PETALING JAYA: Bekas pelumba basikal kebangsaan, Jusoh Udin terharu dengan keprihatinan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang banyak menyalurkan bantuan bagi kelangsungan hidupnya.
Pemenang pingat perak Sukan SEA 1977 di Kuala Lumpur itu, berkata YAKEB sentiasa ada pada waktu dia ditimpa kesusahan termasuk membantu mempercepatkan pembedahan jantungnya pada Jun tahun lalu.
"Kalau ikutkan, giliran saya menjalani pembedahan sepatutnya pada Oktober (tahun lalu di Hospital Serdang) tetapi apabila YAKEB dapat tahu, mereka bantu saya untuk mempercepatkan dan mencari penaja bagi menanggung kos pembedahan di Hospital Pantai pada Jun.
"Keadaan kesihatan saya memang agak teruk yang mana saya perlu menjalani dialisis sebanyak tiga kali seminggu. Itu semua memerlukan kos dan YAKEB yang banyak bantu jika ada kekurangan.
"Mereka bagai 'menatang saya dengan minyak yang penuh'," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan program Wakalah daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Wisma PERKESO di sini, hari ini.
Turut menerima sumbangan sama ialah bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Muhammad Kamal Ishak, dengan wakilnya yang hadir.
Mengulas mengenai sumbangan Wakalah yang diterimanya, Jusoh berkata: "Saya bersyukur kerana saya masih dihargai walaupun sudah lama bersara.
"Terima kasih kepada MAIWP dan PERKESO yang membantu saya menerusi sumbangan ini," katanya yang menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM300 dan hamper.
Hadir pada majlis itu ialah Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed; Pengarah PERKESO Selangor, Mustafa Draman dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Sementara itu, Noorul ketika ditemui sempat berkongsi berita gembira apabila memaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sudah bersetuju memberikan suntikan dana kepada YAKEB pada pertemuan mereka, semalam.
"Ini akan menjadi kali pertama KBS (Kementerian Belia dan Sukan) memberi suntikan kepada YAKEB. Kami sangat terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Reezal.
"Jumlahnya masih belum tahu lagi tapi saya percaya ia lebih daripada RM100,000 yang diberikan sebelum ini untuk pakej COVID-19," katanya.
Artikel oleh: Berita Harian
'TERIMA KASIH YAKEB BANTU SAYA'
No comments:
Post a Comment