KUALA LUMPUR: Gabungan perkhidmatan dan pengangkutan awam darat menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi membolehkan masalah yang dihadapi pemain industri tersebut sejak sekian lama dapat diselesaikan.
Jurucakapnya, Kamarudin Hussain berkata, perkara itu berikutan kesedihan dan kekecewaan di atas ketidaksungguhan semua Menteri Pengangkutan sama ada daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan kini Keluarga Malaysia dalam menyelesaikan masalah yang pihaknya hadapi.
Beliau berkata, industri perkhidmatan dan pengangkutan darat negara adalah salah satu sektor yang selama ini menyumbang kepada keberhasilan negara, namun malangnya sejak berpuluh tahun yang lalu kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan (MoT) dilihat sama sekali tidak mempunyai hati untuk menyelesaikan masalah apatah lagi menjaga kebajikan pemain industri itu.
Katanya, atas kesedaran itu, pihaknya merasakan sudah tiba masanya untuk semua pemain industri bersatu hati memperjuangkan nasib sendiri dengan meletakkan wakil sendiri di MoT dan tidak lagi bergantung harap kepada orang politik yang tidak pernah merasai keperitan dan kepayahan pemain industri.
“Kami akan mendraf satu memorandum bersama dengan mencatatkan segala masalah yang dihadapi, cadangan penyelesaian dan beberapa tuntutan termasuk bertanding di 4 Parlimen dan14 Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Pada 2 Februari 2022 nanti, satu perjumpaan pemain industri perkhidmatan dan pengangkutan negara diadakan secara besar-besaran yang bakal melibatkan pemandu teksi, lori, bas, e-hailing dan p-hailing.
“Kami akan menjemput semua presiden parti untuk menerima memorandum kami dan memberi tempoh sebulan kepada mereka untuk membuat keputusan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Turut hadir, Persatuan Pengguna Islam (PPIM), wakil e-hailing, wakil persatuan bas dan wakil persatuan lori bagi turut sama-sama menyatakan sokongan terhadap pemain industri perkhidmatan dan pengangkutan awam darat.
Menurut Kamaruddin, sebagai timbal balas, pihaknya akan menyeru kepada semua 1.2 juta rakan-rakan pemandu yang dianggarkan diseluruh negara supaya mengenepikan fahaman politik masing-masing dan mengutamakan perjuangan dengan berkempen dan memberi undi kepada pihak yang menerima tuntutan mereka.
“Di situ kita akan lihat parti mana bersedia menerima tuntutan rakyat dapat menilai sendiri pihak mana yang benar-benar tulus ingin menyelesaikan masalah rakyat khususnya masalah kami golongan B40 dan pemain industri perkhidmatan dan pengangkutan negara,” katanya.
Tambah beliau, sehingga kini dianggarkan terdapat 50 hingga 60 masalah yang dihadapi oleh pemain industri tersebut merangkumi 22 masalah di teksi, empat di e-hailing, sembilan di bas sekolah dan pemain lain lagi.
“Antaranya, kebajikan anak muda yang semakin ramai terkorban di atas jalan raya ketika bekerja sebagai penghantar makanan dan kadar tambang yang dibiarkan didagang secara tidak relevan oleh syarikat e-hailing, yang menindas pemain industri ini.
“Kami juga sudah menghantar 15 surat kepada Menteri Pengangkutan merayu simpati beliau mengadakan sesi perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu ketidakadilan di antara teksi dan e-hailing.
“Namun sehingga kini masih berdolak dalih dan tidak mahu mengadakan sesi perbincangan dengan kami, begitu juga dengan nasib rakan-rakan pemain industri yang lain seperti pemandu lori, bas, bas sekolah, e-hailing dan p-hailing,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, keputusan yang dibuat menunjukkan adanya kesungguhan pemain industri memberi signal kepada parti-parti politik di luar sana bahawa mereka tidak dapat menerima sesuatu yang adil.
Katanya, pemain-pemain industri itu sudah lama menghadapi pelbagai masalah sama ada tidak diselesaikan atau tidak berapa diselesaikan oleh kementerian berkenaan.
“Jadi ini satu kesungguhan yang membawa suara hati rakyat dan saya harap segala keputusan yang dibuat adalah yang terbaik untuk menyelamatkan keluarga dan masyarakat.
“Keputusan hari ini juga menunjukkan secara seriusnya mereka untuk menyelesaikan masalah, hasrat dan kekecewaan yang dihadapi mereka selama ini,” katanya.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
GABUNGAN PEMANDU PENGANGKUTAN AWAM DARAT TANDING PRU-15
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/09/gabungan-pemandu-pengangkutan-awam-darat-tanding-pru-15/
No comments:
Post a Comment