Monday, October 25, 2021

5998) KEMPEN PPIM KIBAR PANJI HITAM DAPAT REAKSI POSITIF WARAGANET - UTUSAN MALAYSIA - 23/10/2021

 

PUTRAJAYA: Walaupun tiada publisiti, usaha Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengajak umat Islam  mengibarkan Panji Hitam mula mendapat reaksi positif warganet.

Inisiatif berkenaan terbukti apabila hantaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terkenal itu menerima reaksi luar biasa dengan meraih lebih 4,000 tanda suka dalam masa enam jam.

Bendera tradisi yang pernah dikibarkan oleh Rasulullah SAW ketika hayat baginda itu dikenali sebagai Ar-Rayah dan Al-Liwa yang tertera dua kalimah syahadah dalam seni khat Thuluth.

Ia menyerupai bendera rasmi kerajaan Arab Saudi dengan tulisan warna putih dan berlatarkan hijau yang digunakan sejak tahun 1744, namun tanpa ada imej pedang di bahagian bawah.

Sebaliknya, PPIM menerusi hantaran dalam akaun sosial rasminya memaparkan tertera ayat berbahasa Melayu di bahagian bawah kalimah lafaz itu sebagai ‘Panji Hitam dari Ufuk Timur’.

Ini disusuli ayat ‘Demi Kedaulatan Agama, Bangsa & Tanah Air’ dengan imej Ketua Aktivis NGO berkenaan, Datuk Nadzim Johan atau mesra disapa Toqqi memegang bendera tersebut.

“Usah malu kibar bendera Panji Hitam sebagai tanda sebuah penyatuan ummah! Ayuh kita terus bersatu demi kedaulatan agama, bangsa dan tanah air tercinta!” kata hantaran tersebut,” kata persatuan itu. 

Juga disebut sebagai Ar-Rayah Al-Uqab atau Panji Helang, ia bagaimanapun jauh berbeza daripada bendera digunakan kumpulan militan Daesh atau pun rangkaiannya di seluruh dunia.

PPIM menambah, bendera yang diperbuat daripada material kain lembut jenis pongee itu ditawar NGO tersebut dengan berukuran lebar 60 sentimeter dan panjang 120 sentimeter.

Difahamkan, kempen pengibaran panji Nabi Muhammad SAW itu susulan pelbagai isu panas kebelakangan ini menyentuh sensitiviti umat Islam dan mencabar kesucian agama tersebut.

Terbaharu, penjualan minuman keras dengan jenama berbaur Islam iaitu Timah dan Omar oleh syarikat arak bukan Islam tempatan yang didakwa sebagai cara bentuk penghinaan tersirat. 

“Molek juga digantung di rumah masing-masing tanda kita mencintai perjuangan Rasulullah SAW,” tulis netizen bernama Mohd. Nordin Shari dalam ruangan komen di laman sosial PPIM.

“Boleh kibar, tetapi perlu diiringi akhlak yang baik, bukan tunjuk angkuh, nanti bawa pula fitnah kepada agama,” ulas seorang lagi warganet tempatan dengan nama samarannya Lee Duan.

“Saya mencadangkan supaya dibuat saiz bendera kecil macam bendera mini Jalur Gemilang dan boleh dipasangkan di cermin kereta,” kata pengguna media sosial bernama Hasrol Barsir.

“Alhamdulillah, jika semakin ramai yang mengibarkan kelak, maka ia lebih menzahirkan syiar Islam kerana ini bendera Rasulullah SAW dan bendera kita umat Islam,” luah Abu Hafiz.


Artikel oleh: Utusan Malaysia

KEMPEN PPIM KIBAR PANJI HITAM DAPAT REAKSI POSITIF WARAGANET

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/10/kempen-ppim-kibar-panji-hitam-dapat-reaksi-positif-warganet/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL