Friday, October 25, 2019

5430) PENJAWAT AWAM KETAGIH 'GAME ONLINE': PPIM - SINAR HARIAN - 24/10/2019


MELAKA - Isu ketagihan permainan dalam talian dilihat semakin bertambah serius sejak kebelakangan ini yang dikhuatiri boleh membawa kesan negatif.

Ini kerana ia kini bukan hanya sering menjadi satu ketagihan dalam kalangan kanak-kanak, malah ia juga orang dewasa.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sejak kebelakangan ini pihaknya ada menerima beberapa aduan dan rungutan orang ramai dan juga ketua-ketua jabatan, bahawa terdapat penjawat awam yang ketagih dengan permainan dalam talian hingga menjejaskan tugas mereka.

Beliau berkata, walaupun jumlah aduan yang diterima tidak banyak, namun beliau risau sekiranya terus dibiarkan ia akan menjejaskan mutu perkhidmatan awam.

"Saya menyeru agar ketua-ketua jabatan kerajaan peka dengan perkara ini dan membuat pemantauan serta mengambil tindakan awal bagi membendungnya sebelum terlambat,” katanya.

Malah menurutnya, lebih parah lagi ada juga kes-kes di mana ada penjawat awam yang sanggup membuat pinjaman dengan syarikat pinjaman wang tidak berlesen atau 'ah long' semata-mata untuk melepaskan 'gian' ketagihan itu.

"Saya juga harap agar pihak berwajib mengambil tindakan akan perkara ini sebelum ia meresap dalam sistem masyarakat kita dengan melakukan penguatkuasaan yang lebih ketat dan bersungguh-sungguh serta menambah baik perundangan yang sedia jika perlu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan boleh mencontohi apa yang dilakukan oleh kerajaan China baru-baru ini yang mengharamkan operasi permainan dalam talian ‘PlayerUnknown’s Battlegrounds’ (PUBG) yang digantikan dengan permainan baharu yang lebih bersifat patriotik, dikenali sebagai ‘Game of Peace’.

Menyentuh mengenai ketagihan bermain permainan dalam talian dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah, Nadzim berkata. ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dan dekat dengan anak mereka perlu mainkan peranan dengan membuat pemantauan dan mengehadkan masa anak bersama telefon pintar.

Katanya, ibu bapa perlu menjadikan anak sebagai aset atau dijaga seperti emas dan tidak meletakkan anak sebagai satu tanggungan atau liabiliti semata-mata.- Bernama


Artikel oleh: Sinar Harian

PENJAWAT AWAM KETAGIH 'GAME ONLINE': PPIM

https://www.sinarharian.com.my/article/53864/BERITA/Nasional/Penjawat-awam-ketagih-game-online-PPIM

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL