Oleh Raja Puteri Nabiha
Raja Ayub
Kuala Lumpur: Tertipu dengan iklan
ramalan nombor ekor yang menjanjikan pulangan lumayan, seorang wanita kerugian
RM300,000 selepas mendakwa dipukau seorang sami.
Mangsa mendakwa sami terbabit memukau
menggunakan sehelai kain kuning yang dihantar melalui kiriman pos pada Disember
lalu menyebabkan mangsa akur dengan setiap arahannya termasuk membuat pinjaman
dengan ceti haram atau along.
Akibatnya kini mangsa hidup dalam
ketakutan selepas diburu 30 along meskipun hanya melakukan pinjaman dengan
seorang daripada mereka atas arahan sami terbabit.
Ahli keluarga mangsa yang hanya mahu
dikenali sebagai Faizal, 60, berkata, adik perempuannya yang bekerja di sebuah
salun kecantikan tertarik dengan tawaran iklan ramalan nombor ekor itu selepas
terbaca satu risalah yang ditinggalkan di rumahnya di Wangsa Maju, di sini.
Adik saya segera menghubungi nombor sami
berkenaan dan beberapa hari kemudian dia menerima satu bungkusan mengandungi
kain kuning yang diarahkan digosok di dahinya, katanya ketika ditemui di
Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini, semalam.
Menurutnya, adiknya terus menghubungi
seorang along dan membuat pinjaman sebanyak RM5,000.
Selepas itu, adik saya terus memasukkan
wang dipinjam ke dalam akaun 'sami' terbabit. Namun, ramai along menelefon adik
saya memberitahu wang sudah dimasukkan ke dalam akaunnya walaupun adik saya
tidak membuat pinjaman dengan mereka.
Bila adik saya gagal membayar hutang,
mereka (along) akan berkeliaran di luar salun sehingga operasi perniagaan adik
saya tamat, katanya.
Faizal yang risaukan keselamatan
keluarga adiknya bertindak membuat laporan di Balai Polis Sungai Way, di sini,
sebelum membuat pengaduan di PPIM minggu lalu.
Sementara itu, Penolong Unit Tindakan
Khas PPIM Yati Saharudin berkata, orang awam perlu berhati-hati sebelum
mempercayai apa-apa iklan berkenaan ramalan nombor ekor.
Mereka perlu memastikan kesahihan iklan
sebelum mempercayainya bulat-bulat, katanya.
No comments:
Post a Comment