Friday, April 11, 2014

1844) 7 APRIL 2014 UTUSAN MALAYSIA - JABATAN INSOLVENSI PERLU LEBIH EFISIEN



KUALA LUMPUR 6 April - Usul penubuhan khidmat guaman secara percuma bagi membantu golongan muflis berdaftar dilihat sebagai satu langkah baik namun Jabatan Insolvensi negara perlu lebih efisien dalam mencari lebih banyak kaedah bagi melepaskan golongan muflis daripada kepompong tersebut.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, khidmat guaman percuma bagi membantu golongan muflis berdaftar itu sepatutnya sudah lama ditubuhkan.
"Inisiatif ini harus difikirkan sejak dahulu lagi supaya ramai mangsa tidak mengalami kesukaran berdepan dengan cabaran dan kesukaran apabila diisytiharkan muflis.
"Kita perlu sedar, hanya sebilangan kecil golongan muflis negara ini yang mampu melepaskan diri daripada kepompong berkenaan namun sebilangan besar masih diisytiharkan muflis sehingga kini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, Jabatan Insolvensi perlu mengambil serius perkara ini dan usulkan kepada kementerian supaya usaha mengurangkan golongan muflis dimasukkan ke dalam piagam pelanggan mereka.
"Kita boleh lihat tiada sebarang usaha atau perancangan dilakukan bagi membantu golongan muflis ini bebas daripada masalah tersebut dan kembali memberi manfaat kepada negara dari segi ekonomi, sosial dan sebagainya.
"Masyarakat pula sering berfikir seseorang itu sudah menemui jalan mati dan sudah tidak boleh dibantu apabila diisytiharkan muflis walaupun sesetengahnya adalah mangsa akibat menjadi penjamin dan teraniaya, sekali gus memberikan tekanan kepada golongan itu, "katanya.
Persepsi ini perlu diubah kerana mereka masih berpeluang kembali kepada kehidupan biasa sekiranya pihak jabatan berfikiran lebih kreatif dan memperbanyakkan cadangan bagi membantu mereka untuk melepaskan diri daripada belenggu muflis," katanya.
Semalam, Pengerusi Sekretariat Bebas Muflis, Datuk Sohaimi Shahadan menyarankan agar Jabatan Insolvensi Malaysia segera menubuhkan khidmat guaman secara percuma supaya dapat membantu golongan muflis yang berdaftar keluar daripada kepompong tersebut kerana mereka memerlukan kos yang tinggi untuk mendapatkan khidmat peguam.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...