Wednesday, October 2, 2019

5339) PROMOSI IMEJ ISLAM DI RESTORAN - HARIAN METRO - 02/10/2019


JADI duta kecil promosi imej Islam menerusi restoran. Itu komitmen Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menerusi transformasi bertemakan kebajikan dalam perniagaan.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, inisiatif itu akan diambil pihaknya untuk berkongsi kepada umum mengenai sisi seorang Muslim seperti dianjurkan agama.
Katanya, untuk itu, PRESMA akan menitikberatkan soal kebersihan, keperibadian unggul serta layanan terbaik kepada pelanggan di seluruh negara.
“Kita akan lakukan beberapa transformasi sesuai dengan peranan sebagai pengusaha Muslim. Ia bukan saja mengenai perniagaan, tetapi juga kebajikan.
“PRESMA akan berusaha mengimbangi antara kepentingan ekonomi serta anjuran Islam. Untuk itu, kita juga akan membantu golongan memerlukan menerusi platform yang kita ada,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan PRESMA ke-15 di Putrajaya hari ini.
Beliau yang menang jawatan Presiden tanpa bertanding berkata, selain itu, pihaknya juga menumpukan kepada pembangunan belia dalam bidang perniagaan selepas ini.
Katanya, antara yang sudah dirancang termasuklah perniagaan berkonsepkan bistro untuk belia berdasarkan pengalaman lebih 4,000 ahli ketika ini.
Dalam pada itu, PRESMA juga akan menyalurkan beberapa cadangan kepada kerajaan dalam usaha membantu pengguna terutama berkaitan kos sara hidup.
“Petugas di restoran adalah mereka yang berurusan dengan pelanggan setiap hari. Pelbagai masalah dan rungutan kita boleh dengar.
“Jadi kita akan suarakan kepada kerajaan menerusi kementerian berkaitan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

PROMOSI IMEJ ISLAM DI RESTORAN


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL