Wednesday, October 20, 2021

5991) ARAK TIMAH 'SIGNAL' ORANG ISLAM HARUS BERSATU - PPIM - GETARAN - 19/10/2021

 

KUALA LUMPUR - Tindakan sebuah syarikat tempatan menjenamakan arak dengan nama Timah adalah petunjuk bahawa umat Islam di negara ini harus bersama agar sensitiviti agama itu tidak dicabar pada masa akan datang.

Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, permuafakatan umat Islam perlu dikukuhkan bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya menggunakan perwatakan atau nama yang berkait dengan Islam.

“Kalau kita nak dihormati, kita perlu lakukan perkara-perkara yang orang bukan Islam akan hormat kepada kita.

“Jadi, umat Islam harus ambil kesempatan ini untuk ubah, sedarkan dan mantapkan amalan kita di samping mewujudkan kerjasama yang baik.

“Kalau kita ada kerjasama terbaik, InsyaAllah, orang akan sokong kita. Ini tidak, sesama kita umat Islam pun nak bergaduh.

“Pada masa sama, kerajaan juga perlu mengambil perhatian khususnya Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya kepada Getaran ketika ditemui di stesen PETRONAS Jalan Jelated di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Program Minyak Petrol Percuma bersama PPIM dengan kerjasama Yayasan Afdlin Shauki (YAS).

Mengulas lanjut Nadzim berkata, perkara seumpama itu jika tidak diambil serius, akan menyebabkan status Islam sebagai agama rasmi negara mudah diperlekehkan.

Turut hadir ialah pelawak dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki serta pelakon, Ako Mustapha.

Dalam pada itu, Afdlin selaku pengasas YAS ketika mengulas perkara tersebut berkata, sensitiviti sesama kaum perlu dijaga sebaiknya oleh semua pihak.

Menurut beliau, elemen penting itu harus diberikan perhatian agar semua pihak saling memahami serta menghayati sensitiviti agama secara kolektif.

“Pada pendapat saya, sebagai seorang umat Islam, arak tidak sepatutnya diuar-uarkan kepada umum.

“Untuk bangsa lain itu terpulang kepada mereka namun bila ada libatkan bunyi-bunyi orang Melayu, mungkin mereka akan rasa (menyentuh) berkenaan sensitiviti agama.

“Kita bukannya nak halang bangsa lain kerana itu adalah hak mereka namun kita semua perlu menjaga sensitiviti antara agama dan juga kaum,” katanya.

Terdahulu, pengeluaran wiski tersebut telah dikecam hebat oleh majoriti umat Islam di negara ini, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Ia turut menerima bantahan PAS, iaitu antara parti yang membentuk gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Minuman tersebut bukan sekadar menggunakan nama yang sinonim dengan masyarakat Islam tempatan, bahkan turut mengguna pakai imej seorang lelaki berkopiah dan berjanggut.


Artikel oleh: Getaran

ARAK TIMAH 'SIGNAL' ORANG ISLAM HARUS BERSATU - PPIM

https://www.getaran.my/artikel/semasa/13315/arak-timah-signal-orang-islam-harus-bersatu-ppim

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...