Friday, October 1, 2021

5975) NASIB PEMANDU TEKSI DIABAI, GTSM MAHU TANDING PRU15 - MALAYSIA POST - 30/09/2021

 

GABUNGAN Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) mahu meletakkan calon sendiri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bagi memperjuangkan nasib mereka yang diabaikan.

Yang Dipertua GTSM, Kamarudin Mohd Hussain, berkata pihaknya bercadang untuk bertanding empat kerusi Parlimen dan 14 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau bagaimanapun berkata senarai kerusi Parlimen dan DUN yang akan ditandingi mereka masih belum diputuskan, namun ia melibatkan kawasan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Yang di Pertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain dan Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan pada sidang media Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin & Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) berhubung kekecewaan kepada Kementerian Pengangkutan di Ali CafĂ© Tomyam Seafod Pantai Baharu hari ini.

Pada masa sama, katanya, pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada semua ketua parti politik bersama tuntutan dan menunggu maklum balas mereka untuk menangani isu melibatkan golongan pemandu teksi serta kereta sewa.

“Mana-mana parti yang memberi maklum balas terbaik untuk membantu kita, kita akan kerah kesemua ahli serta pemandu-pemandu di seluruh negara untuk menyokong parti terbabit,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Tambahnya, tujuan pihaknya memasuki dunia politik bukan untuk mengejar jawatan namun untuk menegakkan keadilan dan nasib mereka.

“Kami nak bertanding bukan kerana nak jawatan, kami nak perjuangkan nasib pemain industri,” katanya.

Yang di Pertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain dan Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan pada sidang media Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin & Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM).

Terdahulu, GTSM meluahkan rasa terkilan dan kecewa terhadap Kementerian Pengangkutan, kerana mengabaikan kebajikan dan permasalahan dihadapi mereka ketika berdepan pandemik Covid-19.

Kamarudin berkata, kira-kira 85 peratus pemain dalam industri perkhidmatan pengangkutan adalah daripada golongan B40, kini merasai keperitan hidup akibat terkesan dengan pandemik tersebut.

“Kami berasa sedih terhadap ketidaksungguhan ditunjuk semua Menteri Pengangkutan sama ada dari BN, PN, PH dan terkini Keluarga Malaysia bagi membela nasib kami.

“Mereka juga sering berdolak dalih dan enggan menyelesaikan masalah serta kebajikan kami sebagai pemain industri, selain tidak pernah diberi pembelaan sewajarnya oleh kementerian tersebut,” katanya.


Artikel oleh: Malaysia Post

NASIB PEMANDU TEKSI DIABAI, GTSM MAHU TANDING PRU15

https://malaysiapost.com.my/2021/09/30/nasib-pemandu-teksi-diabai-gtsm-mahu-tanding-pru15/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...