SETIAP individu yang mempunyai kisah gelap layak diberi peluang kedua untuk menjadi insan yang lebih baik dan meneruskan kehidupan mereka.
Pada satu ketika dahulu, Vince Focarelli pernah menjadi ketua kumpulan gengster yang sangat berpengaruh serta digeruni di selatan Australia kerana terlibat dengan pelbagai kes jenayah.
Lelaki berbadan sasa itu berkata, dia berubah menjadi insan lebih baik selepas bertemu dengan seorang lelaki warga Turki di Australia yang ‘membuka jalan᾿untuknya memeluk Islam.
Vince, 45, berkata, hidayah itu diterima apabila dia selalu bergaul dengan rakan-rakan beragama Islam di negara itu.
“Bagaimanapun ketika itu saya hanya seorang Muslim pada nama dan tidak menghayati sepenuhnya kerana masih terlibat dalam kegiatan jenayah sebelum tragedi pada 2012 yang mengubah hidup saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini baru-baru ini.
Kisah perubahan dirinya pernah tular satu masa dahulu dan menjadi motivasi kepada individu lain untuk berubah.
Kisahnya turut membuka mata ramai pihak mengenai bagaimana Islam mampu mengubah kehidupan seseorang menjadi lebih berdisiplin dalam hidup.
Vince yang berasal dari Campania, Itali mengimbau kembali kisah hitam penglibatannya dalam dunia mafia.
“Saya bersama keluarga berpindah ke Australia selepas insiden gempa bumi di Campania pada 1980.
“Saya mula terlibat dengan mafia ketika remaja sebelum mengetuai kumpulan gengster bermotosikal yang dikenali sebagai Comanchero,” katanya.
Vince berkata, sebelum memeluk Islam, dia menjalani kehidupan yang penuh episod hitam yang turut membelenggu dirinya.
“Saya pernah terlibat dengan aktiviti penjualan dan pengedaran dadah serta penggunaan senjata api.
“Saya juga sering terlibat dengan beberapa kes pergaduhan jalanan bersama ahli kumpulan mafia,” katanya.
Menurut beliau, kumpulan mafia lain sentiasa mencari ruang untuk menjatuhkan kumpulannya.
“Terdapat enam percubaan untuk membunuh saya termasuk satu cubaan bunuh menggunakan bom,” katanya.
Vince berkata, anak tirinya, Giovanni telah terkorban dalam insiden cubaan bunuh itu di Adelaide, Australia pada tahun 2012.
“Saya turut terkena empat das tembakan, namun sempat menarik Giovanni ke dalam kereta sebelum dia menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.
Dipenjara 14 bulan
Vince berkata, selepas kejadian itu, dia dipenjarakan dan ditempatkan bersendirian di dalam sel tahanan selama 14 bulan atas kesalahan dadah dan senjata api
“Perkara paling sukar dan sebak ialah saya hanya mampu melihat jenazah anak tiri saya di kebumikan melalui berita di televisyen di hospital penjara tersebut,” katanya.Vince berkata, di sebalik tirai besi itu, dia mula belajar membaca al-Quran dan menjadikan kalam ALLAH itu sebagai temannya sehingga berjaya mengkhatamnya.
Lelaki itu juga sudah memaafkan pembunuh anak tirinya kerana memaafkan orang lain sangat dituntut dalam agama Islam.
“Bukan mudah sebenarnya untuk memaafkan seseorang, ia tidak semudah mengungkapkannya hanya pada bibir, ia perlu lahir dari lubuk hati paling dalam,” katanya.
Vince juga menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh.
“Rasulullah seorang pemaaf, baginda tidak mudah sakit hati apatah lagi berdendam walaupun diperlakukan dengan pelbagai perbuatan menyakitkan, bahkan mengancam nyawanya.
“Untuk menjadi seorang yang mampu memaafkan orang lain yang melakukan kesalahan kepada kita memerlukan jiwa yang besar," katanya.
Tinggalkan kumpulan mafia
Menurut Vince, perkara pertama yang dilakukan apabila dibebaskan dari penjara pada awal 2013 ialah pergi ke masjid untuk bersolat.
“Saya telah meninggalkan semua aktiviti jenayah bersama kumpulan mafia,” katanya.
Vince memulakan kehidupan baharu dengan membuka sebuah restoran halal La ‘Fig Cucina di Australia pada 2016.
“Saya menyediakan makanan halal dan turut memberi sumbangan kepada golongan gelandangan selain melakukan amal jariah lain,” katanya.
Vince yang menggunakan nama Imran Asya Abdulsalaam berkata, dia kembali ke negara asalnya, Itali sebelum berhijrah ke Malaysia pada awal 2017.
“Saya kini terlibat dengan aktiviti dakwah dalam usaha mengajak insan lain mengenal Islam,” katanya.
Pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Sahaba MC dan Ummah United itu juga berkata, dia berusaha menyebarkan mesej Islam dalam memerangi Islamofobia.
“Misi utama kita ialah menunjukkan kepada dunia Islam yang sebenar kerana ada segelintir manusia yang menganggap orang Islam sebagai pengganas,” katanya.
Dia menjelaskan bahawa Sahaba MC merupakan kumpulan bermotosikal manakala Ummah United khusus untuk golongan muda.
“Saya merasakan pendekatan baharu diperlukan untuk menarik minat golongan muda yang bermasalah menyertai NGO.
“Kita tidak seharusnya menghukum golongan itu dan perlu berusaha menjauhkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti samseng jalanan atau kumpulan gengster,” katanya.
Vince berkata, penubuhan Ummah United bertujuan memberi peluang kepada golongan muda menabur bakti kepada masyarakat.
Aktiviti dakwah
Vince juga mahu golongan muda menyertai Ummah United dan menunjukkan rasa hormat kepada golongan itu supaya mereka tidak rasa terpinggir.
“Kita memberi ruang kepada mereka melakukan kerja amal dan sukarela, NGO ini juga terbuka kepada bukan Muslim,” katanya.
Vince juga berhasrat mewujudkan pusat atau kelab komuniti dan golongan muda dapat bersantai dalam masa sama dapat menjauhi mereka daripada melakukan aktiviti tidak berfaedah.
“Pusat atau kelab itu akan dilengkapi dengan gimnasium, gelanggang tinju, skrin besar dan mesin permainan.
“Segala aktiviti di pusat atau kelab itu percuma kerana dapat memberi manfaat kepada golongan tersebut,” katanya.
Vince berkata, Sahaba MC pula merupakan penunggang motosikal yang memakai vest khas bagi menunjukkan imej persaudaraan.
“Kita mahu menyebarkan mesej cinta dan perpaduan untuk orang lain dalam masa sama menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa atau latar belakangnya,” katanya.
Vince menegaskan Sahaba MC dan Ummah United bukan rangkaian jenayah atau ekstremis.
“Pada dasarnya dua NGO itu hanya menyebarkan mesej perpaduan, kasih sayang, ketenangan, kedamaian dan keharmonian kepada masyarakat di seluruh dunia,” katanya.
Vince berkata, ribuan orang menyokong Sahaba MC dan Ummah United di seluruh dunia.
“Kita akan membuka cawangan dua NGO ini di seluruh dunia termasuk Australia, New Zealand, Denmark, Indonesia, Singapura, Kazakhstan, Uzbekistan dan Malaysia,” katanya.
Menurutnya, ahli NGO itu menghormati Nabi Muhammad SAW yang menyeru umat Islam membantu orang lain termasuk bukan Islam.
“Nabi Muhammad SAW sentiasa berbuat baik kepada sesama manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam,” katanya.
Artikel oleh: Sinar Harian
ISLAM UBAH HIDUP KETUA GENGSTER
No comments:
Post a Comment