Kuala Lumpur: Yakin halal hanya berpandukan kepada pemakaian tudung. Itu antara contoh aduan diterima Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai kurangnya ilmu pengetahuan masyarakat di negara ini berhubung isu halal.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, ia adalah antara kelemahan pengguna yang tidak mahu mengambil tahu sesuatu isu berkaitan termasuk aspek halal dan kebersihan.
"Ada yang berpandukan tudung dipakai pekerja premis untuk mengesahkan sesuatu produk itu halal.
"Tengok pakai tudung saja, dia terus kata halal, sedangkan kita mempunyai pensijilan halal yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Ini yang perlu dilihat, ia tidak boleh diambil mudah," katanya ketika menjadi tetamu Rancangan My Halal yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook TV Jakim hari ini.
Dihoskan Ustaz Mohd Amri Abdullah, program itu turut menampilkan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim Hakimah Mohd Yusoff sebagai panel gandingan.
Sementara itu, Hakimah berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit-sebanyak menjejaskan permohonan pensijilan halal.
Bagaimanapun, sepanjang tahun lalu, pihaknya sudah memproses 8,674 permohonan iaitu berkurang lima peratus daripada sebelumnya.
"Sekarang ini untuk membantu industri juga, kita memperkenalkan satu kaedah baru iaitu audit jarak jauh di mana syarikat perlu hantar video dan dokumen kepada kita.
"Inilah peranan eksekutif halal yang kita wajibkan mesti ada di semua syarikat memainkan peranan mereka untuk memastikan seluruh rantaian halal di kilang dipatuhi," katanya.
Menurutnya, Jakim memperoleh kelulusan akreditasi ISO/IEC 17065 yang mengiktiraf jabatan itu sebagai badan pensijilan halal yang mematuhi sepenuhnya keperluan, standard dan perundangan ditetapkan International Organization for Standardization (ISO) bertaraf dunia September tahun lalu.
"Ia memperkukuhkan lagi Malaysia selaku peneraju kepada badan pensijilan halal global.
"Melalui kelulusan dan pengiktirafan bertaraf antarabangsa ini akan membuka ruang dan peluang yang lebih besar kepada produk yang memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk pergi jauh," katanya.
Menurutnya, Jakim juga menyediakan latihan kepada syarikat untuk mengambil tanggungjawab menjaga integriti halal.
"Kita beri penjelasan supaya di pihak industri mempunyai tanggungjawab untuk memastikan peringkat kawalan halal itu dilaksanakan di seluruh rantaian," katanya.
Hakimah berkata, antara keperluan untuk mendapatkan ISO itu adalah bagi mendapatkan kepercayaan masyarakat dari sudut pensijilan halal.
Selain itu, katanya, ia juga akan memberikan kepercayaan terhadap industri halal itu sendiri yang mendapat sijil daripada badan yang mematuhi standard antarabangsa.
"Ketiga adalah dari aspek memudahkan perdagangan kerana bukan kita saja mengeluarkan sijil halal, malah negara Islam lain juga ada badan yang mengeluarkan sijil halal dan membuat pengiktirafan untuk barangan atau pengurusan perdagangan.
"Kalau kita sudah mematuhi standard antarabangsa, ini sudah tentu akan memudahkan lagi proses untuk pengeksportan halal Malaysia ke luar negara," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
PENGGUNA MASIH LEMAH ISU HALAL
No comments:
Post a Comment