Wednesday, May 29, 2013

748) MAJLIS PEGUAM JANGAN MENGUSUTKAN ISU PERKAUMAN

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Persatuan Peguam Muslim Malaysia yang meminta agar Majlis Peguam memberi tumpuan kepada kebajikan ahli-ahlinya. 

Penasihat Pewaris, Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, cadangan itu amat relevan untuk dilaksanakan kerana sejak akhir-akhir ini Majlis Peguam sering mencampuri urusan melibatkan isu perkauman dan keagamaan sesuatu kaum yang sepatutnya tidak dibincang dan dipertikai secara terbuka.
''Contoh yang paling jelas ialah penganjuran Forum Memeluk Islam yang boleh dianggap sebagai melampau sehingga menimbulkan satu provokasi di kalangan umat Islam pada waktu itu.
''Saranan yang dikemukakan oleh Persatuan Peguam Muslim itu perlu disambut baik oleh semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Malaysia,'' katanya dalam kenyataan daripada Sekretariat Pewaris di sini hari ini. 

Semalam, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang menyarankan Majlis Peguam dibubarkan jika ia hanya berminat membincangkan isu-isu politik negara.
Menurut Ahmad Zaki, Majlis Peguam sering mencampuri urusan Islam apabila bukan hanya bercakap tentang hak asasi Islam tetapi lebih kepada mempertikaikan prinsip Islam.
''Malah dalam banyak keadaan, Majlis Peguam cuba mengajar orang Islam tentang agama Islam contohnya mendesak orang Islam supaya memilih pandangan liberal,'' katanya.
Jelas beliau, pihaknya tidak mahu perkara yang sering dibangkitkan oleh Majlis Peguam sejak akhir-akhir ini bakal mencetuskan kemarahan di kalangan kaum di Malaysia sehingga mengulangi tragedi 13 Mei 1969.

''Sebagai masyarakat majmuk kita tidak memerlukan suara-suara sumbang yang mempertikaikan hak-hak dan keistimewaan sesuatu kaum seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sehingga mencabar ketenteraman dan kemakmuran negara,'' tambah Ahmad Zaki.
Katanya, kaum Melayu di negara ini juga sentiasa diingatkan agar bersatu padu dalam mempertahankan isu bangsa yang sering dipertikaikan oleh sesetengah pihak. 

''Ramai Melayu yang tersinggung dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu sejak akhir-akhir ini tetapi tidak ramai yang tampil untuk membela hak kaum Melayu.
''Masih belum terlambat lagi untuk kita membela hak dan keistimewaan kaum Melayu yang telah termaktub dan jangan biarkan agenda pihak tertentu memusnahkan keistimewaan yang telah diberikan kepada kita selama ini,'' katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...