Showing posts with label GTSM. Show all posts
Showing posts with label GTSM. Show all posts

Friday, October 1, 2021

5975) NASIB PEMANDU TEKSI DIABAI, GTSM MAHU TANDING PRU15 - MALAYSIA POST - 30/09/2021

 

GABUNGAN Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) mahu meletakkan calon sendiri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bagi memperjuangkan nasib mereka yang diabaikan.

Yang Dipertua GTSM, Kamarudin Mohd Hussain, berkata pihaknya bercadang untuk bertanding empat kerusi Parlimen dan 14 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau bagaimanapun berkata senarai kerusi Parlimen dan DUN yang akan ditandingi mereka masih belum diputuskan, namun ia melibatkan kawasan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Yang di Pertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain dan Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan pada sidang media Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin & Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) berhubung kekecewaan kepada Kementerian Pengangkutan di Ali CafĂ© Tomyam Seafod Pantai Baharu hari ini.

Pada masa sama, katanya, pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada semua ketua parti politik bersama tuntutan dan menunggu maklum balas mereka untuk menangani isu melibatkan golongan pemandu teksi serta kereta sewa.

“Mana-mana parti yang memberi maklum balas terbaik untuk membantu kita, kita akan kerah kesemua ahli serta pemandu-pemandu di seluruh negara untuk menyokong parti terbabit,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Tambahnya, tujuan pihaknya memasuki dunia politik bukan untuk mengejar jawatan namun untuk menegakkan keadilan dan nasib mereka.

“Kami nak bertanding bukan kerana nak jawatan, kami nak perjuangkan nasib pemain industri,” katanya.

Yang di Pertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain dan Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan pada sidang media Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin & Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM).

Terdahulu, GTSM meluahkan rasa terkilan dan kecewa terhadap Kementerian Pengangkutan, kerana mengabaikan kebajikan dan permasalahan dihadapi mereka ketika berdepan pandemik Covid-19.

Kamarudin berkata, kira-kira 85 peratus pemain dalam industri perkhidmatan pengangkutan adalah daripada golongan B40, kini merasai keperitan hidup akibat terkesan dengan pandemik tersebut.

“Kami berasa sedih terhadap ketidaksungguhan ditunjuk semua Menteri Pengangkutan sama ada dari BN, PN, PH dan terkini Keluarga Malaysia bagi membela nasib kami.

“Mereka juga sering berdolak dalih dan enggan menyelesaikan masalah serta kebajikan kami sebagai pemain industri, selain tidak pernah diberi pembelaan sewajarnya oleh kementerian tersebut,” katanya.


Artikel oleh: Malaysia Post

NASIB PEMANDU TEKSI DIABAI, GTSM MAHU TANDING PRU15

https://malaysiapost.com.my/2021/09/30/nasib-pemandu-teksi-diabai-gtsm-mahu-tanding-pru15/

5974) GTSM SERTAI PRU-15, MAHU AHLINYA JADI MENTERI PENGANGKUTAN - MALAYSIA GAZETTE - 30/09/2021

KUALA LUMPUR – Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin Dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) akan bertanding di empat kerusi Parlimen dan 14 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Keputusan itu dibuat selepas mendakwa kecewa terhadap kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan yang disifatkan gagal menyelesaikan masalah industri tersebut.

Yang Dipertua GTSM, Kamarudin Mohd Hussain berkata, gabungan itu mahu meletakkan calon dalam kalangan ahli gabungan tersebut dan menawarkan kepada parti-parti sedia ada memilih calon mereka.

Jika menang mereka mahu salah seorang calon GTSM dijadikan Menteri Pengangkutan.

Beliau mendakwa, keputusan itu dibuat selepas melihat menteri yang dipertanggungjawabkan menerajui Kementerian Pengangkutan semenjak kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan hari ini tidak membantu menyelesaikan masalah mereka.

Masalah itu berkaitan dengan pemandu teksi, pemandu e-hailing, pemandu lori yang kebanyakannya merupakan B40.

“Industri perkhidmatan dan pengangkutan darat negara adalah salah satu sektor yang selama ini telah menyumbang kepada keberhasilan negara namun malangnya sejak berpuluh-tahun lalu kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan dilihat sama sekali tidak mempunyai hati untuk menyelesaikan masalah apatah lagi menjaga kebajikan kami.

“Begitu juga dengan nasib rakan-rakan pemain industri yang lain seperti pemandu lori, bas, bas sekolah, e- hailing dan juga p-hailing. Kami telah berkhidmat di dalam industri perkhidmatan dan pengangkutan negara sejak pemerintahan kerajaan BN, PH, PN dan kini Keluarga Malaysia, kami tidak nampak seorang pun Menteri Pengangkutan yang dilantik dari orang politik mempunyai kesungguhan menyelesaikan masalah mahupun membela kebajikan kami,” katanya ketika sidang media hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.

Kata Kamarudin, sebanyak 15 surat telah diberikan kepada Kementerian Pengangkutan, namun langsung tidak mendapat perhatian dan respon positif daripada Kementerian Pengangkutan untuk membantu para pemain industri berkenaan.

“Sebagai contoh, kami telah menghantar 15 surat kepada menteri merayu simpati untuk mengadakan sesi perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu ketidakadilan di antara teksi dan e- hailing namun sehingga kini menteri mash berdolak-dalih dan tidak mahu mengadakan sesi perbincangan dengan kami.

”Menteri yang dilantik adalah orang politik, mereka tidak pernah pegang stering pun, jadi tidak pernah membantu kita,” tambahnya.

Tidak mengutamakan jawatan dan kedudukan, sebaliknya Kamarudin berkata, gabungan tersebut mahu meletakkan calon pada pilihan raya umum ke-15 untuk memastikan pemain industri di bawahnya terbela.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, banyak akta di  bawah Kementerian Pengangkutan yang dilihat menindas golongan pemandu teksi, e-hailing, lori dan bas.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua parti politik yang ikhlas memperjuangkan nasib rakyat untuk bekerjasama dengan GTSM pada pilihan raya akan datang sekaligus membantu menyelesaikan masalah para pemain industri tersebut.

Beliau memberi jaminan, golongan pemandu teksi, e-hailing, lori dan bas di bawah gabungan itu seramai lebih kurang tiga juta orang akan menyokong parti yang ingin membantu mereka. 

“Kita sahaja pemain industri ini dalam gabungan ini ada tiga juta belum termasuk keluarga kita. Kita jamin siapa yang mampu bantu kita letakkan calon, kita akan sokong parti itu,” tambah beliau.

Katanya lagi, GTSM akan mengadakan perhimpunan dengan pemain industri pengangkuta  seluruh  negara pada 2 Febuari 2022 untuk menyiapkan memorandum tuntutan yang akan diserahkan kepada semua parti politik.

“Kemudian kami akan menjemput semua presiden parti untuk menerima memorandum kami, kami akan beri tempoh satu bulan kepada semua pihak untuk membuat keputusan.

“Kita akan lihat pihak mana yang akan bersedia menerima tuntutan kami, kerana disitulah kita sebagai rakyat Malaysia dapat menilai sendiri pihak mana yang benar-benar tulus ingin menyelesaikan masalah rakyat khususnya masalah kami golongan B40 dari pemain industri perkhidmatan dan pengangkutan negara,” kata Kamarudin lagi.


Artikel oleh: Malaysia Gazette

GTSM SERTAI PRU-15, MAHU AHLINYA JADI MENTERI PENGANGKUTAN

https://malaysiagazette.com/2021/09/30/gtsm-sertai-pru-15-mahu-ahlinya-jadi-menteri-pengangkutan/

5973) GABUNGAN PEMANDU PENGANGKUTAN AWAM DARAT TANDING PRU-15 - UTUSAN MALAYSIA - 30/09/2021

 

KUALA LUMPUR: Gabungan perkhidmatan dan pengangkutan awam darat menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi membolehkan masalah yang dihadapi pemain industri tersebut sejak sekian lama dapat diselesaikan. 

Jurucakapnya, Kamarudin Hussain berkata, perkara itu berikutan kesedihan dan kekecewaan di atas ketidaksungguhan semua Menteri Pengangkutan sama ada daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan kini Keluarga Malaysia dalam menyelesaikan masalah yang pihaknya hadapi.

Beliau berkata, industri perkhidmatan dan pengangkutan darat negara adalah salah satu sektor yang selama ini menyumbang kepada keberhasilan negara, namun malangnya sejak berpuluh tahun yang lalu kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan (MoT) dilihat sama sekali tidak mempunyai hati untuk menyelesaikan masalah apatah lagi menjaga kebajikan pemain industri itu. 

Katanya, atas kesedaran itu, pihaknya merasakan sudah tiba masanya untuk semua pemain industri bersatu hati memperjuangkan nasib sendiri dengan meletakkan wakil sendiri di MoT dan tidak lagi bergantung harap kepada orang politik yang tidak pernah merasai keperitan dan kepayahan pemain industri. 

“Kami akan mendraf satu memorandum bersama dengan mencatatkan segala masalah yang dihadapi, cadangan penyelesaian dan beberapa tuntutan termasuk bertanding di 4 Parlimen dan14 Dewan Undangan Negeri (DUN). 

“Pada 2 Februari 2022 nanti, satu perjumpaan pemain industri perkhidmatan dan pengangkutan negara diadakan secara besar-besaran yang bakal melibatkan pemandu teksi, lori, bas, e-hailing dan p-hailing. 

“Kami akan menjemput semua presiden parti untuk menerima memorandum kami dan memberi tempoh sebulan kepada mereka untuk membuat keputusan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Turut hadir, Persatuan Pengguna Islam (PPIM), wakil e-hailing, wakil persatuan bas dan wakil persatuan lori bagi turut sama-sama menyatakan sokongan terhadap pemain industri perkhidmatan dan pengangkutan awam darat.  

Menurut Kamaruddin, sebagai timbal balas, pihaknya akan menyeru kepada semua 1.2 juta rakan-rakan pemandu yang dianggarkan diseluruh negara supaya mengenepikan fahaman politik masing-masing dan mengutamakan perjuangan dengan berkempen dan memberi undi kepada pihak yang menerima tuntutan mereka. 

“Di situ kita akan lihat parti mana bersedia menerima tuntutan rakyat dapat menilai sendiri pihak mana yang benar-benar tulus ingin menyelesaikan masalah rakyat khususnya masalah kami golongan B40 dan pemain industri perkhidmatan dan pengangkutan negara,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini dianggarkan terdapat 50 hingga 60 masalah yang dihadapi oleh pemain industri tersebut merangkumi 22 masalah di teksi, empat di e-hailing, sembilan di bas sekolah dan pemain lain lagi. 

“Antaranya, kebajikan anak muda yang semakin ramai terkorban di atas jalan raya ketika bekerja sebagai penghantar makanan dan kadar tambang yang dibiarkan didagang secara tidak relevan oleh syarikat e-hailing, yang menindas pemain industri ini.

“Kami juga sudah menghantar 15 surat kepada Menteri Pengangkutan merayu simpati beliau mengadakan sesi perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu ketidakadilan di antara teksi dan e-hailing. 

“Namun sehingga kini masih berdolak dalih dan tidak mahu mengadakan sesi perbincangan dengan kami, begitu juga dengan nasib rakan-rakan pemain industri yang lain seperti pemandu lori, bas, bas sekolah, e-hailing dan p-hailing,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, keputusan yang dibuat menunjukkan adanya kesungguhan pemain industri memberi signal kepada parti-parti politik di luar sana bahawa mereka tidak dapat menerima sesuatu yang adil. 

Katanya, pemain-pemain industri itu sudah lama menghadapi pelbagai masalah sama ada tidak diselesaikan atau tidak berapa diselesaikan oleh kementerian berkenaan. 

“Jadi ini satu kesungguhan yang membawa suara hati rakyat dan saya harap segala keputusan yang dibuat adalah yang terbaik untuk menyelamatkan keluarga dan masyarakat. 

“Keputusan hari ini juga menunjukkan secara seriusnya mereka untuk menyelesaikan masalah, hasrat dan kekecewaan yang dihadapi mereka selama ini,” katanya.


Artikel oleh: Utusan Malaysia

GABUNGAN PEMANDU PENGANGKUTAN AWAM DARAT TANDING PRU-15

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/09/gabungan-pemandu-pengangkutan-awam-darat-tanding-pru-15/

Thursday, September 30, 2021

5972) AKTIVITI | MESYUARAT DAN SIDANG MEDIA BERSAMA GTSM - PPIM - 30/09/2021

Telah berlangsung hari ini mesyuarat dan sidang media bersama Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se'Malaysia (GTSM) yang membincangkan masalah berkaitan industri perkhidmatan dan pengangkutan darat negara.

Program telah diadakan di Ali Cafe Tomyam Seafood, Pantai Baharu Kuala Lumpur.

Turut hadir, Yang Dipertua GTSM, En Kamarudin Mohd Hussain dan Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi.


Saturday, January 23, 2021

5317) AKTIVITI | BANK NEGARA, GTSM DAN PPIM SERAH BANTUAN KEPADA PEMANDU-PEMANDU TEKSI - PPIM - 23/01/2021

Kolaborasi di antara Bank Negara Malaysia, Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin Dan Teksi Lapangan Terbang Se Malaysia (GTSM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memberi bantuan berbentuk makanan asasi dan juga barangan dari Gardenia kepada pemandu-pemandu teksi bagi meringankan sedikit bebanan semasa pandemik Covid-19 bertempat di Sasana Kijang, Bank Negara.

Turut hadir, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, En Abu Hassan Alshari Yahaya, Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi dan Yang di-Pertua GTSM, En Kamarudin Mohd Hussain.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL