Showing posts with label DR AHMAD ZAKI ISMAIL. Show all posts
Showing posts with label DR AHMAD ZAKI ISMAIL. Show all posts

Tuesday, May 6, 2014

1883)KOSMO - CATUAN HANYA HELAH MALUKAN NEGARA


Catuan hanya helah malukan negara


KUALA LUMPUR – Pengumuman penarikan balik catuan bekalan air yang membelenggu 6.7 juta penduduk di Lembah Klang semalam mencetuskan spekulasi bahawa tindakan kerajaan negeri memanjangkan tempoh catuan sebelum ini hanyalah helah politik bagi memburukkan imej Kerajaan Pusat semasa lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Penasihat ekonomi dan undang-undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, pelan catuan yang dilaksanakan kelihatan seperti mempunyai agenda tertentu kerana ia seolah-olah sengaja diteruskan sepanjang Obama berada di Malaysia.


Wednesday, November 27, 2013

1008) RENCANA UTUSAN MALAYSIA 25/11/13-Isu ESSCOM penanda aras keselamatan negara



DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia

NAMPAKNYA sekali lagi insiden jenayah rentas sempadan yang dipercayai dilakukan oleh warga asing menggoncang kredibiliti pihak berkuasa negara. Meskipun ia seolah-olah insiden terpencil tetapi impaknya kali ini lebih besar kerana melibatkan warga asing yang datang bercuti di pulau peranginan dalam negara kita.

Ada dua fakta yang tidak dapat kita nafikan dalam kejadian tersebut. Fakta pertama, adakah sempadan negara masih mudah dicerobohi dan kepulauan negara kita tidak dapat dijamin kedaulatannya dengan efektif meskipun sudah dilaksanakan langkah-langkah penambah baikan baru-baru ini.

Fakta kedua pula adalah kemampuan pihak risikan mendapat kerjasama orang ramai terutama mereka yang berkepentingan yang mendiami kawasan sekitar pantai perairan yang bersempadan dengan negara jiran.

Dalam ilmu pengurusan ada empat elemen utama digunakan untuk menterjemahkan sistem pengoperasian dan penambah baikan sesuatu gerak kerja. Eleman ini disebut sebagai 4M yang mengandungi Manusia (Man), Wang (Money), Mesin (Machine) dan Pendekatan (Method).

Kita lihat bahawa pihak berkaitan sudah menggerakkan keempat-empat elemen tersebut bagi tujuan berkaitan. Cuma apabila kejadian begini masih berulang maka proses penilaian semula perlu dilaksanakan secara lebih teliti. Sudah tentu ada ada kelemahan di mana-mana yang menyebabkan kejadian yang sama terus berulang.

Faktor utama yang perlu diberikan perhatian paling khusus adalah penglibatan manusia. Kerana tanpa manusia segala 'M' yang lain tidak akan dapat berfungsi dengan sempurna. Kerana manusia juga boleh melemahkan segala perancangan dan juga proses yang ingin dilaksanakan.

Apakah manusia dan jenis manusia yang bagaimanakah yang boleh diguna pakai untuk melaksanakan gerak kerja di sana juga mesti diteliti dengan cermat dan khusus.

Kumpulan-kumpulan manusia yang terlibat dalam penilaian teknikal membeli mesin peralatan, yang merancang methodologi dan yang membekalkan keperluan bagi tujuan-tujuan berkenaan malah pembuat keputusan juga adalah rangkaian-rangkaian yang akan menentukan kejayaan program tersebut.

Perkara lain yang juga melibatkan manusia adalah masalah kerjasama daripada operator pelancongan di kawasan terlibat bukan sesuatu yang rahsia lagi. Sikap sombong, bongkak malah enggan memberi laluan kepada anggota keselamatan sudah acap kali di dengar daripada anggota pasukan berkenaan. Jauh sekali memberi keistimewaan kepada mereka dengan sedikit rasa hormat meraikan mereka seperti selayaknya.

Bagi pihak berkenaan, kehadiran pasukan keselamatan negara seolah-olah satu ancaman kepada perniagaan mereka dan kehadiran mereka sememangnya tidak disenangi.

Mungkin fakta ini tidak diberikan perhatian oleh pihak perancang strategi sewaktu melaksanakan proses penambah baikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) tempoh hari. Kerana itu, segala pergerakan yang berlaku di tempat-tempat eksklusif berkenaan tidak dapat dipantau dengan cara yang lebih berkesan.

Perkara lain yang mungkin juga terlepas pandang adalah peralatan pengintipan, pengawasan dan pemantauan yang diguna pakai berkemungkinan tidak dinilai oleh penilai teknikal yang berpengalaman sehingga pembelian peralatan sekadar melepas batuk di tangga ataupun hanya daripada syarikat- syarikat tertentu yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan sahaja.

Sedangkan kita tahu bahawa peralatan keselamatan perlukan ciri-ciri khusus dan tidak semestinya dibekalkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu sahaja. Malah sepatutnya ia tidak dilaksanakan melalui tender terbuka dan terdedah spesifikasinya.

Kita melihat dengan jelas kesungguhan kerajaan dalam usaha memperbaiki keadaan termasuk hebahan media menunjukkan pembelian aset-aset keselamatan termasuk bot peronda, tempur dan sebagainya. Tetapi apakah peralatan berkenaan sesuai dalam memberikan perlindungan sewajarnya masih boleh dipertikaikan kerana ia tidak semestinya merupakan pilihan terbaik.

Mungkin pengalaman negara-negara lain dalam usaha mengawal sempadan mereka dengan cara yang lebih berkesan boleh diguna pakai di negara kita sekiranya diberikan peluang kepada beberapa cadangan daripada pembekal lain yang ingin memperkenalkan teknologi terbaru yang mana mungkin lebih efektif dari segi kewangan dan juga kemampuan teknikalnya.

Para pembekal baru ini sepatutnya diberikan peluang sewajarnya bagi mengemukakan cadangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Sebenarnya terdapat empat kunci utama yang diberikan perhatian khusus melalui pelaksanaan ESSCOM tempoh hari iaitu pengumpulan maklumat risikan, pengawasan pantai, pencegahan pencerobohan, dan menangkap penceroboh yang mana perlu dilaksanakan dengan menggunakan peralatan yang sesuai dan kos yang efektif.

Mungkin kita fikir bahawa menggunakan bot peronda adalah jalan pintas kerana tidak melibatkan belanja yang tinggi dan berfikir bahawa menggunakan pengawasan udara akan menelan belanja yang lebih besar meskipun lebih berkesan. Perkara sebeginilah kadang kala yang masih membelenggu pembuat keputusan hingga tidak mampu membuka minda dalam menilai sesuatu keputusan.

Akhirnya, hanya berharap kepada sekumpulan kecil pembekal yang menyembunyikan banyak fakta demi kepentingan peribadi yang semua orang arif mengenainya.

Di negara ini mungkin agak asing dengan penggunaan pelbagai pesawat ringan canggih yang mampu melaksanakan pelbagai tugasan sama ada untuk tujuan riadah, pengangkutan, dan tugas-tugas khusus seperti mencari menyelamat, penguatkuasaan dan pemantauan. Pesawat-pesawat seperti Auto Gyro Copter dan Revo Trike adalah antaranya yang sangat canggih, mudah dikendalikan dan kos efektif.

Peralatan kelengkapan untuk pesawat ini pula sangat moden dan bersesuaian untuk tujuan ESSCOM termasuk dengan peralatan Kamera Gimble yang mampu mengesan sehingga pergerakan sekecil biawak dan lebih kecil lagi termasuk yang disorok di tempat-tempat tersembunyi.

Dengan kos yang kurang daripada RM1 juta peralatan-peralatan pakej yang disertakan amat hebat sekiranya dibandingkan dengan pembelian peralatan demi kegunaan yang serupa di ESSCOM ketika ini. Pesawat ini juga boleh membawa peralatan persenjataan dan juga dilengkapi dengan ciri-ciri mudah dikemudi dan diselenggara serta tidak memerlukan latihan khusus yang lama untuk melakukan operasinya.

Malah kita tidak dapat menafikan bahawa pengawasan udara sangat efektif jika dibandingkan dengan pengawasan laut dan darat disebabkan pandangan dari udara lebih jelas dan luas. Malahan ia tidak tersekat dengan percikan air atau mudah dikesan oleh penceroboh. Kerana itu, sesuatu mesti dilakukan melalui tinjauan pengawasan udara supaya dapat memastikan perairan negara kita tidak menjadi padang permainan musuh, penyeludup dan juga pendatang asing sewenang-wenangnya.

Insiden-insiden mutakhir ini memberikan kesan sangat buruk terhadap imej dan kedaulatan negara kita di mata dunia. Pada masa yang sama mewujudkan rasa tidak selamat dan marah rakyat kita terhadap pemerintah yang difikir tidak mengambil langkah yang sewajarnya menjamin keselamatan mereka.

Rasanya, kata-kata sahaja tidak lagi memadai, Jaminan sahaja tidak akan dihiraukan. Apa yang rakyat negara ini perlukan adalah tindakan dan bukti nyata bahawa kita sudah memulihkan situasi semasa ke tahap terbaik lebih daripada yang sebelumnya.


Saturday, September 28, 2013

914) RENCANA UTUSAN MALAYSIA 27/9/13 : Antara agenda peruntukan dengan pelaksanaan



Oleh DR. AHMAD ZAKI ISMAIL

PERTAMANYA berita terhangat adalah janji Perdana Menteri memperuntukan berbilion-bilion ringgit lagi untuk diagihkan kepada bumiputera. Maka riuh-rendah pula para penyokong dan NGO menyokong bahawa Perdana Menteri sangat berani dan prihatin dengan nasib bumiputera. Tetapi benarkah itu semua?

Tidak perlu jauh meneliti tidak susah untuk mengkaji, tanya sahaja para peniaga dan usahawan bumiputera di mana sahaja anda temui. Tanya dengan ikhlas dan minta mereka jawab dengan penuh rasa tanggungjawab. Benarkah mudah mendapat bantuan, sungguhkah anda pernah memperolehi pinjaman atau tahukah bagaimana untuk mendapatkan modal pusingan.

Tentu anda semua terpinga-pinga apabila mendapati hampir 90 peratus tidak sampai kepada golongan sasaran berkenaan kerana setiap bantuan tersebut tidak tersalur kepada golongan ini.

Mungkin ramai orang yang teruja dengan statistik peruntukan yang disediakan, tidak kurang juga yang teruja dengan janji yang diberikan tetapi hakikatnya kepada para usahawan dan peniaga bumiputera tulen ia cuma satu lagi pengumuman bagi mengalih perhatian.

Sebenarnya ia sudah lama menghantui kumpulan usahawan IKS bumiputera selama ini. Mereka telah dijanjikan, mereka telah dimaklumkan dan sudah pun diuar-uarkan diberikan pelbagai peruntukan dana yang jumlahnya juga berbilion-bilion sebelum ini. Baik yang berupa pinjaman malah ada juga dalam bentuk geran.

Malangnya dana itu bukan sahaja tidak diperolehi tetapi dijadikan komoditi dagangan pula oleh agensi pentadbir dan pengurus yang dilantik oleh Kementerian Kewangan. Dengan jumlah dana yang begitu besar, tentunya agensi pengurus memperolehi banyak keuntungan jika disimpan selama mungkin dalam tabungan mereka.

Dengan itu, di hujung tahun sudah tentu penyata untung rugi mereka menunjukkan angka keuntungan yang besar dan Ketua Pegawai Eksekutif mereka mendabik dada kononnya mereka pandai berniaga.

Lebih buruk lagi, sesetengah kakitangan agensi yang mengurus dana seolah-olah sengaja mencari salah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menggagal dan melewatkan proses pengeluaran dana berkenaan.

Mereka bukan sahaja tidak bertindak sebagai pemudah cara tetapi lebih kepada penghalang kepada pemohon daripada mendapatkan fasiliti berkaitan. Akhirnya, saban tahun dana berkenaan tidak pun dikeluarkan ataupun hanya sebahagian yang terlalu kecil sahaja yang berjaya mendapatkannya.

Ramai antara mereka yang terdesak terpaksa beralih kepada peminjam wang berlesen dan ahlong bagi mengatasi masalah kecairan tunai terutama untuk kerja-kerja yang memerlukan pematuhan kepada jadual dan tarikh yang termaktub dalam kontrak.

Isu utama yang sebenarnya kepada para usahawan IKS bumiputera bukan ketiadaan dana tetapi dana berkenaan tidak sampai kepada mereka. Semak sahajalah tabung-tabung dana yang sudah diluluskan sebelum ini, melambak yang gagal diagihkan kepada golongan sasaran dengan alasan-alasan yang sengaja di reka dalam laporan tahunan agensi pemegang amanah yang diberikan tugas.

Sepatutnya Ketua Pegawai Eksekutif dan para pegawai kanan agensi berkaitan di kenakan tindakan tatatertib dan ditamatkan perkhidmatan mereka kerana kegagalan mereka inilah yang menyebabkan pencapaian sasaran DEB tidak mampu di capai menurut pelan asal dan semakin merosot muttakhir ini.

Adalah lebih baik kesemua agensi yang telah diberikan amanah ini dipantau dengan lebih ketat dan sentiasa berusaha dengan penuh komited mengagihkan dana yang diperuntukkan itu bagi menjamin segala agenda yang sudah di atur akan berupaya digerakkan dan mencapai matlamatnya.

Mungkin juga inilah di antara sebabnya ramai orang Melayu kelas pertengahan amat kecewa dengan pemerintah kerana merasakan mereka di abaikan meskipun banyak yang telah dilakukan kerajaan bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah.

Golongan pertengahan ini sebenarnya amat berpengaruh kerana menggaji ratusan pekerja dan pekerja berkenaan mempunyai ribuan pula ahli keluarga yang sudah tentu sedikit sebanyak berkongsi pendapat dengan majikan mereka.

Adalah kena pada masanya pada persidangan UMNO yang akan datang, isu ini dibincangkan dengan lebih teliti dan mendalam kerana tidak guna hujah yang berdegar-degar umpama ayam jantan yang berkokok nyaring namun ekornya masih bergelumang tahi.

Menjadi hero bukan dengan bijak berbahas tetapi kini orang Melayu dan bumiputera mahu melihat kesetiaan dan ketaatan mereka dibayar dengan imbuhan yang sepadan. Bukan sering di kesampingkan hingga muncul bidalan kera di hutan sentiasa disusukan.

Para aktivis NGO bumiputra sendiri turut merasa terkilan apabila suara mereka yang sering menyokong dan membantu meskipun kadang kala mengkritik secara membina masih dipandang sepi.

Semua ini sebenarnya bergerak seirama dan ia bukan secara terpencil. Kalau kita berlapang dada dan mengambil sedikit inisiatif untuk meneliti senario semasa maka kita tentu akan menyedari apa yang berlaku dewasa ini sebenarnya merupakan gerakan- gerakan terancang yang begitu teratur dilaksanakan satu persatu tanpa kita sedarnya jika kita memandang secara sambil lewa.

Sebaliknya, amat menyedihkan apabila kita melihat di sana sini, politikus masih bermain politik dan politiking tetap memainkan agenda cah keting. Kawan ditikam dari belakang, perebutan takhta dan kuasa masih berleluasa dan tidak mungkin boleh disembunyikan meskipun cuba ditutup dengan nyiru alaf baru senyum palsu dan dakapan tipu.

Inilah yang dikatakan kena buka mata, telinga akal dan minda sebagai orang yang diberi kuasa, baik ahli politik atau para pegawai pentadbir supaya mempunyai agenda dan saling bantu membantu dalam melaksanakannya demi kepentingan ummah. Kenapa kuasa politik dan pentadbiran yang berada di tangan kita, tidak mampu digunakan menjadi pelantar untuk mengukuhkan pengagihan kek ekonomi dan kekayaan negara secara adil dan sama rata.

Isu yang paling mudah kita lihat ialah bagaimana kes penguasaan pasaran iklan di sektor komersial telah tidak berupaya dimanfaatkan sebaik-baiknya sehingga orang lain melapah dengan lahap peruntukan untuk sektor berkenaan. Walhal media pembaca dan penonton sebenarnya dikuasai oleh yang berbahasa Melayu dan sudah tentu kalau mengikut justifikasi pengiklanan, kena mengutamakan media berbahasa ini sebab impak kepada pasarannya lebih meluas.

Malangnya, mereka yang membuat keputusan dipengaruhi oleh sentimen bodoh sombong seperti mana yang berlaku baru-baru ini sehingga sanggup memperlekeh bahasa dan bangsa sendiri dan mereka diletakkan di tempat yang begitu strategik dan tinggi.

Salah siapakah sebenarnya yang mewujudkan golongan kaduk naik junjung dan tidak sedar diri ini. Kalau kerajaan bertindak tegas dan serta-merta kepada golongan ini maka kaum bumiputera tentu merasa gembira dan terbela kerana mereka telah memberikan amanah kepada kerajaan Barisan Nasional untuk memperjuangkan nasib mereka bukan kepada golongan lupa diri itu.

Jangan apologetik lagi, masa berbasa basi sudah berlalu. Rakyat mahu keputusan drastik dan mampu melihat kerajaan membalas budi mereka. Hapuskan tohmahan bahawa kenaikan harga minyak baru-baru ini sebagai hadiah kerana mengundi BN. Buktikan bahawa bukan agenda minyak sahaja yang penting tetapi mengambil kembali kuasa, memposisikan kembali arah, menggerakkan semula agenda tanpa sebarang kompromi, itulah yang ingin dilaksana.

Semoga persidangan UMNO yang bakal datang bukanlah hanya sebagai gelanggang mengadu domba kuasa, merungkai persahabatan yang sudah sembuh daripada luka tetapi lebih kepada menggerakkan jentera pelaksana membalas budi rakyat jelata. Jangan susu yang diberi dibalas pula dengan tuba.

DR. AHMAD ZAKI ISMAIL

Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130927/re_07/Antara-agenda-peruntukan-dengan-pelaksanaan#ixzz2g7FYhSN8© Utusan Melayu (M) Bhd

907) RENCANA UTUSAN MALAYSIA 15/9/13: Antara subsidi produktif dengan tindakan proaktif



DALAM tempoh seminggu ini tentunya isu yang paling panas dan heboh diperkatakan adalah mengenai kenaikan harga minyak. Tentunya ia lebih kepada komentar yang negatif daripada positif dengan pelbagai macam alasan mengikut tahap kefahaman individu yang memberi komen berkenaan. Bila diteliti didapati lebih banyak yang mengikut perasaan daripada yang mengikut perkiraan.

Meskipun selalunya Persatuan Pengguna akan sedaya-upaya menyokong pengguna dalam banyak hal yang berkaitan kepentingan mereka lebih-lebih lagi berkaitan harga. Tetapi dalam isu kenaikan harga minyak ini biarlah kita kupasnya mengikut fakta secara lebih rasional supaya pengguna tidak kehilangan punca dan menganggap bahawa kerajaan tidak prihatin pula.

Semua pihak sepatutnya berlapang dada dengan isu kenaikan harga minyak ini kerana ia bukanlah sesuatu yang mampu dikekang oleh kita selamanya seperti mana harga komoditi lain. Kerana itu, kita perlu melihat sisi positif dengan melihat apa yang sedang dihadapi sekarang. Cuma apa yang diharapkan bahawa apabila komoditi ini mengalami penurunan, kerajaan patut turut menurunkannya seperti harga yang selayaknya. Janganlah apabila naik terlupa pula untuk turun sehingga kita menzalimi dan menafikan hak para pengguna dan mengambil kesempatan seolah-olah para pengguna tidak peka.

Tentunya dengan kenaikan harga minyak ini akan memberikan impak yang ketara sama ada besar atau kecil dan kesan rantaian hasil daripadanya. Di sinilah pula peranan NGO, pasukan penguatkuasa dan para pengguna bagi memastikan satu kerjasama boleh dilaksanakan dengan teratur agar tidak ada pihak boleh mengambil kesempatan serta memanipulasikan keadaan bagi menangguk di air yang keruh.

Sebagai pengguna bijak, kita perlu melihat secara teliti apa peranan sebenar subsidi dalam negara kita supaya mampu memahami pelbagai tindakan pemerintah yang sebenarnya tidak ada kaitan langsung dengan politik dan kepartian. Ia sebenarnya tindakan sejati demi menjaga kesejahteraan rakyat dan memantapkan ekonomi negara serta menjamin masa depan yang lebih gemilang.

Subsidi bahan api ini sebenarnya bukanlah subsidi paling produktif tetapi lebih bersifat kepada pengimbang kepada impak besar yang mungkin tidak mampu ditanggung oleh rakyat apabila berlaku kenaikan yang besar. Subsidi ini juga sebenarnya bukanlah dinikmati sepenuhnya oleh golongan sasaran kerana ia dinikmati oleh semua pihak dan sudah tentu yang paling banyak menggunakannya akan lebih banyak menikmatinya.

Secara congak mudah, tentulah pemilik kereta lebih banyak mendapat subsidi daripada pemilik motosikal, manakala pemilik kenderaan besar mendapat lebih banyak kadar subsidi daripada pemilik kenderaan kecil. Atau kita boleh katakan orang yang mempunyai lebih banyak kenderaan akan lebih beruntung dan mendapat lebih banyak subsidi daripada mereka yang hanya ada sebuah kenderaan sahaja.

Kerana itu, dalam melihat pelbagai komentar nampaknya ramai yang tidak memahami hakikat di atas dan melemparkan tuduhan bahawa kerajaan tidak prihatin ataupun kenaikan harga berkenaan sebagai hadiah daripada kerajaan yang kita undi. Sedangkan ia langsung tidak berkaitan dan tidak ada kena-mengena. Malahan apa yang sebenarnya berlaku adalah merupakan tindakan menstabilkan ekonomi dan mengekalkan daya saing negara agar kemakmuran yang kita nikmati dapat dikekalkan.

Berterusan
Sumber bahan api ini sebenarnya tidak perlu terlalu banyak diberikan subsidi atas alasan yang diterangkan di atas tadi. Sebaliknya, subsidi perlu ditumpukan kepada sektor-sektor yang lebih produktif seperti sektor pertanian, pengeluaran makanan, pendidikan dah kesihatan yang amat kritikal dan perlukan bantuan secara berterusan.

Sektor-sektor berkaitan sebenarnya boleh memberi kesinambungan berterusan terhadap usaha-usaha yang sedang dijalankan kerana setiap ringgit yang dilaburkan akan mendatangkan pulangan. Contohnya di sektor pendidikan apabila subsidi diberikan maka pendidikan serta kemahiran warga kerja tempatan dapat ditingkatkan. Jika subsidi ditambah untuk sektor kesihatan ia akan menghasilkan warga yang lebih sihat dan mampu meningkatkan produktiviti negara.

Jikalau terlampau banyak tumpuan diberikan dalam memberi subsidi kepada bahan api ini tentunya akan menjejaskan masa depan negara kerana subsidi ini tidak memberikan impak jangka panjang dan ia digunakan dengan kadar segera dan habis begitu sahaja. Oleh itu, tindakan mengurangkan subsidi ini adalah satu tindakan tidak popular tetapi realistik dan kena pada masa dan ketikanya.

Malahan sekiranya kita teliti dan perhalusi apabila harga bahan api meningkat, secara tidak langsung para pengguna terutamanya yang kurang berkemampuan akan beralih arah kepada pilihan lain untuk menggunakan pengangkutan. Tentunya ini akan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu dan kesesakan di jalan raya yang semakin memeningkan kepala dewasa ini.

Sekiranya masing-masing memandu kenderaan ke tempat kerja bukan sahaja perjalanan menjadi semakin perlahan, masalah tempat letak kereta, tol dan seumpamanya turut memeningkan kepala. Mungkin tiba masanya konsep perkongsian kereta satu ketika dahulu diperkenalkan semula. Malahan pilihan kenderaan awam seperti menyewa teksi secara bulanan juga boleh difikirkan.

Di mana ada kemahuan di situ tentu ada jalannya. Orang kata hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Secara mudah, kita perlu berfikir secara positif apabila berhadapan dengan situasi sebegini tentu ada rahmat di sebaliknya. Mungkin kita lupa bahawa satu ketika dahulu hubungan keluarga antara suami isteri dan anak-anak tidak lagi mesra kerana masing-masing memandu kereta sendiri ke tempat kerja. Kini sudah tiba masanya kita kembali kepada tradisi lama untuk menaiki kenderaan secara bersama dan mempunyai cukup masa untuk bermesra dan berbual sesama anggota keluarga sebelum sampai ke tempat kerja.

Pada orang muda, tentu tidak ada salahnya untuk mencari pilihan lain seperti bermotosikal, berbasikal, berkongsi kereta atau menaiki kenderaan awam yang sudah semakin baik perkhidmatannya. Malahan dengan sokongan semua, tidak mustahil negara kita juga mampu memberikan perkhidmatan pengangkutan awam bertaraf dunia kerana mendapat pulangan yang setimpal dengan pelaburan yang dikeluarkan.

Pada masa sama, mereka yang selama ini tidak perlu berkereta seperti golongan pelajar yang masih lagi mengharapkan bantuan ibu bapa ataupun mereka yang belum berkeluarga bolehlah menstruktur semula penggunaan kenderaan mengikut keperluan dan bukan menurut nafsu semata-mata.

Kenaikan harga petrol dan pengurangan subsidi ini bolehlah dianggap sebagai satu tindakan proaktif dalam mengimbangi situasi ekonomi dan sosial pada masa yang sama. Kita sudah terlalu lama hidup dalam zon yang amat selesa sehingga terlupa bahawa apa yang kita ada pada hari ini bukan sesuatu yang terjamin untuk selamanya.
Marilah kita membantu mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan menjadi pengguna bijak kerana hanya diri kita yang berupaya mencorakkan masa depan diri, keluarga dan negara.

Penulis adalah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

Friday, July 19, 2013

838) UTUSAN MALAYSIA 18/7/13-Apakah lagi penghinaan bakal menanti umat Islam?



AHMAD MOHAMAD RADZI
Kubang Pas, Kedah..

YA Allah Ya Tuhanku! Apa lagi ancaman dan penghinaan yang akan diterima oleh umatMu di tanah air ini? Bukan niat untuk menghasut tetapi rasa terbuku yang membuak-buak. Kalaulah negara ini negara yang tiada undang-undang, mahu rasanya mengambil tindakan di tangan sendiri terhadap Alvin Tan dan Vivian Lee itu.

Saya membaca dan menghayati coretan Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Ahmad Zaki Ismail di Utusan Malaysia kelmarin. Saya rasa semua orang Melayu dan Islam menyokong penuh pandangan beliau itu. Sudah tiba masanya kita bertindak untuk mempertahankan agama Islam yang suci ini. Tidak rela lagi melihat agama ini terus dihina dan dipijak-pijak.

Kita mengharapkan pihak-pihak yang diberi tanggungjawab untuk membela agama kita bertindak. Laporan demi laporan hanya sia-sia belaka malah sudah menjadi bahan lawak jenaka. Retorik 'siasat' dan 'kita akan bertindak' sudah menjadi ungkapan. Tetapi selepas itu 'dibebaskan'. Kerajaan dilihat tidak berani berbuat apa-apa.

Saya adalah kelompok rakyat yang menyokong dan pendukung kerajaan yang memerintah. Saya adalah pekerja parti yang sentiasa bertungkus-lumus bekerja untuk memenangkan parti setiap kali pilihan raya dengan harapan parti inilah yang akan menjadi pelindung dan akan sentiasa mempertahankan agama dan bangsa saya. Namun saya berasa seolah-olah harapan itu tidak tercapai.

Mungkinkah sudah sampai masanya kita bertindak sendiri? Mahukah lagi 'kita beronggeng, sedangkan gendang perang sudah dipalu?' Nampaknya api perlu dilawan dengan api. Persatuan-persatuan dan NGO-NGO Islam perlu bangun sekarang untuk mempertahankan agama suci kita.

Ingatkah kita lagi kepada peristiwa 'kepala lembu' suatu ketika dulu? Sekali berlaku terus diambil tindakan. Kenapa bila kita yang dihina, boleh dibiarkan begitu sahaja? Lihat apa telah terjadi dengan kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong tidak lama dulu. Akhirnya senyap begitu sahaja.

Kerajaan jangan terlalu banyak bertolak ansur? Kenapa dibiarkan agama kita dipijak, dihina dan terus dihina? Bertindaklah segera sebelum nasi menjadi bubur!



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130718/fo_03/Apakah-lagi-penghinaan-bakal-menanti-umat-Islam?#ixzz2ZT7TCgAH © Utusan Melayu (M) Bhd

835) RENCANA UTUSAN 16/7/13-ADAKAH KITA BACUL BIARKAN DIHINA ?


Saturday, July 13, 2013

823) RENCANA : ADAKAH KITA BACUL SEHINGGA MASIH MEMBIARKAN DIRI DI HINA

DR AHMAD ZAKI ISMAIL


Sekali lagi nampaknya Agama Rasmi Negara, kedaulatan Raja-Raja, dan kesabaran pribumi negara ini dihina begitu rupa. Kali ini oleh individu yang sepatutnya lebih beradab iaitu Wakil Vatican ke Malaysia yang bertaraf diplomat Archbishop Joseph Marino. Dengan megah, ego dan tanpa sebarang rasa bersalah  Marino yang baru sahaja dilantik dipetik sebagai berkata beliau amat bersetuju, menyokong penuh tuntutan itu memang sangat kena pada tempatnya sepertimana yang dipetik oleh Blog bigdog.dot.com  hari ini.

Ini merupakan rantaian penghinaan yang berlaku tanpa hentinya semenjak pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dengan hasrat menjadi lebih berhemah, transparen dan mesra rakyat.

Meskipun masih ada Akta Hasutan, kumpulan dalang di belakang semua ini tidak langsung merasa  gentar, takut atau merasa cuak untuk meneruskan agenda jahat dan busuk mereka sehingga sudah sampai ketahap naik tocang. Yang pelik, heran bin ajaib masih belum kelihatan sebarang  tindakan keras seperti yang diharapkan oleh ramai rakyat yang cintakan keamanan yang dikenakan kepada kumpulan berkenaan. Apakah perlu api dibalas dengan api, penghinaan dibalas dengan rusuhan sehingga merealisasikan impian ‘Arab Spring’ berlaku di negara ini baru pihak berkuasa akan memulakan tindakan.

Jangan lagi diuji dan disakiti perasaan umat Islam dan Melayu di negara ini dengan sengaja melengah-lengahkan tindakan. Kita khuatir, sudah ummat Islam dan orang Melayu sudah menjadi tepu dengan amarah dan kesabaran yang sentiasa tercabar. Kita takut sejarah amuk seperti yang dihadapi oleh penjarah JWW Birch bakal berulang atau tragedi berdarah 13 Mei, 1969 bakal berulang. Jangan nafikan fakta dan sejarah sepertimana kes pencerobohan di Lahad Datu tempohari yang selalu diremeh dan dipandang enteng sebelumnya meskipun sudah banyak petanda-petanda menunjukkan ianya bakal berlaku.

Mungkin ini tulisan yang terakhir dipaparkan atau dibaca oleh anda yang degil di luar sana. PPIM dan seluruh NGO Islam dan Melayu tidak lagi boleh berdiri sebagai badan bebas menegur, merayu dan menagih simpati lagi daripada pihak berkuasa. Kita perlu menggerak jentera dan mengatur agenda Ummah bagi menegakkan kesucian dan kemurnian agama kita daripada terus dipecacaikan di bumi kita sendiri.

Kita tidak lagi membuat himpunan untuk mengumpul Sejuta Ummah tetapi kini kita mengatur strategi untuk bertindak. Jangan pula menyalahkan Umat Islam kerana bertindak, kena tanyalah diri sendiri kenapa memalu gong perang kalau mengharap orang menari ronggeng. Tidak mungkin resepi tomyam boleh mendatangkan hasil kari kawah.

Kita juga mengambil kesempatan ini kepada ummat Islam dan kesemua orang Melayu dan bumiputra semua kembali bersatu tanpa mengira fahaman politik bagi meletakkan noktah kepada semua tindakan biadab dan kurang ajar mereka ini. Kita perlu ajar mereka mengenai apa yang dikatakan kebebasan beragama yang sebenarnya. Kita juga perlu membuktikan bahawa tunduk kita bukan untuk dipijak dan diam kita bukan bererti kita takut.

Kalau benar mereka yang beragama lain sungguh tulus dan Ikhlas, tidakkah anda semua melihat betapa negara Islam Malaysia ini begitu perihatin memberikan bukan sahaja kebebasan beragama, mengamalkan agama pilihan sendiri malah negara Melayu Bodoh Makan Babi ini turut memberikan bantuan keewangan kepada pelbagai institusi agama selain dari agama resmi negara ini.

Tidak cukup lagi, Parlimen Malaysia yang dikuasai oleh Barisan Nasional yang di dokong kemenangannya oleh orang Melayu Bangang Bodoh dan makan babi ini masih perihatin menarik semula pembacaan Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 berkaitan penentuan agama anak kerana dikhuatiri memberikan tanggapan yang salah kepada rakyat yang bukan beragama Islam di negara ini. Sedangkan, Kerajaan Barisan Nasional sepatutnya lebih bersimpati kepada mereka yang menyokong dan mendokong kemenangan mereka selama ini bukan sebaliknya.

Pemerintah memang cukup sedar bahawa dengan penarikan balik bacaan dan pembentangan mengenai Rang Undang-undang berkaitan sudah tentu menggores hati banyak pihak samada di dalam UMNO ataupun seluruh umat Islam yang lain. Malah, isu ini memang bakal menjadi topik terhangat yang bakal di dendangkan di dalam Pilihanraya kecil Besut yang akan menjelang tidak berapa lama lagi. Tentunya kerajaan Barisan Nasional telah mengambil risiko yang sangat tinggi mengambil tindakan berkenaan dan sanggup menerima impak daripada tindakan berkenaan.

Namun, bukan pujian dan kerjasama yang diperolehi oleh Barisan Nasional sebaliknya mereka sengaja ditikam dan dilemahkan secara berterusan seolah-olah memang termaktub dalam agenda menjatuhkan pemerintah yang ada sekarang sehingga berjaya.

Meskipun sudah ada Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang membenarkan seorang kanak-kanak yang belum mencapai usia 18 tahun memeluk Islam dengan kebenaran Ibu, Bapa atau Penjaga dan ia juga merujuk kepada Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara yang serupa tetapi masih mempunyai kawasan yang kelabu berkaitan penafsirannya secara jelas. Inilah yang sebenarnya yang ingin dilaksanakan melalui pembentangan Rang Undang-undang berkaitan baru-baru ini.

Walaupun niat sebenarnya adalah baik bagi mengurangkan pertelingkahan dan tidak merumitkan proses yang kadangkala turut melibatkan kos, isu keselamatan dan seumpamanya tetapi ia terpaksa di tarik demi menghormati pandangan mereka yang beragama Islam. Dari segi logik akal, sepatutnya Rang Undang-Undang berkaitan diteruskan pembacaannya sebab ia khusus merujuk kepada agama resmi negara dan dibincangkan demi kebaikan umat Islam sendiri. Orang lain tidak patut dipedulikan sebab kuasa ditangan kita.

Rupanya tidak begitu keadaan para pemimpin negara kita yang kadangkala terlebih perihatin kepada orang lain daripada penyokong mereka sendiri. Benar jugalah komentar sesetengah pihak bahawa kita terlebih menyusukan kera di hutan sehingga anak sendiri mati kelaparan. Sedang mereka yang di susukan itu menjadi kera besar ganas dan buas sehingga sanggup menuba semua kolam, pokok, padang dan tasik tempat kita mencari makan. Yang penting mereka mencapai matlamat peribadi dan kepentingan sendiri. Benar juga pepatah kita mengatakan bagai kera diberikan bunga inilah jadinya.

Adalah disarankan kepada pihak berkuasa dan diseru semua orang Melayu dan mereka yang beragama Islam kembalilah ke pangkal jalan. Mari kita buktikan siapakah sebenarna tuan di negara tercinta ini. Kita juga ingin mereka yang cintakan keamanan ajarlah kumpulan penyangak ini erti tata susila dan sopan santun. Tahu dan sedarlah harga diri supaya nanti jangan dikatakan lebih sudu daripada kuah. Malah mereka yang baru diberikan kuasa dalam kabinet yang baru dilantik ini supaya mencermin diri setiap hari supaya tidak tersasar daripada amanah yang diberikan.

Kerajaan yang sedia ada sudah puas merayu, berlembut dan mengamalkan tolak ansur. Rasanya tidaklah zalim kalau sekarang mula bertindak keras dan tegas demi memantap, memulih dan memperteguhkan kedudukan negara kita yang kini semakin hari semakin mereput dan goyah akibat dibaham oleh anasir yang tidak tahu di untung ini.

Meskipun kita berada di bulan Ramadhan yang mulia dan tidak digalakkan untuk berkeras dan bertegang urat leher mahupun bertengkar, tetapi tidak bermakna kita boleh membiarkan agama mulia kita ini dinoda begitu sahaja.

Dengan semangat Ramadhan, marilah kita aturkan agenda dan strategi disamping berdoa semoga Allah memperkasakan kita, memberikan kekuatan rohani dan jasmani bagi menentang musuh-musuhnya baik yang terang dan nyata ataupun yang tersembunyi dengan apa cara sekalipun. Kita bangun untuk mengempur dan melemahkan mereka dan menghalau mereka daripada bumi yang mesyahadahkan Allah dan nabi dan menjadikan Islam sebagai agama resminya.

DR. AHMAD ZAKI BIN ISMAIL


Friday, June 14, 2013

776) RENCANA : UTUSAN MALAYSIA 14 JUN 2013-Rumah sudah siap, bolehkah pahat berbunyi lagi?



Oleh DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
PILIHAN Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sudah terlaksana, keputusannya sudah diperolehi sama ada ia seperti yang diharapkan atau sebaliknya terpulanglah kepada kita menerimanya. Seperti pertandingan dan sukan memang ada kalah dan menang.

Yang kalah perlu sabar menerima kekalahan itu dan berusaha dengan lebih gigih jika ingin menjadi pemenang di lain kali pula. Sebaliknya, yang menang pula tidak perlu mendabik dada berhidung tinggi dan melupakan daratan.

Tertarik kepada kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baharu dilantik, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang pekat dengan nilai korporat dan menggunakan bahasa korporat juga iaitu bahasa Inggeris seratus peratus bahawa beliau mempunyai rencana 100 hari untuk dilaksanakan.

Tahniah diucapkan kepada beliau yang nampaknya amat memahami hasrat dan wawasan serta tujuan pelantikan beliau oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mungkin juga beliau beranggapan pemilihan beliau adalah kerana pencapaian hebat di Telekom dan Mayban kerana itu mendapat pengiktirafan untuk memperkenalkan strategi-strategi baru di JPM pula supaya JPM menjadi hebat dan perkasa.

Harapan semua kepada Datuk Seri yang muda belia ini tidak lupa bahawa pemilihan beliau sebenarnya adalah khusus mendokong agenda Bumiputera kerana beliau adalah orang Melayu. Itu jangan dilupa sebab kata bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad - ‘Melayu Mudah Lupa’.

Pada beliau mungkin bahasa itu biasa sahaja, tetapi kena mula perhatikan diri bahawa banyak orang di atas sana sudah lupa di mana bumi yang mereka pijak dan lupa pula di mana langit yang mereka junjung sehingga seperti kaduk pula jadinya.

Jangan fikir kita terlalu hebat sehingga lupa bahawa yang menghebatkan kita itu adalah rakyat marhaen yang berjuang memberikan kita peluang belajar, bekerja dan memperolehi jawatan sedemikian rupa. Jangan pula lupa bangsa dan keperibadian diri dan jangan pula tidak mempercayai bangsa sendiri.

Kita tahu prestasi itu penting tetapi kalau tidak diberikan peluang kepada bangsa sendiri untuk membuktikannya seperti yang berlaku sekarang sampai bila pun kita akan diperlekehkan. Bukan oleh bangsa asing tetapi bangsa sendiri juga termasuk mereka yang memperolehi jawatan sebab mereka berbangsa Melayu.

Kita sudahlah terpaksa bersaing, dihimpit dan dikenakan pelbagai sekatan untuk meneroka bidang-bidang yang sudah dikuasai oleh orang lain sekian lama. Lebih malang apabila industri yang sepatutnya dikuasai oleh kita sendiri juga kita serahkan kepada orang lain.

Contoh terbaik adalah industri makanan dan produk halal, perbankan Islam dan juga takaful. Sebagai orang nombor satu di Mayban satu ketika dahulu kita percaya bahawa Datuk Seri tidak lupa hikayat Mat Salleh yang menerajui industri Etiqa Takaful Berhad satu ketika tidak berapa lama dahulu. Kami yakin bahawa banyak iktibar boleh kita pelajari daripadanya.

Bayangkanlah seorang Mat Salleh boleh mengetuai industri Takaful agaknya hebat sungguh kefahaman beliau dalam ilmu dan agama Islam atau orang Islam tidak memahami agama mereka sendiri.

Selanjutnya, selepas Raja-raja kita dihina dituruti pula Rasulullah pula jadi sasaran mereka. Tidak lama dahulu mereka melempar najis mughallazah ke rumah dan surau serta masjid. Babi seolah-olah menjadi simbolik penghinaan berterusan dan menjadi ayat yang sungguh sedap digunakan untuk dipanggil kepada penghuni asal negara ini yang memberikan peluang kepada mereka untuk menjadi apa yang sedang mereka nikmati ketika ini.

Kalau kita sandarkan hanya disebabkan PRU-13 perkara ini berlaku sebenarnya kita sudah tersilap. Sebenarnya, ia bukan perkara baharu sebab semenjak sekian lama ia menjadi duri dalam daging dan api dalam sekam. Ia meredap sekian lama, ditimbus dan disimpan di bawah tikar oleh mereka yang berkuasa demi mengekalkan kuasa yang menjadi dambaan mereka.

Walhal, sekiranya ia diselesaikan awal lagi dengan tegas dan tidak terlalu apologetik sepertimana yang dilaksanakan oleh semua negara lain di dunia termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand maka semua ini tidak akan terjadi. Pendek kata, pepatah menyatakan sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Lihat sahaja apabila mereka mula bersuara, adakah mereka pedulikan betapa terhiris dan luka perasaan kita akibat kata nista yang mereka keluarkan. Apabila mereka memboikot dan melaksanakan perniagaan double standard terhadap kita, memonopoli, memperkenalkan kartel adakah kita melompat dan riuh rendah mengetengahkannya. Kita diam, kita membisu dan menelan dengan pahit umpama perkahwinan bermadu.

Agenda kumpulan ini sebenarnya tidak terhenti setakat ini. Percayalah pelbagai strategi dan langkah sudah dan sedang di susun. Pelaksanaannya juga pelbagai cara dan pelbagai ragam kerana itu kita perlu lebih peka dan sedia untuk mengorak langkah bagi menangkis serangan itu dengan persiapan yang rapi dan kesedaran yang tinggi.

Meskipun rumah sudah siap dibina, sudah mampu dipertahan dari gelora tetapi pahat di luar sana masih berbunyi. Cubaan hebat sedang menunggu, anai-anai, pijat dan pelbagai parasit sedang bersedia untuk menyelinap ke dalamnya andai kita tidak berusaha dan memahami agenda utama memperkukuh ummah dan bangsa.

Setiap detik terleka akan mengundang mala petaka kerana senario negara hari ini tidak lagi serupa sebagaimana hari-hari sebelumnya. Kita sepatutnya sudah belajar dan menginsafi duduk perkara dan bukannya terus hanyut dalam zon selesa.

Kepada yang diberikan amanah, perlu berlapang dada dan mengkaji arah tuju dan sumbangan yang perlu mereka berikan. Mereka ini sungguh bertuah kerana diberikan peluang tetapi jangan mensia-siakan peluang yang diberi hanya untuk kepentingan diri dan peribadi yang kononnya pencapaian hebat yang meletakkan mereka pada posisi ini.

Orang Melayu dan bahasanya sangat teliti teratur dan kemas. Banyak yang beralas dan berkias begitu juga amanah yang mereka beri selepas PRU-13 sangat jelas bahawa mereka tetap boleh bersatu meskipun hati mereka tersentuh dan selalu dilupakan. Namun bila perlu penyatuan, mereka tetap pilih UMNO dan Barisan Nasional.

Apakah itu mampu dibuktikan oleh orang lain juga. Tak perlu lagi minta belas ihsan, pulangkan kembali kehormatan bangsa kita, jalan terus ke depan biar dengan rasa bangga dan tidak pula rasa terhutang kepada sesiapa.

Ini kalilah kita ambil semula hak kita, ini kalilah juga kita belajar banyak perkara pada suatu masa dan ini kalilah kita memperbetulkan untuk dulu kini dan selamanya.

PENULIS ialah Penasihat Persatuan

Pengguna Islam Malaysia (PPIM).



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130614/re_07/Rumah-sudah-siap,-bolehkah-pahat-berbunyi-lagi?#ixzz2WAWisR8y

© Utusan Melayu (M) Bhd

773) UTUSAN MALAYSIA 13 JUN 2013-Cari punca secara serius

DR AHMAD ZAKI ISMAIL

KUALA LUMPUR 12 Jun - Kerajaan digesa mengkaji semula harga kereta keluaran negara ASEAN dengan kapasiti enjin di bawah 1,500cc di pasaran tempatan berikutan perbezaannya yang ketara dengan negara-negara jiran.

Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, perbezaan ketara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan duti eksais kenderaan di negara ini telah diselaraskan dengan negara ASEAN lain.

Tambah beliau, dasar tersebut sepatutnya dinikmati rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, bukannya syarikat pengeluar kereta.

"Kita bimbang sekiranya terdapat syarikat pengeluar kereta tidak bersikap jujur dengan menyembunyikan nilai sebenar kereta bagi mendapatkan keuntungan atas angin yang tinggi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini berhubung persoalan mengenai harga kereta popular yang dikeluarkan di negara-negara ASEAN dengan kapasiti enjin di bawah 1,500cc di pasaran tempatan yang sepatutnya lebih murah kerana duti eksais dikenakan kerajaan hampir setara dengan duti dikenakan di negara jiran, Thailand dan Indonesia.

Menurut sumber industri, secara purata duti eksais yang dikenakan ke atas model-model popular berkenaan adalah kira-kira 40 hingga 50 peratus di negara ini, manakala di Thailand dan Indonesia cukai sama antara 30 hingga 50 peratus.

Ahmad Zaki menambah, harga kenderaan itu juga sepatutnya lebih kompetitif memandangkan kebanyakan syarikat pengeluar kenderaan tersebut mempunyai kilang di negara-negara ASEAN.

"Dalam keadaan ini, pengeluar-pengeluar kenderaan tersebut mampu beroperasi dengan kos lebih rendah sekali gus membantu usaha penurunan harga kereta," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, selain harga kereta yang dikeluarkan negara ASEAN, kerajaan juga wajar menyemak semula cukai jualan kereta import yang masih boleh dikurangkan.

Katanya, usaha itu bagi membolehkan kenderaan import dijual lebih murah sekali gus memberi manfaat kepada pengguna selain merancakkan sektor automotif negara.

"Penurunan harga kereta import melalui pengurangan cukai jualan itu juga mampu melonjakkan daya saing syarikat automotif nasional, Proton dan Perodua dengan jenama-jenama kenderaan antarabangsa," katanya.

Menurut beliau, dasar itu boleh dilaksana secara berperingkat bagi mengelak memberi kesan negatif terhadap harga kenderaan terpakai, pemilik kereta yang masih berhutang dengan bank, pengusaha industri kereta terpakai dan institusi pembiayaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130613/dn_08/Cari-punca-secara-serius#ixzz2WAQyc98A

© Utusan Melayu (M) Bhd

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL