Sepatutnya isu yang berlegar sejak minggu lalu itu ditangani dan dipandang serius oleh pihak kerajaan. Walaupun ia bukan soal politik, tetapi ia melibatkan soal sensitiviti yang serius.
Sebagaimana diketahui, kerajaan yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia’ ini yang majoritinya dibarisi oleh Melayu Islam, hendaklah bersikap tegas berkaitan isu-isu yang menyentuh tentang agama dan kaum. Bukan sahaja bangsa India, Cina dan lain-lainnya, tetapi agamaIslam dan bangsa Melayu juga hendaklah dipedulikan.
Dalam isu yang tular, pihak kerajaan seakan tidak sigap dan tegas dengan apa yang digusarkan rakyat, terutamanya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Lagi menyakitkan, apabila ada Menteri yang mengatakan, kerajaan tidak boleh dipersalahkan dengan pengeluaran arak baru jenama tempatan itu. Sedangkan dalam segala hal sebelum ini, ketika menjadi parti yang tidak berkuasa, banyak sungguh mereka menuding itu ini, menyalahkan pihak kerajaan (pada waktu itu) walaupun ia bukanlah melibatkan kerajaan pun.
Lain dengan isu penjualan arak keluaran tempatan, jenama Timah yang diluluskan nama dan operasi penjualannya pada 5 Jun 2020 telah dilancarkan di media sosial pada 7 Oktober lalu.
Isu ini perlu dipandang serius kerana melibatkan soal sensitiviti agama dan kaum khususnya Melayu Islam. Apalah yang perlu dibanggakan hasil keluaran tempatan seperti ini jika ia sesuatu yang haram dan merosakkan bagi mereka yang beragama Islam.
Sangat bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang membidas tindakan itu kerana menyifatkan penggunaan nama berkenaan menyinggung perasaan umat Islam sambil menggesa penjualannya diharamkan.
Dr Zaharuddin Abd Rahman menerusi kenyataannya berkata, arak terbaru dikeluarkan dengan nama Timah perlukan tindakan segera pihak berkuasa kalau boleh menghalang pengeluaran dengan nama dan gambar seolah-olah orang berkopiah itu.
“Walaupun bukan, tapi boleh misleading, khususnya di musim ada minuman tanpa alkohol yang guna botol ala-ala botol arak, malah ada juga syarikat yang keluarkan tanpa alkohol…”
Tambahnya, apa rasionalnya mereka menggunakan nama-nama ala imej Melayu? Biasanya arak nama Perancis, Inggeris dan lain-lain.
“Letak la nama Speedy sempena nama pemilik gambar itu dan ambil gambar Captain Speedy tanpa penutup kepala tu, ada banyak boleh dijumpai. Kenapa ambil yang Captain Speedy bertutup kepala?” soalnya.
Macam ada niat kurang bagus oleh pengeluar. Normalisasi arak?
“Ini bukan isu politik kepartian, ini isu kita kena tegas dengan percubaan menghampirkan masyarakat kita dengan apa saja melibatkan arak kerana semua yang terlibat dengan arak menanggung dosa serta arak tidak membawa kecuali mudarat sahaja,” tegas Dr Zaharuddin.
Katanya lagi, tidak perlu sangka baik dalam hal arak, ia perlu segara halang (jika ada kuasa) bagi sadd al-zara'i (menyekat kerosakan). Jika ia keluaran luar negara, barulah boleh kita beralasan kerana di luar kuasa sepenuhnya.
Berikutan itu, baru-baru ini, Mufti Pulau Pinang, Dato’ Dr Wan Salim Mohd Noor telah mencadangkan agar arak itu ditukar nama kepada ‘Captain Speedy’ yang merujuk kepada gambar lelaki berjanggut dan slogan ‘1871 – The Legend of Captain Speedy’.
“Kerajaan perlu menyekat penggunaan nama Timah serta imej lelaki berkopiah itu, berikutan ia tidak sesuai digunakan dan sememangnya boleh mengelirukan umat Islam. Tidak kira apa pun makna di sebalik imej serta nama Timah itu, ini tidak sepatutnya dibiarkan!” kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Tegas beliau lagi, kerajaan perlu lebih tegas dan ada kesungguhan untuk membanteras isu ini dengan mengawal pengeluaran dan penjualan arak ini kerana ia akan memberi implikasi buruk selain mengelirukan pengguna khususnya anak muda beragama Islam.
Walaupun kononnya syarikat pengeluar arak tersebut telah menyatakan jenama Timah itu merujuk kepada bijih timah yang banyak di negara ini suatu ketika dulu, namun kenyataan itu perlu dibidas dengan serius dan tegas.
Seperti mana umat Islam selalu diingatkan agar peka dengan keadaan bangsa dan agama lain, sama ada dengan penggunaan bahasa atau perilaku, sewajarnya bangsa dan agama lain juga wajiblah berbuat demikian.
Sinonimnya, Timah adalah nama kepada orang Melayu dan Islam. Maka, hormatilah dan jangan sewenang dan semudahnya menggunakan untuk sesuatu yang tidak baik apalagi yang diharamkan seperti jenama arak ini.
Kerajaan tidak peka sentimen Melayu Islam?
Ada juga yang mengatakan, arak itu bukan hasil produk daripada kerajaan, arak itu sudahnlama wujud, arak itu diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri, arak itu untuk bukan Muslim, kenapa nak kalut?
Ternyata rakyat dapat melihat bahawa mereka mahu melepas tangan sahaja terhadap isu yang serius dan penting ini. Jawapan yang dilontarkan itu tidak sedikit pun memujuk reda perasaan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.
Bahkan ia sedikit pun tidak menyelesaikan masalah penjualan arak yang semakin berkembang sehingga imej Malaysia sebagai negara Islam tercemar dengan adanya arak produk tempatan yang dibawa ke peringkat antarabangsa, hingga memenangi anugerah arak terbaik 2020 dan 2021.
Tertarik dengan komentar Muhamad Nur Ismail menerusi Facebooknya, yang menggambarkan bahawa banyak isu yang bukan ‘produk’ kerajaan digunakan untuk menyalahkan kerajaan terdahulu (PH) termasuk isu arak yang sudah dijual kepada bukan Muslim sejak zaman Barisan Nasional (BN) lagi.
Tapi katanya, sentimen agama dan isu-isu itulah yang dimainkan supaya mereka dilihat seolah-olah mereka sahajalah pejuang Islam, manakala yang lain dianggap liberal dan barua DAP.
“Sekarang, Allah pulangkan balik satu persatu isu-isu yang dimainkan ke atas muka hangpa, supaya rakyat sedar, depalah yang duk lagakan orang Melayu dengan bukan Melayu, orang bukan Muslim dengan Muslim, sentimen kaum dan agama dimainkan selama 22 bulan,” luahnya.
Dalam pada itu menurutnya, rakyat khususnya umat Islam Malaysia ingin melihat apa perbezaan dan pendekatan kerajaan sekarang dalam menangani isu berkenaan.
“Kalau tak mampu nak robohkan kilang arak yang dah lama wujud sejak zaman Umno perintah, paling kurang, berilah arahan menteri berkaitan supaya produk dan jenama arak yang bernama Timah dan label lelaki yang seakan berkopiah dan berjambang (apa pun alasan tersurat dan tersirat) yang ada pada botol arak itu ditarik balik lesen penjualan, barulah ada beza. Setakat desak dan menggesa, baik jadi pembangkang balik,” tegasnya lagi.
Terus perjuangkan
Kerana ini sesuatu yang serius, sebagai rakyat yang peduli dan peka, kita perlu menggesa pihak kerajaan supaya menangani isu ini sehingga nama dan gambar pada botol itu ditukar.
Pihak kerajaan hendaklah bertegas dalam isu ini, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Bertindaklah dengan sesungguhnya sebagaimana sering dikatakan pihak tertentu ‘Islam Terancam’ dengan berkuasanya DAP.
Tetapi dalam kerajaan kini yang majoritinya adalah daripada parti-parti Melayu Islam, maka segeralah lakukan sesuatu demi menjaga maruah agama Islam dan bangsa Melayu.
Artikel oleh: Malaysia Dateline
ARAK: KERAJAAN TIDAK BOLEH DIPERSALAHKAN?
https://malaysiadateline.com/arak-kerajaan-tidak-boleh-dipersalahkan/
No comments:
Post a Comment