Saturday, September 28, 2013

914) RENCANA UTUSAN MALAYSIA 27/9/13 : Antara agenda peruntukan dengan pelaksanaan



Oleh DR. AHMAD ZAKI ISMAIL

PERTAMANYA berita terhangat adalah janji Perdana Menteri memperuntukan berbilion-bilion ringgit lagi untuk diagihkan kepada bumiputera. Maka riuh-rendah pula para penyokong dan NGO menyokong bahawa Perdana Menteri sangat berani dan prihatin dengan nasib bumiputera. Tetapi benarkah itu semua?

Tidak perlu jauh meneliti tidak susah untuk mengkaji, tanya sahaja para peniaga dan usahawan bumiputera di mana sahaja anda temui. Tanya dengan ikhlas dan minta mereka jawab dengan penuh rasa tanggungjawab. Benarkah mudah mendapat bantuan, sungguhkah anda pernah memperolehi pinjaman atau tahukah bagaimana untuk mendapatkan modal pusingan.

Tentu anda semua terpinga-pinga apabila mendapati hampir 90 peratus tidak sampai kepada golongan sasaran berkenaan kerana setiap bantuan tersebut tidak tersalur kepada golongan ini.

Mungkin ramai orang yang teruja dengan statistik peruntukan yang disediakan, tidak kurang juga yang teruja dengan janji yang diberikan tetapi hakikatnya kepada para usahawan dan peniaga bumiputera tulen ia cuma satu lagi pengumuman bagi mengalih perhatian.

Sebenarnya ia sudah lama menghantui kumpulan usahawan IKS bumiputera selama ini. Mereka telah dijanjikan, mereka telah dimaklumkan dan sudah pun diuar-uarkan diberikan pelbagai peruntukan dana yang jumlahnya juga berbilion-bilion sebelum ini. Baik yang berupa pinjaman malah ada juga dalam bentuk geran.

Malangnya dana itu bukan sahaja tidak diperolehi tetapi dijadikan komoditi dagangan pula oleh agensi pentadbir dan pengurus yang dilantik oleh Kementerian Kewangan. Dengan jumlah dana yang begitu besar, tentunya agensi pengurus memperolehi banyak keuntungan jika disimpan selama mungkin dalam tabungan mereka.

Dengan itu, di hujung tahun sudah tentu penyata untung rugi mereka menunjukkan angka keuntungan yang besar dan Ketua Pegawai Eksekutif mereka mendabik dada kononnya mereka pandai berniaga.

Lebih buruk lagi, sesetengah kakitangan agensi yang mengurus dana seolah-olah sengaja mencari salah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menggagal dan melewatkan proses pengeluaran dana berkenaan.

Mereka bukan sahaja tidak bertindak sebagai pemudah cara tetapi lebih kepada penghalang kepada pemohon daripada mendapatkan fasiliti berkaitan. Akhirnya, saban tahun dana berkenaan tidak pun dikeluarkan ataupun hanya sebahagian yang terlalu kecil sahaja yang berjaya mendapatkannya.

Ramai antara mereka yang terdesak terpaksa beralih kepada peminjam wang berlesen dan ahlong bagi mengatasi masalah kecairan tunai terutama untuk kerja-kerja yang memerlukan pematuhan kepada jadual dan tarikh yang termaktub dalam kontrak.

Isu utama yang sebenarnya kepada para usahawan IKS bumiputera bukan ketiadaan dana tetapi dana berkenaan tidak sampai kepada mereka. Semak sahajalah tabung-tabung dana yang sudah diluluskan sebelum ini, melambak yang gagal diagihkan kepada golongan sasaran dengan alasan-alasan yang sengaja di reka dalam laporan tahunan agensi pemegang amanah yang diberikan tugas.

Sepatutnya Ketua Pegawai Eksekutif dan para pegawai kanan agensi berkaitan di kenakan tindakan tatatertib dan ditamatkan perkhidmatan mereka kerana kegagalan mereka inilah yang menyebabkan pencapaian sasaran DEB tidak mampu di capai menurut pelan asal dan semakin merosot muttakhir ini.

Adalah lebih baik kesemua agensi yang telah diberikan amanah ini dipantau dengan lebih ketat dan sentiasa berusaha dengan penuh komited mengagihkan dana yang diperuntukkan itu bagi menjamin segala agenda yang sudah di atur akan berupaya digerakkan dan mencapai matlamatnya.

Mungkin juga inilah di antara sebabnya ramai orang Melayu kelas pertengahan amat kecewa dengan pemerintah kerana merasakan mereka di abaikan meskipun banyak yang telah dilakukan kerajaan bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah.

Golongan pertengahan ini sebenarnya amat berpengaruh kerana menggaji ratusan pekerja dan pekerja berkenaan mempunyai ribuan pula ahli keluarga yang sudah tentu sedikit sebanyak berkongsi pendapat dengan majikan mereka.

Adalah kena pada masanya pada persidangan UMNO yang akan datang, isu ini dibincangkan dengan lebih teliti dan mendalam kerana tidak guna hujah yang berdegar-degar umpama ayam jantan yang berkokok nyaring namun ekornya masih bergelumang tahi.

Menjadi hero bukan dengan bijak berbahas tetapi kini orang Melayu dan bumiputera mahu melihat kesetiaan dan ketaatan mereka dibayar dengan imbuhan yang sepadan. Bukan sering di kesampingkan hingga muncul bidalan kera di hutan sentiasa disusukan.

Para aktivis NGO bumiputra sendiri turut merasa terkilan apabila suara mereka yang sering menyokong dan membantu meskipun kadang kala mengkritik secara membina masih dipandang sepi.

Semua ini sebenarnya bergerak seirama dan ia bukan secara terpencil. Kalau kita berlapang dada dan mengambil sedikit inisiatif untuk meneliti senario semasa maka kita tentu akan menyedari apa yang berlaku dewasa ini sebenarnya merupakan gerakan- gerakan terancang yang begitu teratur dilaksanakan satu persatu tanpa kita sedarnya jika kita memandang secara sambil lewa.

Sebaliknya, amat menyedihkan apabila kita melihat di sana sini, politikus masih bermain politik dan politiking tetap memainkan agenda cah keting. Kawan ditikam dari belakang, perebutan takhta dan kuasa masih berleluasa dan tidak mungkin boleh disembunyikan meskipun cuba ditutup dengan nyiru alaf baru senyum palsu dan dakapan tipu.

Inilah yang dikatakan kena buka mata, telinga akal dan minda sebagai orang yang diberi kuasa, baik ahli politik atau para pegawai pentadbir supaya mempunyai agenda dan saling bantu membantu dalam melaksanakannya demi kepentingan ummah. Kenapa kuasa politik dan pentadbiran yang berada di tangan kita, tidak mampu digunakan menjadi pelantar untuk mengukuhkan pengagihan kek ekonomi dan kekayaan negara secara adil dan sama rata.

Isu yang paling mudah kita lihat ialah bagaimana kes penguasaan pasaran iklan di sektor komersial telah tidak berupaya dimanfaatkan sebaik-baiknya sehingga orang lain melapah dengan lahap peruntukan untuk sektor berkenaan. Walhal media pembaca dan penonton sebenarnya dikuasai oleh yang berbahasa Melayu dan sudah tentu kalau mengikut justifikasi pengiklanan, kena mengutamakan media berbahasa ini sebab impak kepada pasarannya lebih meluas.

Malangnya, mereka yang membuat keputusan dipengaruhi oleh sentimen bodoh sombong seperti mana yang berlaku baru-baru ini sehingga sanggup memperlekeh bahasa dan bangsa sendiri dan mereka diletakkan di tempat yang begitu strategik dan tinggi.

Salah siapakah sebenarnya yang mewujudkan golongan kaduk naik junjung dan tidak sedar diri ini. Kalau kerajaan bertindak tegas dan serta-merta kepada golongan ini maka kaum bumiputera tentu merasa gembira dan terbela kerana mereka telah memberikan amanah kepada kerajaan Barisan Nasional untuk memperjuangkan nasib mereka bukan kepada golongan lupa diri itu.

Jangan apologetik lagi, masa berbasa basi sudah berlalu. Rakyat mahu keputusan drastik dan mampu melihat kerajaan membalas budi mereka. Hapuskan tohmahan bahawa kenaikan harga minyak baru-baru ini sebagai hadiah kerana mengundi BN. Buktikan bahawa bukan agenda minyak sahaja yang penting tetapi mengambil kembali kuasa, memposisikan kembali arah, menggerakkan semula agenda tanpa sebarang kompromi, itulah yang ingin dilaksana.

Semoga persidangan UMNO yang bakal datang bukanlah hanya sebagai gelanggang mengadu domba kuasa, merungkai persahabatan yang sudah sembuh daripada luka tetapi lebih kepada menggerakkan jentera pelaksana membalas budi rakyat jelata. Jangan susu yang diberi dibalas pula dengan tuba.

DR. AHMAD ZAKI ISMAIL

Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130927/re_07/Antara-agenda-peruntukan-dengan-pelaksanaan#ixzz2g7FYhSN8© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL