Tuesday, March 16, 2021

5478) KENYATAAN MEDIA PROGRAM BANTUAN "KAMI PRIHATIN DAN SAYANG" PPIM, YEZP DAN MVM PADA 15 MAC 2021 - SAMUDERA - 16/03/2021

 


KENYATAAN MEDIA

PROGRAM BANTUAN “KAMI PRIHATIN DAN SAYANG” PPIM, YEZP DAN MVM PADA 15 MAC 2021

Kuala Lumpur – Wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia terus memberi impak besar buat kita semua. Ramai yang telah kehilangan tempat tinggal, harta benda serta terputus sumber pendapatan. Oleh yang demikian, bagi meringankan ujian ini kepada mereka yang terkesan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di bawah seliaan Unit Kebajikan PPIM (UKPPIM), Yayasan EZ Prihatin (YEZP) dan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) telah menganjurkan PROGRAM “KAMI PRIHATIN DAN SAYANG” pada 15 Mac 2021 bagi menyantuni Penghuni di Rumah Kebajikan Baitul Hidayah, Kg. Baru Puchong yang turut melibatkan jalinan kerjasama dan tajaan beberapa organisasi seperti Siang Segar Delivery (SSD), BarokahWorks, sumbangan.com (Gerbang Sumbangan Sdn Bhd), Persatuan Usahawan Wanita Dan Keusahawan Agro (WEAGRO), Yayasan PATRIOT Negara Malaysia (YPNM), Icon Production Sdn Bhd dan SATRIA Intelligence Agency Sdn Bhd.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa memudahkan orang yang di dalam kesulitan, ALLAH SWT akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat.” (Riwayat Ibnu Majah).

Walaupun sedikit kebaikan yang kita lakukan tetapi ALLAH akan memberikan ganjaran sehingga ke akhirat.

“PROGRAM BANTUAN “KAMI PRIHATIN DAN SAYANG” hari ini adalah bertujuan menyantuni semua penghuni di Rumah Kebajikan Baitul Hidayah, Kg. Baru Puchong. Adalah diharap agar program ini akan membawa sinar kegembiraan dan rasa prihatin bagi semua yang menerima bantuan dan yang turut telibat menjayakan program ini. Besarlah harapan kami agar program sebegini dapat diteruskan dan membantu lebih ramai golongan sasar yang memerlukan.” – Tuan M.Luqman Hakim, Project Director – Yayasan EZ Prihatin (YEZP).

“Ujian ini sebenarnya untuk kita bersama – sama menghadapinya dan membantu saudara-saudara kita. Oleh yang demikian PPIM bersama-sama beberapa organisasi, penaja & penyumbang berganding bahu bagi menyalurkan bantuan. Berdasarkan maklum balas yang kami terima dari penyelaras, Rumah Kebajikan Baitul Hidayah benar-benar memerlukan bantuan dengan kadar segera dan keprihatinan kita semua bagi menghadapi saat getir ini. Dengan yang demikian kami berusaha bersama-sama menguruskan untuk menghantar bantuan sumbangan dan beberapa keperluan pada tarikh yang dinyatakan di atas.” – Puan Siti Khadijah Hassan Berseri, Ketua Operasi – Unit Kebajikan PPIM (UKPPIM).

“Kami mahu semua yang disantuni di program hari ini merasakan ada yang masih peduli dan sayang kepada mereka khususnya. Bentuk bantuan yang diberikan agak istimewa kerana barangan asas basah yang disumbangkan telah siap dibersihkan, segar dan ianya diharap dapat menjimatkan masa dan tenaga pengurusan rumah kebajikan ini. Selain dari itu, barangan lain berupa Barangan Asas Keperluan Dapur juga turut disalurkan.” – Ustaz Hasbullah Najib, Ketua Pengarah Operasi – Muslim Volunteer Malaysia (MVM) .

“Saya merasa sangat bersyukur di atas keprihatinan semua yang hadir. Melalui program seperti ini kami merasakan masih ada yang sayang dan peduli.” – Ustazah Saadiah, Mudir (Rumah Kebajikan Baitul Hidayah – Kg. Baru Puchong).

Alhamdullilah dengan izin Allah SWT program ini telah mendapat perhatian positif dari pelbagai pihak dan para dermawan, kami berharap agar lebih ramai pihak yang akan terlibat.


Artikel oleh: Samudera

KENYATAAN MEDIA PROGRAM BANTUAN "KAMI PRIHATIN DAN SAYANG" PPIM, YEZP DAN MVM PADA 15 MAC 2021

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL