Saturday, September 28, 2013

905) HARIAN METRO 16/9/13 (Berita Utama )- Isteri muda kena silat


Kuala Lumpur: "Dia berperwatakan seperti ustaz dan memberitahu mengahwini saya semata-mata kerana Allah, namun selepas berkahwin saya bukan saja dicaci hampir setiap hari, tapi turut dipukul, disepak dan kepala saya pernah dihentak dengan penukul."

Demikian rintihan seorang mualaf yang kini melarikan diri daripada bekas suaminya, seorang guru silat selepas tidak tahan dikasari, termasuk pernah dipukul lebih 20 anak murid lelaki itu kerana dituduh bersekedudukan dengan lelaki lain.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Hanim, 32, berkata, dia mengenali lelaki berusia 50-an itu pada 2005 kerana belajar pencak silat daripadanya.

"Ketika itu, saya baru bercerai dengan suami pertama dan tidak lama kemudian saya berkahwin dengannya selepas diyakinkan bahawa pernikahan kami hanya semata-mata kerana Allah SWT," katanya.

Hanim berkata, dia menjadi isteri kedua dan pada masa sama turut menguruskan aktiviti pertubuhan silat milik suaminya.

"Malangnya, kebahagiaan yang saya kecapi hanya sekejap...tak sampai setahun selepas berkahwin, sikap sebenarnya mula terserlah.

"Saya selalu diherdik, dipukul dan dicaci dengan panggilan seperti babi, anjing, beruk, syaitan dan celaka. Malah, dia juga sanggup memijak perut menyebabkan saya rasakan hidup ini tidak ubah seperti seorang hamba.

"Dia hanya berbuat baik dengan saya ketika ingin melakukan hubungan seks dan memberi alasan sudah tiada 'selera' dengan isteri pertama. Paling mengejutkan, dia sanggup meliwat biarpun saya merayu supaya tidak diperlakukan sedemikian," katanya.

Hanim ditemui Harian Metro selepas membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, di sini, semalam.

Menurutnya, guru silat itu juga menyuruh dia mengingati wajahnya setiap kali menunaikan solat menyebabkan dia curiga dengan amalan agama lelaki berkenaan.

"Dari segi nafkah zahir pula, saya hanya diberikan RM50 sebulan serta dibelikan pakaian baru hanya empat kali sepanjang lapan tahun berkahwin," katanya.

Tidak tahan diperlakukan begitu, Hanim meminta cerai dan lelaki itu bersetuju untuk berpisah secara baik pada Mac lalu, namun hanya beberapa hari kemudian lelaki itu merayu-rayu supaya mereka rujuk semula.

Bagaimanapun, Hanim tidak sanggup lagi menempuh penderitaan lalu membawa diri ke Selangor selepas perceraian mereka disahkan mahkamah.

"Dengan bantuan seorang rakan lelaki, saya pertama kali sampai ke Selangor dan menginap di sebuah hotel bajet.

"Ketika saya berehat di dalam bilik, sekumpulan lelaki muncul dan mendakwa mereka daripada jabatan agama sebelum terus menahan saya atas tuduhan khalwat, sedangkan ketika itu rakan saya berada di lobi hotel.

"Dalam perjalanan keluar dari bilik, saya lihat rakan saya itu cedera akibat dipukul sekumpulan tidak dikenali. Saya juga nampak bekas suami bersama anak murid silatnya turut berada di situ," katanya.

Hanim berkata, dia kemudian dibawa ke pejabat agama dan dibebaskan tidak lama kemudian.

"Sejurus dibebaskan saya terus ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan polis dan ketika itulah bekas suami datang bersama lebih 20 lelaki dan mereka membelasah saya hingga cedera di seluruh badan," katanya.

Sejak kejadian itu yang berlaku Mac lalu, mangsa mengambil keputusan untuk tinggal bersama seorang kenalan di Kuala Lumpur kerana tidak sanggup terus dikasari bekas suaminya.

Hanim berkata, dia kini tertekan dan sukar meneruskan kehidupan kerana semua barang-barang termasuk dokumen peribadi masih berada dalam simpanan bekas suaminya.

"Saya tak sangka begini akhirnya pengorbanan saya kepadanya. Apapun, sebagai seorang Islam, saya reda dengan takdir ini dan ia sedikit pun tidak menggoyahkan iman saya dengan agama Allah ini," katanya.

Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan dan akan merujuk kepada agensi berkaitan untuk pembelaan.


Katanya berdasarkan aduan berkenaan, PPIM mendapati wujud penganiayaan kepada Hanim yang tidak sepatutnya dilakukan kepada seorang saudara baru sepertinya.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL