Thursday, October 3, 2019

5348) KOPPIM MELANCARKAN PELAN EKOSISTEM EKONOMI ISLAM BARU - KENYATAAN AKHBAR PPIM - 03/10/2019

Cyberjaya, 3 Oktober -- Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) hari ini melancarkan Pelan Ekosistem Ekonomi Islam baru. 

Pengerusi PPIM, Nadzim Johan berkata, KoPPIM akan bertunjangkan tiga teras utama iaitu Pembangunan Ahli KoPPIM, Pembangunan Syarikat Pembayar Zakat dan Pembangunan Eko-Sistem Ekonomi Beretika. 

"Jika kami berjaya merealisasikan perancangan yang kami telah rangkakan ini, KoPPIM bakal menjadi tunjang kekuatan ekonomi Islam di negara ini,” katanya di Majlis Pelancaran Pelan tersebut di Raudhah City, Cyberjaya hari ini. 

Tambah Nadzim lagi, dengan halatuju yang baru, KoPPIM turut melantik Ketua Pengarah Eksekutif yang baru iaitu pengasas rangkaian pendidikan jenama Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim. 

Sebagai CEO KoPPIM yang baharu, Mohd Fadzil telah mengumumkan KoPPIM merancang untuk membuka 100 cawangan Malakat Mall khusus untuk usahawan Bumiputera bagi tujuan meningkatkan ekonomi umat Islam selaras dengan ketiga-tiga teras utama KoPPIM. 

Mohd Fadzil berkata, sistem ekonomi sedia ada telah gagal membawa umat Islam dan orang Melayu khususnya untuk maju dan menjadi penggiat utama ekonomi negara. 

Dengan lebih 1 trillion ringgit dibelanjakan untuk membangunkan ekonomi Bumiputera negara ini, agak mengecewakan apabila Bumiputera masih jauh ketinggalan dalam persaingan ekonomi dan perniagaan. 

"Sebagai contoh daripada keseluruhan RM108 billion nilai pasaran runcit negara (retail supply chain), Bumiputera hanya menguasai sebanyak RM8 billion, manakala baki RM32 billion adalah milik bukan Bumiputera dan lebih membimbangkan RM60 billion dikuasai syarikat asing," katanya.


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL