Saturday, July 25, 2020

6148) NAK DERMA SELIDIK DULU - HARIAN METRO -25/07/2020


TIDAK salah berkongsi rezeki tetapi mereka yang menderma itu perlu bertanggungjawab bagi memastikan wang sumbangannya disalurkan kepada tempat sepatutnya.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sindiket penipuan menggunakan konsep kutipan derma untuk keperluan rumah anak yatim bukan perkara baharu.

"Memang sindiket ini kita kerap dengar. Jadi kita minta mana-mana jabatan agama negeri bertanggungjawab turun padang banteras kegiatan ini.

"Kepada orang ramai, memang kita alu-alukan menderma tetapi penderma kena beringat dengan selidik atau rujuk pihak tertentu terlebih dulu mengenai latar belakang pusat atau individu yang hendak mereka dermakan.

"Walaupun banyak duit, kita tetap bertanggungjawab memastikan sumbangan itu sampai kepada penerima layak dan jangan buka peluang menggalakkan sindiket ini berleluasa," katanya kepada Harian Metro.

Harian Metro semalam mendedahkan kejadian malang menimpa warga emas yang kerugian lebih RM500,000 selepas menderma di rumah anak yatim yang tidak wujud sejak tiga tahun lalu.

Warga emas berusia 72 tahun itu mendakwa ditipu dua wanita selepas mendapati empat rumah anak yatim yang kononnya terletak di Tanah Merah, Kelantan; Simpang Empat, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak tidak wujud ketika membuat lawatan pada awal bulan ini.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menjelaskan hukum makan harta milik anak yatim adalah haram dan dilaknat Allah.

"Ini satu penipuan yang tidak seharusnya berlaku kerana harta anak yatim adalah harta yang perlu dijaga dan jika orang lain makan hukumnya adalah haram.

"Sindiket seumpama ini patut disekat dan orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menderma," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

NAK DERMA SELIDIK DULU

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/603452/selidik-dulu-sebelum-derma-elak-ditipu

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL