BANGI, 23 Zulkaedah 1441H, Rabu – Tidak memadai, demikian respon Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berhubung cadangan hukuman terhadap pemandu mabuk, seperti yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini.
Ka Siong berkata, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 kepada pemandu mabuk.
Katanya, perkara berkenaan akan dimuktamadkan sekiranya Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Mengulas cadangan itu, Datuk Nadzim berkata, pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan orang lain adalah berbeza dengan mereka yang mengakibatkan kemalangan.
“Tidak menjadi masalah kalau setakat memandu dalam keadaan mabuk dan tidak melakukan apa-apa. Ini bermakna dia hanya mabuk, jadi kita bolehlah buat macam itu (hukuman).
“Ini berbeza jika dia langgar dan bunuh orang lain. Dia menyebabkan kematian tanpa sengaja, Kalau tidak, hukuman itu macam tidak berat.
“Kalau setakat denda, mungkin orang boleh bayar. Macam mana dengan mangsanya pula. Keluarganya dapat apa?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Ka Siong berkata, pihaknya mencadangkan kadar penjara maksimum dengan pindaan 15 tahun untuk kesalahan pertama dan 20 tahun bagi kesalahan berikutnya.
“Kadar denda dicadangkan dinaikkan maksimum RM20,000 sekarang kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda RM150,000.
“Tempoh penggantungan lesen juga dicadang dinaikkan dari 10 tahun kepada 20 tahun,” katanya
Mengulas perkara sama, Datuk Nadzim berkata, kerajaan bukan sahaja perlu meminda undang-undang yang lebih tegas, malah pelaksanaannya juga perlu jelas dan menyeluruh.
Tambahan pula, usaha membanteras bilangan pemandu mabuk memerlukan pembabitan seluruh rakyat Malaysia dan setiap kementerian.
“Kita tak mahu hanya satu undang-undang yang dibuat oleh sesuatu kementerian, tetapi kementerian lain tidak ada apa (tidak campur tangan).
“Perkara ini serius dari segi aspek keseluruhan dan ia terlepas pandang dalam tempoh begitu lama. Jadi, kita juga mahu undang-undang dilaksanakan bersesuaian dengan masalah yang timbul,” katanya.
Mengikut undang-undang sedia ada, inidividu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.
Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun
Artikel oleh: Ismaweb
PENJARA 20 TAHUN, DENDA RM150,000? TAK CUKUP HUKUM PEMANDU MABUK 'MEMBUNUH'
No comments:
Post a Comment