Saturday, September 28, 2013

907) RENCANA UTUSAN MALAYSIA 15/9/13: Antara subsidi produktif dengan tindakan proaktif



DALAM tempoh seminggu ini tentunya isu yang paling panas dan heboh diperkatakan adalah mengenai kenaikan harga minyak. Tentunya ia lebih kepada komentar yang negatif daripada positif dengan pelbagai macam alasan mengikut tahap kefahaman individu yang memberi komen berkenaan. Bila diteliti didapati lebih banyak yang mengikut perasaan daripada yang mengikut perkiraan.

Meskipun selalunya Persatuan Pengguna akan sedaya-upaya menyokong pengguna dalam banyak hal yang berkaitan kepentingan mereka lebih-lebih lagi berkaitan harga. Tetapi dalam isu kenaikan harga minyak ini biarlah kita kupasnya mengikut fakta secara lebih rasional supaya pengguna tidak kehilangan punca dan menganggap bahawa kerajaan tidak prihatin pula.

Semua pihak sepatutnya berlapang dada dengan isu kenaikan harga minyak ini kerana ia bukanlah sesuatu yang mampu dikekang oleh kita selamanya seperti mana harga komoditi lain. Kerana itu, kita perlu melihat sisi positif dengan melihat apa yang sedang dihadapi sekarang. Cuma apa yang diharapkan bahawa apabila komoditi ini mengalami penurunan, kerajaan patut turut menurunkannya seperti harga yang selayaknya. Janganlah apabila naik terlupa pula untuk turun sehingga kita menzalimi dan menafikan hak para pengguna dan mengambil kesempatan seolah-olah para pengguna tidak peka.

Tentunya dengan kenaikan harga minyak ini akan memberikan impak yang ketara sama ada besar atau kecil dan kesan rantaian hasil daripadanya. Di sinilah pula peranan NGO, pasukan penguatkuasa dan para pengguna bagi memastikan satu kerjasama boleh dilaksanakan dengan teratur agar tidak ada pihak boleh mengambil kesempatan serta memanipulasikan keadaan bagi menangguk di air yang keruh.

Sebagai pengguna bijak, kita perlu melihat secara teliti apa peranan sebenar subsidi dalam negara kita supaya mampu memahami pelbagai tindakan pemerintah yang sebenarnya tidak ada kaitan langsung dengan politik dan kepartian. Ia sebenarnya tindakan sejati demi menjaga kesejahteraan rakyat dan memantapkan ekonomi negara serta menjamin masa depan yang lebih gemilang.

Subsidi bahan api ini sebenarnya bukanlah subsidi paling produktif tetapi lebih bersifat kepada pengimbang kepada impak besar yang mungkin tidak mampu ditanggung oleh rakyat apabila berlaku kenaikan yang besar. Subsidi ini juga sebenarnya bukanlah dinikmati sepenuhnya oleh golongan sasaran kerana ia dinikmati oleh semua pihak dan sudah tentu yang paling banyak menggunakannya akan lebih banyak menikmatinya.

Secara congak mudah, tentulah pemilik kereta lebih banyak mendapat subsidi daripada pemilik motosikal, manakala pemilik kenderaan besar mendapat lebih banyak kadar subsidi daripada pemilik kenderaan kecil. Atau kita boleh katakan orang yang mempunyai lebih banyak kenderaan akan lebih beruntung dan mendapat lebih banyak subsidi daripada mereka yang hanya ada sebuah kenderaan sahaja.

Kerana itu, dalam melihat pelbagai komentar nampaknya ramai yang tidak memahami hakikat di atas dan melemparkan tuduhan bahawa kerajaan tidak prihatin ataupun kenaikan harga berkenaan sebagai hadiah daripada kerajaan yang kita undi. Sedangkan ia langsung tidak berkaitan dan tidak ada kena-mengena. Malahan apa yang sebenarnya berlaku adalah merupakan tindakan menstabilkan ekonomi dan mengekalkan daya saing negara agar kemakmuran yang kita nikmati dapat dikekalkan.

Berterusan
Sumber bahan api ini sebenarnya tidak perlu terlalu banyak diberikan subsidi atas alasan yang diterangkan di atas tadi. Sebaliknya, subsidi perlu ditumpukan kepada sektor-sektor yang lebih produktif seperti sektor pertanian, pengeluaran makanan, pendidikan dah kesihatan yang amat kritikal dan perlukan bantuan secara berterusan.

Sektor-sektor berkaitan sebenarnya boleh memberi kesinambungan berterusan terhadap usaha-usaha yang sedang dijalankan kerana setiap ringgit yang dilaburkan akan mendatangkan pulangan. Contohnya di sektor pendidikan apabila subsidi diberikan maka pendidikan serta kemahiran warga kerja tempatan dapat ditingkatkan. Jika subsidi ditambah untuk sektor kesihatan ia akan menghasilkan warga yang lebih sihat dan mampu meningkatkan produktiviti negara.

Jikalau terlampau banyak tumpuan diberikan dalam memberi subsidi kepada bahan api ini tentunya akan menjejaskan masa depan negara kerana subsidi ini tidak memberikan impak jangka panjang dan ia digunakan dengan kadar segera dan habis begitu sahaja. Oleh itu, tindakan mengurangkan subsidi ini adalah satu tindakan tidak popular tetapi realistik dan kena pada masa dan ketikanya.

Malahan sekiranya kita teliti dan perhalusi apabila harga bahan api meningkat, secara tidak langsung para pengguna terutamanya yang kurang berkemampuan akan beralih arah kepada pilihan lain untuk menggunakan pengangkutan. Tentunya ini akan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu dan kesesakan di jalan raya yang semakin memeningkan kepala dewasa ini.

Sekiranya masing-masing memandu kenderaan ke tempat kerja bukan sahaja perjalanan menjadi semakin perlahan, masalah tempat letak kereta, tol dan seumpamanya turut memeningkan kepala. Mungkin tiba masanya konsep perkongsian kereta satu ketika dahulu diperkenalkan semula. Malahan pilihan kenderaan awam seperti menyewa teksi secara bulanan juga boleh difikirkan.

Di mana ada kemahuan di situ tentu ada jalannya. Orang kata hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Secara mudah, kita perlu berfikir secara positif apabila berhadapan dengan situasi sebegini tentu ada rahmat di sebaliknya. Mungkin kita lupa bahawa satu ketika dahulu hubungan keluarga antara suami isteri dan anak-anak tidak lagi mesra kerana masing-masing memandu kereta sendiri ke tempat kerja. Kini sudah tiba masanya kita kembali kepada tradisi lama untuk menaiki kenderaan secara bersama dan mempunyai cukup masa untuk bermesra dan berbual sesama anggota keluarga sebelum sampai ke tempat kerja.

Pada orang muda, tentu tidak ada salahnya untuk mencari pilihan lain seperti bermotosikal, berbasikal, berkongsi kereta atau menaiki kenderaan awam yang sudah semakin baik perkhidmatannya. Malahan dengan sokongan semua, tidak mustahil negara kita juga mampu memberikan perkhidmatan pengangkutan awam bertaraf dunia kerana mendapat pulangan yang setimpal dengan pelaburan yang dikeluarkan.

Pada masa sama, mereka yang selama ini tidak perlu berkereta seperti golongan pelajar yang masih lagi mengharapkan bantuan ibu bapa ataupun mereka yang belum berkeluarga bolehlah menstruktur semula penggunaan kenderaan mengikut keperluan dan bukan menurut nafsu semata-mata.

Kenaikan harga petrol dan pengurangan subsidi ini bolehlah dianggap sebagai satu tindakan proaktif dalam mengimbangi situasi ekonomi dan sosial pada masa yang sama. Kita sudah terlalu lama hidup dalam zon yang amat selesa sehingga terlupa bahawa apa yang kita ada pada hari ini bukan sesuatu yang terjamin untuk selamanya.
Marilah kita membantu mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan menjadi pengguna bijak kerana hanya diri kita yang berupaya mencorakkan masa depan diri, keluarga dan negara.

Penulis adalah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL