Monday, October 21, 2019

5414) BEBAS DIJUAL, PERMINTAAN TINGGI - BERITA HARIAN - 21/10/2019



KUALA LUMPUR: Lambakan produk import berasaskan keju, tenusu, coklat, rempah ratus, minyak masak dan produk dalam tin yang diragui status halalnya di pasaran, dikesan semakin serius.
Tanpa pensijilan halal antarabangsa dikeluarkan badan luar atau jika adapun, ia tidak diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), produk berkenaan dilihat bebas dipamer dan dijual di rak premis runcit.
Lebih membimbangkan, produk makanan import popular yang dijual itu memang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna Malaysia, termasuk dalam kalangan umat Islam.
Tinjauan BH di lebih 10 pasar raya yang menjadi tumpuan pengguna di sekitar Lembah Klang, mendapati banyak produk makanan import yang dijual secara terbuka, tiada logo halal badan luar negara yang diiktiraf JAKIM atau langsung tiada logo berkenaan.
Keadaan itu menimbulkan persoalan berhubung pematuhan pihak pengurusan pasar raya, syarikat pengimport dan pengusaha perniagaan produk makanan dari luar negara terhadap peraturan pensijilan halal JAKIM selama ini.
Semakan BH ke atas beberapa produk makanan import terbabit, mendapati kebanyakan produk tanpa pensijilan halal diiktiraf JAKIM dibawa masuk dari negara Eropah serta Asia, khususnya Filipina dan China.
Ada juga didapati menggunakan logo halal, namun statusnya diragui kerana tidak disokong JAKIM. Sebahagian besar produk juga tidak memaparkan maklumat jelas syarikat pengimport biarpun ada tertera maklumat syarikat dan negara pengeluar.
Ketika tinjauan di sebuah pasar raya di ibu negara, BH mengesan lebih lima jenis produk makanan import berasaskan keju, minyak masak dan rempah ratus yang tertera logo halal dikeluarkan oleh badan yang tidak mendapat pengiktirafan JAKIM.
Tinjauan ke satu lagi pasar raya pula didapati produk makanan sejuk beku seperti daging yang tidak tertera sebarang logo halal atau dengan logo halal tidak diiktiraf JAKIM, dijual bersama produk yang tertera logo halal.
Pemantauan juga mendapati ada produk sejuk beku terbabit dijual tanpa memaparkan sebarang maklumat, termasuk mengenai syarikat pembekal dan pengimport serta logo halal, menyebabkan produk berkenaan tidak diketahui dibekalkan dari industri tempatan atau import.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyarankan Bahagian Hab Halal JAKIM menambah baik mekanisme semakan logo halal luar negara seperti membangunkan aplikasi mudah untuk pengguna membuat semakan.
“Proses semakan perlu dipermudah. Boleh perkenal QR Code (kod maklum balas pantas) supaya pengguna boleh buat semakan terus menerusi telefon bimbit.
“Ini boleh dibuat sebab kalau senarai (badan pensijilan halal luar negara) sudah ada lebih 70 logo (halal), siapa yang larat untuk periksa satu persatu,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Beliau juga mengakui sukar mengawal produk makanan import berstatus halal atau tidak daripada masuk ke pasaran negara kerana ia bergantung kepada permintaan pengguna domestik.
“Jabatan Kastam Diraja Malaysia hanya kawal keluar masuk produk, pantau dari segi keselamatan produk. Namun dari segi status halal, ia di bawah kuasa JAKIM , tetapi JAKIM juga sukar ambil tindakan.
“Perakuan sijil halal kini boleh dipohon secara sukarela oleh mana-mana syarikat pembekal. Jadi perlu ada kesedaran dalam kalangan syarikat pembekal juga,” katanya.
Justeru, Nadzim menegaskan, langkah terbaik untuk mengawal lambakan produk makanan import yang diragui status halalnya adalah menerusi kuasa pengguna dan lebih selamat adalah memilihi makanan keluaran tempatan yang dijamin halal.
“Pengguna juga perlu peka dengan senarai logo halal dikeluarkan badan luar diiktiraf JAKIM sebab kita bimbang ada syarikat pembekal (produk import) ambil kesempatan dengan manipulasi logo halal diiktiraf,” katanya.
Setakat 1 Oktober lalu, JAKIM mengiktiraf 79 logo pensijilan halal antarabangsa yang dikeluarkan oleh pelbagai badan dan pertubuhan agama Islam dari 44 negara yang meliputi benua Eropah, Amerika dan Asia.
Jepun, antara pengeksport produk makanan segera berasaskan makanan laut ke negara ini, merekodkan bilangan pensijilan antarabangsa terbanyak diiktiraf JAKIM, iaitu tujuh badan berautoriti, diikuti enam dari Australia dan lima dari China.

JAKIM tiada kuasa sekat produk
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak memiliki kuasa untuk menyekat kemasukan produk makanan import yang memaparkan logo halal tidak diiktiraf jabatan itu ke pasaran negara ini.
Ketika ini, aspek pemantauan, penguatkuasaan dan pendakwaan menerusi Akta Perihal Dagangan 2011 bagi kes sedemikian terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
JAKIM pula hanya mempunyai bidang kuasa ke atas proses pensijilan halal.
Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Bukhari Md Akhir memberitahu BH, jabatan berkenaan hanya diperuntukkan kuasa mengambil tindakan jika ia berkaitan penggunaan logo halal palsu.
Sambil mengakui ada produk makanan import yang dijual memaparkan logo halal tidak diiktiraf JAKIM di pasaran Malaysia, beliau berkata, jabatan itu hanya boleh meminta pengguna Islam lebih berwaspada terhadap lambakan produk makanan sedemikian.
“JAKIM memang tiada kuasa untuk melakukan sekatan, melainkan ia berkait dengan penggunaan logo halal palsu yang jelas satu kesalahan di bawah undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, pengguna Islam perlu lebih berwaspada dengan produk makanan import di pasaran yang tidak mempamerkan sebarang logo halal, sama ada dari JAKIM atau badan luar yang diiktiraf jabatan berkenaan.
“Kesedaran pengguna penting dalam memastikan semua pihak, terutama industri dan peniaga lebih peka serta sensitif terhadap barangan atau produk yang dijual di gedung perniagaan, terutama yang membabitkan pengguna Islam,” katanya.
Katanya, Akta Perihal Dagangan 2011 mempunyai seksyen khusus mengenai peraturan pensijilan halal, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5 juta bagi kesalahan pertama dilakukan pertubuhan perbadanan.
Seksyen sama juga memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika kesalahan dilakukan oleh bukan pertubuhan perbadanan.
“Jika mereka (syarikat dan pengusaha) mahu guna pensijilan halal (bagi produk import), kena buat permohonan dengan badan yang kita (JAKIM) iktiraf. Kalau tidak, boleh diambil tindakan (jika salah guna logo halal),” katanya.
Hab Halal JAKIM pada Februari 2018 pernah menarik balik pengiktirafan ke atas tiga badan pensijilan halal luar negara di Australia, iaitu Adelaide Mosque Islamic Society of South Australia; Al-Iman Islamic Society Inc dan Islamic Co-ordinating Council of Victoria.
Tahun sebelumnya, JAKIM juga mengambil tindakan sama terhadap Islamic Association of Henan di China, NZ Islamic Meat Management & NZ Islamic Processed Foods Management (New Zealand), The Halal Catering Argentina (Argentina) dan Muslim Judicial Council Halaal Trust atau MJCHT (Afrika Selatan).
Penarikan balik pengiktirafan itu dibuat selepas mereka didapati gagal mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan JAKIM, termasuk berkait pemantauan terhadap pusat penyembelihan dan status syarikat yang diragui.
“Bagi badan pensijilan halal luar negara yang pengiktirafan halal mereka ditarik balik oleh JAKIM, mereka boleh mendapatkannya semula jika memperbaiki kelemahan dan mematuhi semua syarat ditetapkan JAKIM.
“Ada kes pengiktirafan ditarik balik hanya kerana isu kecil, yang boleh diselesaikan secara pentadbiran,” katanya.
Artikel oleh: Berita Harian

BEBAS DIJUAL, PERMINTAAN TINGGI

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/620113/eksklusif-bebas-dijual-permintaan-tinggi


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL