Friday, May 1, 2015

2610) UTUSAN - 01/05/15 - Kerajaan Tidak Perlu Tunduk Desakan Telco - NGO




KUALA LUMPUR 30 April – Kerajaan tidak seharusnya tunduk dengan desakan syarikat telekomunikasi sebaliknya perlu lebih tegas dalam membuat keputusan berkaitan isu mengekalkan harga asal kad tambah nilai prabayar telefon bimbit.

Perkara tersebut disuarakan oleh persatuan-persatuan pengguna yang kecewa dengan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangguhkan penguatkuasaan harga asal bagi kad prabayar yang sepatutnya dilaksanakan esok menerusi pengumuman Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) semalam.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, keputusan tersebut juga memperlihatkan sikap SKMM yang lebih mengutamakan kehendak syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan daripada melindungi kebajikan rakyat.

“Kad prabayar merupakan keperluan penting kepada masyarakat terutama bagi golongan berpendapatan rendah serta pelajar-pelajar dan kerajaan seharusnya lebih prihatin dalam menangani isu ini.

“Tetapi amat menyedihkan sekali apabila keputusan untuk mengekalkan harga bagi kad prabayar ini begitu sukar sekali untuk diselesaikan dan SKMM yang sepatutnya melindungi kepentingan pengguna melakukan perkara sebaliknya pula,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

JKDM semalam mengarahkan semua syarikat telekomunikasi mengekalkan harga asal kad prabayar berdasarkan konsep ‘tax inclusive’ (termasuk cukai) sementara SKMM menegaskan penambahan caj enam peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke atas kad tambah nilai prabayar dikekalkan.

Dalam pada itu, menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, keputusan tersebut akan menambah kekeliruan dan kekecewaan rakyat apabila terdapat perbezaan arahan daripada kedua-dua agensi kerajaan itu.

“Percanggahan pendapat ini tidak seharusnya berlaku dan amat memalukan kerana kita dapat melihat tiada koordinasi antara kedua-dua agensi dalam menyelesaikan isu ini. SKMM perlu menghormati keputusan yang dibuat JKDM.

“Ini kerana keputusan yang dibuat JKDM sudah membuatkan ramai gembira namun kenyataan SKMM yang lebih memihak kepada syarikat telekomunikasi ini seumpama mempermainkan pengguna sehingga mereka merasa teraniaya dan tertipu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman meluahkan rasa tidak puas hati terhadap syarikat-syarikat telekomunikasi yang masih berdegil mahu mengenakan GST kepada pengguna kad prabayar serta tindakan kerajaan melayani kerenah mereka.

“Syarikat pembekal perkhidmatan ini dilihat sengaja menggunakan kesempatan menekan pengguna melalui pelaksanaan GST kerana sebelum ini mereka mampu pula membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada kerajaan tanpa sebarang penambahan pada harga kad prabayar.

“Selepas GST dilaksanakan, pada mulanya hanya terdapat beberapa syarikat sahaja yang mahu mengenakan cukai pada harga asal kad prabayar namun kini mereka semuanya sepakat pula tentang tambahan harga tersebut. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan harus dilihat secara teliti oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC),” katanya.


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL