Saturday, May 9, 2015

2622) SINAR HARIAN - 08/05/15 - Kaji Semula Caj, Perkhidmatan Telco

Nadzim Johan
Nadzim Johan

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan talian telefon mudah alih prabayar yang kurang memuaskan, sering terputus secara tiba-tiba, selain dikenakan caj berlebihan tanpa pengetahuan pengguna "menyakitkan jiwa" mereka.

Itulah luahan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan akan masalah yang dihadapi oleh pengguna telefon prabayar di negara ini.

"Terlalu banyak aduan yang PPIM terima kerana perkhidmatan syarikat telco yang teruk kebelakangan ini antaranya 'drop call', tiba-tiba kita bercakap seorang, setiap panggilan yang terputus pengguna kena bayar terutama semasa kecemasan, pengguna terpaksa mencari line (isyarat talian dengan) berjalan walaupun di tepi longkang sekalipun.

Pengguna terpaksa sakit jiwa dan sakit hati kerana masalah talian yang tidak stabil," katanya pada sidang media meminta kerajaan mengkaji semula caj dan perkhidmatan telco di sini, hari ini. 

Semalam PPIM telah berbincang dengan wakil-wakil daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkaitan dengan banyak kelemahan dalam perkhidmatan telco di Malaysia.

"Kita (pengguna) bayar untuk isyarat yang sepatutnya dengan kadar yang sepatutnya, kadang-kadang panggilan kita masuk mel suara, malahan saya sendiripun terpaksa pergi ke telco untuk batalkan mel suara. Tak mau ada mel suara," katanya.

Isu lain sering dibawa oleh pengadu katanya adalah talian 3G dan 4G tidak penuh dan perkara yang menghantui pengguna ialah tidak mendapat sambungan internet.

Nadzim berkata dalam perkhidmatan telco itu ada syarat-syarat yang pengguna tidak tahu malahan caj telefon di negara ini adalah tinggi berbanding dengan negara lain dengan mutu perkhidmatan yang menurun.

"Kita (PPIM) meminta syarikat-syarikat telco tidak mengambil kesempatan atas kejahilan pengguna dan kelemahan penguatkuasa untuk mengaut keuntungan. Itu antara mesej yang jelas," katanya. 

PPIM turut meminta kerajaan supaya mewujudkan satu mekanisme untuk mengkaji balik caj-caj perkhidmatan ini sama ada ia masih relevan berdasarkan perkhidmatan yang tidak memuaskan langsung.

SKMM juga perlu mengkaji balik syarat-syarat yang boleh menjadi masalah kepada pengguna. 

"Cadangan yang kita buat kepada SKMM supaya seragamkan syarat-syarat yang dikeluarkan oleh syarikat telco dan syarat itu mestilah telah dikaji oleh SKMM dan KPDNKK," katanya.   

PPIM turut meminta kerajaan meluaskan lagi bidang penguatkuasaan untuk memastikan syarikat-syarikat telco ini tidak mengaut keuntungan yang begitu banyak sehingga membebankan pengguna, kata Nadzim. - Bernama

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL