Thursday, March 4, 2021

5446) PPIM CADANG PENGGUNA DIBERI PILIHAN VAKSIN COVID-19 - WACANA - 03/03/2021

 


KUALA LUMPUR, 3 Mac : Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyarankan pengguna di negara ini harus diberi pilihan jenama vaksin dan tidak dipaksa mendapatkan suntikan jika mereka tidak selesa dengan vaksin tersebut.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna harus dibenarkan memilih vaksin yang akan disuntik.

“Kita harus balik kepada kemanusiaan, hak asas kita sebagai pengguna ialah memilih, dan kita sudah sekian lama mendidik pengguna untuk membuat pilihan yang bijak,” katanya kepada Wacana.my.

Tambah Nadzim, sebelum pengguna membuat sebarang pilihan mereka perlu mendapat maklumat yang lengkap mengenai vaksin yang ada.

“Pengguna ada hak untuk mengetahui apakah kandungan didalam vaksin, bagaimana ia berfungsi, apakah risiko yang ada,” katanya.

Nadzim turut berpendapat, rakyat akan membuat pilihan sendiri setelah mendapat tahu semua maklumat tanpa sebarang masalah.

PPIM turut menegaskan supaya program vaksin bukan paksaan kepada semua warga negara dan kepada yang mahu mendapatkannya lebih awal, mereka boleh membayar untuk perkhidmatan itu.

“Bagi pengguna yang berkemampuan dan mahu mendapatkan vaksin lebih awal, sepatutnya dibenarkan berbuat demikian dan pelbagai kaedah boleh dicadangkan,” katanya.

Antara kaedah dicadangkan ialah kerajaan membenarkan hospital swasta yang mempunyai keupayaan mengawal dan memberi rawatan jika berlaku sebarang reaksi terhadap vaksin.

“Permulaan ini eloklah hanya kerajaan yang menguruskan tetapi selepas ini kerajaan patut buka kepada pihak swasta untuk memohon kebenaran menjalankan program vaksin mereka dan mereka yang berkemampuan boleh membayar untuk perkhidmatan tersebut,

“Mengapa kerajaan mahu menanggung beban yang boleh diagihkan kepada rakyat juga pihak swasta, sedangkan ramai yang mampu dan banyak hospital berkeupayaan,” katanya.

Menurut Nadzim, jika dibuka kepada pihak swasta, kemungkinan isu potong barisan bagi mendapatkan vaksin boleh dielakkan dan beban kerajaan boleh dikurangkan.

“Bagi rakyat tidak berkemampuan kita faham, mereka boleh dapatkan vaksin di hospital kerajaan, tapi mengapa kerajaan harus menampung kos semua termasuk warga asing? Majikan mereka, kedutaan mereka ada dan mereka dilindungi insurans,” tegasnya.

Ditanya sama ada beliau akan mendapatkan vaksin COVID-19, Nadzim berkata jika perlu beliau akan mendapatkan suntikan vaksin tetapi bukan dari jenama Pfizer.

“Syarikat yang mengeluarkan vaksin itu kita tahu asal usulnya mengapa kita nak berurusan dengan mereka, tak perlu. Banyak lagi pilihan jenama dan ubatan lain selain Pfizer jadi saya sendiri tidak akan memilih Pfizer, yang lain ada,” katanya.


Artikel oleh: Wacana

PPIM CADANG PENGGUNA DIBERI PILIHAN VAKSIN COVID-19

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...