Saturday, October 12, 2019

5384) TANGGUNG SALAH ORANG - HARIAN METRO - 12/10/2019


“Saya tidak pernah salahkan ibu dan saya tahu ketika itu dia terdesak lalu menggunakan saya untuk buat pinjaman berikutan adik mahu membayar yuran pengajiannya,” kata pemuda yang mahu dikenali sebagai Syamel, 22.

Dia terpaksa meringkuk di penjara selama lapan bulan selepas menyerahkan kad bank bersama nombor PIN kepada individu yang menawarkan pinjaman segera sebanyak RM10,000 kepadanya, tahun lalu.

Menurutnya, dia tidak pernah menerima satu sen daripada wang pinjaman itu, namun ditahan polis selepas dua minggu menyerahkan barang dan maklumat kepada individu terbabit.

“Polis kata akaun saya disalah guna sebab ada kemasukan wang dan sebanyak 17 kes dilaporkan terhadap saya yang membabitkan jumlah wang RM 144,000.

“Dari situ saya dibawa dari balai ke balai macam roadshow. Bermula Kuala Muda, Sik, Cheras, Petaling Jaya, Segamat, Seremban, Johor Bahru, Kuantan, Bukit Kinrara sehingga masuk Penjara Kajang.

“Pengalaman meringkuk dipenjara selama lapan bulan memang menakutkan, apatah lagi bukan membabitkan kesalahan yang kita buat. Namun, saya diberikan pelepasan parol empat bulan lebih awal,” katanya ketika pertemuan bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua PPIM, Datuk Nadzim Johan, Ketua Biro Pembangunan Sosial PPIM, Dr Mazlina Abu Bakar dan Presiden Persatuan Pengguna Bersepadu Malaysia, Thomas Thin.

Syamel berkata, ketika ini dia terpaksa menganggur berikutan mengalami kesukaran mencari kerja selain tidak boleh membuka akaun bank yang baharu.

Dalam pada itu, ibunya yang juga tukang cuci, Zulaika, 46, berkata, dia sedih mengenangkan nasib anaknya itu berikutan terpaksa menanggung kesilapannya.

“Waktu itu anak nak bayar yuran bagi pengajian jururawat berjumlah RM8,000. Saya tak mempunyai jumlah sebanyak itu, jadi saya nekad buat pinjaman segera.

“Pada mulanya memang guna nama mak cik nak buat pinjaman, tetapi tidak boleh berikutan individu terbabit berkata umur saya terlalu tua. Jadi saya minta tolong anak, namun lain pula jadinya,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali Jeff, 28, berkata, kehidupan gelapnya bermula ketika dia cuba mencari kerja.

“Waktu itu, saya nampak iklan yang ditampal di kedai yang mencari pemandu lori. Tanpa ragu-ragu saya terus hubungi nombor terbabit.

“Selepas berjumpa dengan individu terbabit, dia kemudian menyuruh saya membuka akaun bagi tujuan kemasukan gaji.

“Duit semua dia bagi. Namun, selepas itu dia beritahu yang saya perlu serahkan kad itu berikutan wang simpanan itu adalah duit syarikat dan kad hanya diberikan selepas saya masuk kerja,” katanya yang tinggal di Kuala Lumpur.

Katanya, dia tidak pernah dapat panggilan daripada syarikat terbabit, namun terpaksa masuk ke dalam penjara hampir tiga bulan selain terpaksa membayar denda RM14,500.
Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya sedang cuba berbincang bersama pihak polis dan juga pejabat Peguam Negara berkenaan mangsa sindiket penipuan mule account (keldai akaun).

“Kita mahu membantu mangsa yang teraniaya dengan perbuatan orang lain. Ini adalah penipuan terkini dan cukup berat berikutan ia membabitkan hukuman penjara berikutan wang dimasukkan ke dalam akaun mangsa,” katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

TANGGUNG SALAH ORANG

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL