Monday, June 2, 2014

1984) HARIAN METRO 31/5/2014 - Tak manipulasi fakta



Headline: Tak manipulasi fakta
Publication: HM
Date of publication: May 31, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 044
Byline / Author: Oleh Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan pertemuan dengan lapan badan bukan kerajaan (NGO) Islam semalam bagi mendengar pandangan berikutan pelbagai persepsi berhubung isu halal khususnya penemuan DNA Procine dalam coklat Cadbury.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata, pertemuan itu mengambil kira keperluan NGO yang memberi pandangan dan kritikan melalui media massa untuk diberikan penjelasan serta maklumat terperinci daripada JAKIM sendiri.

"Melalui pertemuan ini, kami menyatakan pendirian kami untuk tidak sekali-kali menyembunyi atau memanipulasi fakta kebenaran bersangkut dengan amanah yang dijalankan," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, JAKIM juga mengambil perhatian tinggi atas isu serta cadangan dibangkitkan NGO dalam pertemuan ini.

"Malah, JAKIM turut mengambil kesempatan melalui ruang ini untuk memaklumkan kedudukan isu penemuan DNA Procine dalam coklat Cadbury serta memberi penjelasan berhubung isu berkaitan halal," katanya.

NGO Islam yang menyertai pertemuan itu terdiri daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Allied Coordinating Committee of Islamic NGO (ACCIN), Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (GEPIMA), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL