impian memiliki kediaman sendiri tidak kesampaian, sebaliknya dituntut membuat bayaran kepada bank itu berjumlah RM170,000.

"Masa hendak menjualnya dulu, wakil pemaju sendiri datang ke rumah dan memberi lakaran serta pelan rumah yang akan dibina, tetapi selepas enam bulan membuat bayaran, pemaju tidak dapat dihubungi. Curiga dengan tindakan itu, saya menyemak di pejabat tanah dan akhirnya diberitahu, syarikat pemaju berkenaan tidak wujud," katanya.

BERITA DARI :

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...