Showing posts with label ARAK CAP TIMAH. Show all posts
Showing posts with label ARAK CAP TIMAH. Show all posts

Friday, October 29, 2021

6008) JANGAN SEKADAR RETORIK, PASTIKAN NAMA ARAK TIMAH DITUKAR - PPIM - MAJORITI - 29/10/2021

 

KERAJAAN perlu bertegas dengan memastikan syarikat pengeluar arak jenama Timah benar-benar serius untuk menukar label jenama dan imej pada arak keluaran mereka, dan bukannya hanya cakap-cakap retorik sekadar menenangkan keadaan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana status Malaysia sebagai negara Islam akan terus diperlekeh jika tiada penegasan dalam isu terbabit.

"Isu nak tukar nama ni perlu serius dan dibuat betul-betul. Kena ada satu bentuk penegasan daripada pihak kementerian dan agensi penguatkuasaan.

“Kalau negara mahu terus dihormati, kerajaan perlu bertegas dalam perkara ini supaya yang orang bukan Islam akan hormat kepada kita apabila berada di negara ini," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pertukaran nama arak jenama Timah selepas wakil syarikat berkenaan bersetuju berbuat demikian dalam pertemuan mereka dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna baru-baru ini.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan pada Khamis berkata, syarikat berkenaan memohon tempoh selama satu minggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah mengenai penukaran nama dan imej pada label produk berkenaan.

Sementara itu, dalam nada kecewa, Nadzim berkata, dari sudut pandang yang lebih luas, kerajaan perlu lebih peka dan responsif dalam isu-isu sedemikian demi menjaga sensitiviti umat Islam.

"Mungkin ada beberapa lagi jenama-jenama produk haram menggunakan nama bercirikan kemelayuan di pasaran, yang kita terlepas pandang, jadi kena sensitif.

"Kalau bukan nama produk pun, ada lagi banyak benda lain yang kerajaan perlu peka contohnya amalan riba dan sebagainya. Ini pun umat Islam janganlah tutup sebelah mata," katanya.

Kontroversi arak berjenama Timah tercetus sejak minggu lalu selepas pemilihan nama itu hebat diperdebatkan di media cetak dan elektronik, malah ia turut menjadi topik hangat dibahaskan di Dewan Rakyat.


Artikel oleh: Majoriti

JANGAN SEKADAR RETORIK, PASTIKAN NAMA ARAK TIMAH DITUKAR - PPIM

https://majoriti.com.my/berita/2021/10/29/jangan-sekadar-retorik-pastikan-nama-arak-timah-ditukar--ppim?fbclid=IwAR39vCPONfNIvUJ3qLRoL5SYPV2TcoHRAg3csanqG6mW1vcuFvY68qmVLVw

Tuesday, October 26, 2021

6002) ARAK: KERAJAAN TIDAK BOLEH DIPERSALAHKAN? - MALAYSIA DATELINE - 22/10/2021

 

Sepatutnya isu yang berlegar sejak minggu lalu itu ditangani dan dipandang serius oleh pihak kerajaan. Walaupun ia bukan soal politik, tetapi ia melibatkan soal sensitiviti yang serius.

Sebagaimana diketahui, kerajaan yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia’ ini yang majoritinya dibarisi oleh Melayu Islam, hendaklah bersikap tegas berkaitan isu-isu yang menyentuh tentang agama dan kaum. Bukan sahaja bangsa India, Cina dan lain-lainnya, tetapi agamaIslam dan bangsa Melayu juga hendaklah dipedulikan.

Dalam isu yang tular, pihak kerajaan seakan tidak sigap dan tegas dengan apa yang digusarkan rakyat, terutamanya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Lagi menyakitkan, apabila ada Menteri yang mengatakan, kerajaan tidak boleh dipersalahkan dengan pengeluaran arak baru jenama tempatan itu. Sedangkan dalam segala hal sebelum ini, ketika menjadi parti yang tidak berkuasa, banyak sungguh mereka menuding itu ini, menyalahkan pihak kerajaan (pada waktu itu) walaupun ia bukanlah melibatkan kerajaan pun.

Lain dengan isu penjualan arak keluaran tempatan, jenama Timah yang diluluskan nama dan operasi penjualannya pada 5 Jun 2020 telah dilancarkan di media sosial pada 7 Oktober lalu.

Isu ini perlu dipandang serius kerana melibatkan soal sensitiviti agama dan kaum khususnya Melayu Islam. Apalah yang perlu dibanggakan hasil keluaran tempatan seperti ini jika ia sesuatu yang haram dan merosakkan bagi mereka yang beragama Islam.

Sangat bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang membidas tindakan itu kerana menyifatkan penggunaan nama berkenaan menyinggung perasaan umat Islam sambil menggesa penjualannya diharamkan.

Dr Zaharuddin Abd Rahman menerusi kenyataannya berkata, arak terbaru dikeluarkan dengan nama Timah perlukan tindakan segera pihak berkuasa kalau boleh menghalang pengeluaran dengan nama dan gambar seolah-olah orang berkopiah itu.

“Walaupun bukan, tapi boleh misleading, khususnya di musim ada minuman tanpa alkohol yang guna botol ala-ala botol arak, malah ada juga syarikat yang keluarkan tanpa alkohol…”

Tambahnya, apa rasionalnya mereka menggunakan nama-nama ala imej Melayu? Biasanya arak nama Perancis, Inggeris dan lain-lain.

“Letak la nama Speedy sempena nama pemilik gambar itu dan ambil gambar Captain Speedy tanpa penutup kepala tu, ada banyak boleh dijumpai. Kenapa ambil yang Captain Speedy bertutup kepala?” soalnya.

Macam ada niat kurang bagus oleh pengeluar. Normalisasi arak?

“Ini bukan isu politik kepartian, ini isu kita kena tegas dengan percubaan menghampirkan masyarakat kita dengan apa saja melibatkan arak kerana semua yang terlibat dengan arak menanggung dosa serta arak tidak membawa kecuali mudarat sahaja,” tegas Dr Zaharuddin.

Katanya lagi, tidak perlu sangka baik dalam hal arak, ia perlu segara halang (jika ada kuasa) bagi sadd al-zara'i (menyekat kerosakan). Jika ia keluaran luar negara, barulah boleh kita beralasan kerana di luar kuasa sepenuhnya.

Berikutan itu, baru-baru ini, Mufti Pulau Pinang, Dato’ Dr Wan Salim Mohd Noor telah mencadangkan agar arak itu ditukar nama kepada ‘Captain Speedy’ yang merujuk kepada gambar lelaki berjanggut dan slogan ‘1871 – The Legend of Captain Speedy’.

“Kerajaan perlu menyekat penggunaan nama Timah serta imej lelaki berkopiah itu, berikutan ia tidak sesuai digunakan dan sememangnya boleh mengelirukan umat Islam. Tidak kira apa pun makna di sebalik imej serta nama Timah itu, ini tidak sepatutnya dibiarkan!” kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Tegas beliau lagi, kerajaan perlu lebih tegas dan ada kesungguhan untuk membanteras isu ini dengan mengawal pengeluaran dan penjualan arak ini kerana ia akan memberi implikasi buruk selain mengelirukan pengguna khususnya anak muda beragama Islam.

Walaupun kononnya syarikat pengeluar arak tersebut telah menyatakan jenama Timah itu merujuk kepada bijih timah yang banyak di negara ini suatu ketika dulu, namun kenyataan itu perlu dibidas dengan serius dan tegas.

Seperti mana umat Islam selalu diingatkan agar peka dengan keadaan bangsa dan agama lain, sama ada dengan penggunaan bahasa atau perilaku, sewajarnya bangsa dan agama lain juga wajiblah berbuat demikian.

Sinonimnya, Timah adalah nama kepada orang Melayu dan Islam. Maka, hormatilah dan jangan sewenang dan semudahnya menggunakan untuk sesuatu yang tidak baik apalagi yang diharamkan seperti jenama arak ini.

Kerajaan tidak peka sentimen Melayu Islam?

Ada juga yang mengatakan, arak itu bukan hasil produk daripada kerajaan, arak itu sudahnlama wujud, arak itu diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri, arak itu untuk bukan Muslim, kenapa nak kalut?

Ternyata rakyat dapat melihat bahawa mereka mahu melepas tangan sahaja terhadap isu yang serius dan penting ini. Jawapan yang dilontarkan itu tidak sedikit pun memujuk reda perasaan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.

Bahkan ia sedikit pun tidak menyelesaikan masalah penjualan arak yang semakin berkembang sehingga imej Malaysia sebagai negara Islam tercemar dengan adanya arak produk tempatan yang dibawa ke peringkat antarabangsa, hingga memenangi anugerah arak terbaik 2020 dan 2021.

Tertarik dengan komentar Muhamad Nur Ismail menerusi Facebooknya, yang menggambarkan bahawa banyak isu yang bukan ‘produk’ kerajaan digunakan untuk menyalahkan kerajaan terdahulu (PH) termasuk isu arak yang sudah dijual kepada bukan Muslim sejak zaman Barisan Nasional (BN) lagi.

Tapi katanya, sentimen agama dan isu-isu itulah yang dimainkan supaya mereka dilihat seolah-olah mereka sahajalah pejuang Islam, manakala yang lain dianggap liberal dan barua DAP.

“Sekarang, Allah pulangkan balik satu persatu isu-isu yang dimainkan ke atas muka hangpa, supaya rakyat sedar, depalah yang duk lagakan orang Melayu dengan bukan Melayu, orang bukan Muslim dengan Muslim, sentimen kaum dan agama dimainkan selama 22 bulan,” luahnya.

Dalam pada itu menurutnya, rakyat khususnya umat Islam Malaysia ingin melihat apa perbezaan dan pendekatan kerajaan sekarang dalam menangani isu berkenaan.

“Kalau tak mampu nak robohkan kilang arak yang dah lama wujud sejak zaman Umno perintah, paling kurang, berilah arahan menteri berkaitan supaya produk dan jenama arak yang bernama Timah dan label lelaki yang seakan berkopiah dan berjambang (apa pun alasan tersurat dan tersirat) yang ada pada botol arak itu ditarik balik lesen penjualan, barulah ada beza. Setakat desak dan menggesa, baik jadi pembangkang balik,” tegasnya lagi.

Terus perjuangkan

Kerana ini sesuatu yang serius, sebagai rakyat yang peduli dan peka, kita perlu menggesa pihak kerajaan supaya menangani isu ini sehingga nama dan gambar pada botol itu ditukar.

Pihak kerajaan hendaklah bertegas dalam isu ini, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Bertindaklah dengan sesungguhnya sebagaimana sering dikatakan pihak tertentu ‘Islam Terancam’ dengan berkuasanya DAP.

Tetapi dalam kerajaan kini yang majoritinya adalah daripada parti-parti Melayu Islam, maka segeralah lakukan sesuatu demi menjaga maruah agama Islam dan bangsa Melayu.


Artikel oleh: Malaysia Dateline

ARAK: KERAJAAN TIDAK BOLEH DIPERSALAHKAN?

https://malaysiadateline.com/arak-kerajaan-tidak-boleh-dipersalahkan/

Monday, October 25, 2021

6000) ARAK 'TIMAH': STATUS NEGARA ISLAM MALAYSIA DIPERLEKEH - ISMAWEB - 23/10/2021

 

BANGI, 16 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Status negara Islam akan diperlekehkan sekiranya kerajaan tidak bertegas dalam menangani isu arak yang menggunakan jenama ‘Timah’.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini semua hanya akan memberi implikasi buruk selain mengelirukan keadaan sekali gus menjejaskan pentadbiran negara.

“Sudah tiba masanya, perlu kesungguhan dan ketegasan untuk membanteras isu ini termasuk mengawal pengeluaran dan penjualan arak di negara ini

“Kalau kita mahu terus dihormati, kita perlu bertegas tangani perkara ini supaya yang orang bukan Islam akan hormat kepada kita apabila berada di negara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang mahu kerajaan menghentikan pemberian lesen perniagaan arak.

Prof Ridhuan Tee berkata, adalah sangat tidak wajar bagi sebuah negara Islam menjadi pengeluar minuman keras, penternakan babi mahupun pusat judi terbesar di Asia.

Mengulas lanjut, Nadzim menegaskan dalam menangani masalah ini perlukan kesepakatan dan perbincangan bersama pengusaha terbabit.

“Mungkin kita perlu jelaskan dan hadkan apa yang boleh dilakukan dalam perniagaan melibatkan arak di negara kita memandangkan ini pentadbiran negara Islam.

“Seharusnya pengusaha juga perlu tahu batas-batas dalam menjaga sensitiviti masyarakat Islam di negara ini dan tahu ketetapan mereka berada di negara Islam,” katanya.

Beliau turut tidak menafikan pengeluaran arak berlaku secara berleluasa di negara ini adalah disebabkan oleh kelemahan penguatkuasaan.

“Walau apa pun alasan, kerajaan tidak perlu buang masa dan perlu menyekat pengunaan nama Timah serta imej lelaki berkopiah itu berikutan boleh mengelirukan umat Islam,” katanya lagi.

 

Artikel oleh: Ismaweb

ARAK 'TIMAH': STATUS NEGARA ISLAM MALAYSIA DIPERLEKEH

https://ismaweb.net/2021/10/23/arak-timah-status-negara-islam-malaysia-diperlekeh/

Wednesday, October 20, 2021

5991) ARAK TIMAH 'SIGNAL' ORANG ISLAM HARUS BERSATU - PPIM - GETARAN - 19/10/2021

 

KUALA LUMPUR - Tindakan sebuah syarikat tempatan menjenamakan arak dengan nama Timah adalah petunjuk bahawa umat Islam di negara ini harus bersama agar sensitiviti agama itu tidak dicabar pada masa akan datang.

Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, permuafakatan umat Islam perlu dikukuhkan bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya menggunakan perwatakan atau nama yang berkait dengan Islam.

“Kalau kita nak dihormati, kita perlu lakukan perkara-perkara yang orang bukan Islam akan hormat kepada kita.

“Jadi, umat Islam harus ambil kesempatan ini untuk ubah, sedarkan dan mantapkan amalan kita di samping mewujudkan kerjasama yang baik.

“Kalau kita ada kerjasama terbaik, InsyaAllah, orang akan sokong kita. Ini tidak, sesama kita umat Islam pun nak bergaduh.

“Pada masa sama, kerajaan juga perlu mengambil perhatian khususnya Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya kepada Getaran ketika ditemui di stesen PETRONAS Jalan Jelated di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Program Minyak Petrol Percuma bersama PPIM dengan kerjasama Yayasan Afdlin Shauki (YAS).

Mengulas lanjut Nadzim berkata, perkara seumpama itu jika tidak diambil serius, akan menyebabkan status Islam sebagai agama rasmi negara mudah diperlekehkan.

Turut hadir ialah pelawak dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki serta pelakon, Ako Mustapha.

Dalam pada itu, Afdlin selaku pengasas YAS ketika mengulas perkara tersebut berkata, sensitiviti sesama kaum perlu dijaga sebaiknya oleh semua pihak.

Menurut beliau, elemen penting itu harus diberikan perhatian agar semua pihak saling memahami serta menghayati sensitiviti agama secara kolektif.

“Pada pendapat saya, sebagai seorang umat Islam, arak tidak sepatutnya diuar-uarkan kepada umum.

“Untuk bangsa lain itu terpulang kepada mereka namun bila ada libatkan bunyi-bunyi orang Melayu, mungkin mereka akan rasa (menyentuh) berkenaan sensitiviti agama.

“Kita bukannya nak halang bangsa lain kerana itu adalah hak mereka namun kita semua perlu menjaga sensitiviti antara agama dan juga kaum,” katanya.

Terdahulu, pengeluaran wiski tersebut telah dikecam hebat oleh majoriti umat Islam di negara ini, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Ia turut menerima bantahan PAS, iaitu antara parti yang membentuk gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Minuman tersebut bukan sekadar menggunakan nama yang sinonim dengan masyarakat Islam tempatan, bahkan turut mengguna pakai imej seorang lelaki berkopiah dan berjanggut.


Artikel oleh: Getaran

ARAK TIMAH 'SIGNAL' ORANG ISLAM HARUS BERSATU - PPIM

https://www.getaran.my/artikel/semasa/13315/arak-timah-signal-orang-islam-harus-bersatu-ppim

5990) ARAK CAP TIMAH: KERAJAAN PERLU SEKAT PENGGUNAAN NAMA - HARIAN METRO - 18/10/2021

Kuala Lumpur: Kelemahan penguatkuasaan menjadi punca isu penjualan arak yang mengelirukan umat Islam semakin berleluasa.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu menyekat pengunaan nama Timah serta imej lelaki berkopiah itu berikutan ia tidak sesuai digunakan dan sememangnya boleh mengelirukan umat Islam.

"Tidak kira apapun makna disebalik imej serta nama Timah itu, ini tidak sepatutnya dibiarkan.

"Kerajaan perlu lebih tegas dan ada kesungguhan untuk membanteras isu ini dengan mengawal pengeluaran dan penjualan arak ini kerana akan memberi implikasi buruk selain mengelirukan pengguna khususnya anak muda beragama Islam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau mengulas isu penjualan arak keluaran tempatan, jenama Timah yang dilancarkan di media sosial, 7 Oktober lalu.

Mengulas lanjut katanya, penjualan arak itu jika dibiarkan akan mengelirukan pengguna khususnya umat Islam.

"Ia akan menjadikan masyarakat tidak sensitif kerana tiada kawalan dan penjualan ini seolah-olah dibenarkan.

"Jadi, pengguna juga perlu bijak membuat pilihan dan membuat semakan terlebih dulu dengan pihak bertauliah tentang setiap apa yang ingin dibeli di pasaran," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, menurut perkongsian di media sosial, tiada sebarang teori konspirasi membabitkan Whisky Timah kerana imej lelaki berjanggut panjang itu dipercayai bernama Tristram Charles Sawyer Speedy atau lebih dikenali sebagai Captain Speedy.

Berdasarkan laman sukarelawan Museum Negara (https://museumvolunteersjmm.com/2020/11/05/captain-speedy/), Captain Speedy yang bukan Muslim dan tiada darah Melayu itu pernah berkhidmat di Straits Settlement dan ditugaskan untuk membawa keamanan di kawasan perlombongan Timah di Larut sekitar Taiping selepas Perjanjian Pangkor mengakhiri Perang Larut.

Sebagai Pembantu Residen di Larut, beliau bekerjasama dengan pembesar Melayu seperti Orang Kaya Mantari Ngah Ibrahim.

Sementara itu, pengeluar produk arak berkenaan di laman rasmi Facebook mereka 15 Oktober lalu menjelaskan kekeliruan yang timbul dan pemilihan nama dan imej berkenaan berkait rapat dengan sejarah arak pada zaman British memerintah Tanah Melayu.

"Kami tidak berniat mencetuskan kontroversi. Lelaki pada label botol arak kami itu ialah Captain Speedy yang pernah memperkenalkan budaya wiski ketika itu.

"Oleh kerana beliau berkait rapat dengan sejarah perlombongan bijih timah, kami menggunakan nama Timah. Jadi, Timah dimaksudnya ialah (arak) untuk dinikmati orang bukan Islam berdasarkan pembelian alkohol had usia yang dibenarkan," katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

ARAK CAP TIMAH: KERAJAAN PERLU SEKAT PENGGUNAAN NAMA

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/10/767593/arak-cap-timah-kerajaan-perlu-sekat-penggunaan-nama

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL