Friday, October 1, 2021

5974) GTSM SERTAI PRU-15, MAHU AHLINYA JADI MENTERI PENGANGKUTAN - MALAYSIA GAZETTE - 30/09/2021

KUALA LUMPUR – Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin Dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) akan bertanding di empat kerusi Parlimen dan 14 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Keputusan itu dibuat selepas mendakwa kecewa terhadap kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan yang disifatkan gagal menyelesaikan masalah industri tersebut.

Yang Dipertua GTSM, Kamarudin Mohd Hussain berkata, gabungan itu mahu meletakkan calon dalam kalangan ahli gabungan tersebut dan menawarkan kepada parti-parti sedia ada memilih calon mereka.

Jika menang mereka mahu salah seorang calon GTSM dijadikan Menteri Pengangkutan.

Beliau mendakwa, keputusan itu dibuat selepas melihat menteri yang dipertanggungjawabkan menerajui Kementerian Pengangkutan semenjak kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan hari ini tidak membantu menyelesaikan masalah mereka.

Masalah itu berkaitan dengan pemandu teksi, pemandu e-hailing, pemandu lori yang kebanyakannya merupakan B40.

“Industri perkhidmatan dan pengangkutan darat negara adalah salah satu sektor yang selama ini telah menyumbang kepada keberhasilan negara namun malangnya sejak berpuluh-tahun lalu kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan dilihat sama sekali tidak mempunyai hati untuk menyelesaikan masalah apatah lagi menjaga kebajikan kami.

“Begitu juga dengan nasib rakan-rakan pemain industri yang lain seperti pemandu lori, bas, bas sekolah, e- hailing dan juga p-hailing. Kami telah berkhidmat di dalam industri perkhidmatan dan pengangkutan negara sejak pemerintahan kerajaan BN, PH, PN dan kini Keluarga Malaysia, kami tidak nampak seorang pun Menteri Pengangkutan yang dilantik dari orang politik mempunyai kesungguhan menyelesaikan masalah mahupun membela kebajikan kami,” katanya ketika sidang media hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.

Kata Kamarudin, sebanyak 15 surat telah diberikan kepada Kementerian Pengangkutan, namun langsung tidak mendapat perhatian dan respon positif daripada Kementerian Pengangkutan untuk membantu para pemain industri berkenaan.

“Sebagai contoh, kami telah menghantar 15 surat kepada menteri merayu simpati untuk mengadakan sesi perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu ketidakadilan di antara teksi dan e- hailing namun sehingga kini menteri mash berdolak-dalih dan tidak mahu mengadakan sesi perbincangan dengan kami.

”Menteri yang dilantik adalah orang politik, mereka tidak pernah pegang stering pun, jadi tidak pernah membantu kita,” tambahnya.

Tidak mengutamakan jawatan dan kedudukan, sebaliknya Kamarudin berkata, gabungan tersebut mahu meletakkan calon pada pilihan raya umum ke-15 untuk memastikan pemain industri di bawahnya terbela.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, banyak akta di  bawah Kementerian Pengangkutan yang dilihat menindas golongan pemandu teksi, e-hailing, lori dan bas.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua parti politik yang ikhlas memperjuangkan nasib rakyat untuk bekerjasama dengan GTSM pada pilihan raya akan datang sekaligus membantu menyelesaikan masalah para pemain industri tersebut.

Beliau memberi jaminan, golongan pemandu teksi, e-hailing, lori dan bas di bawah gabungan itu seramai lebih kurang tiga juta orang akan menyokong parti yang ingin membantu mereka. 

“Kita sahaja pemain industri ini dalam gabungan ini ada tiga juta belum termasuk keluarga kita. Kita jamin siapa yang mampu bantu kita letakkan calon, kita akan sokong parti itu,” tambah beliau.

Katanya lagi, GTSM akan mengadakan perhimpunan dengan pemain industri pengangkuta  seluruh  negara pada 2 Febuari 2022 untuk menyiapkan memorandum tuntutan yang akan diserahkan kepada semua parti politik.

“Kemudian kami akan menjemput semua presiden parti untuk menerima memorandum kami, kami akan beri tempoh satu bulan kepada semua pihak untuk membuat keputusan.

“Kita akan lihat pihak mana yang akan bersedia menerima tuntutan kami, kerana disitulah kita sebagai rakyat Malaysia dapat menilai sendiri pihak mana yang benar-benar tulus ingin menyelesaikan masalah rakyat khususnya masalah kami golongan B40 dari pemain industri perkhidmatan dan pengangkutan negara,” kata Kamarudin lagi.


Artikel oleh: Malaysia Gazette

GTSM SERTAI PRU-15, MAHU AHLINYA JADI MENTERI PENGANGKUTAN

https://malaysiagazette.com/2021/09/30/gtsm-sertai-pru-15-mahu-ahlinya-jadi-menteri-pengangkutan/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...