Monday, June 23, 2014

2026) sinar harian 23/06/2014 - Kalimah ALLAH: Mahkamah tolak rayuan gereja


PUTRAJAYA  - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran rayuan penggunaan kalimah ALLAH dalam The Herald.

Empat daripada tujuh panel hakim yang bersidang menolak permohonan gereja untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah sebelum ini yang melarang penggunaan kalimah ALLAH penerbitan The Herald dalam versi bahasa Melayunya.

Selain Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, hakim-hakim lain yang membuat keputusan kes ini termasuklah Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.

Turut serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.

Editor akhbar Katolik, The Herald, Lawrence Andrew berkata beliau “amat kecewa dengan keputusan” hari ini.
Sebelum ini, penerbitan itu berkata, pihaknya tidak akan berputus asa untuk mendapatkan kebenaran menggunakan kalimah ALLAH.

The Herald tahun lalu memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan melarang Gereja Katolik menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan mingguannya.
Pada 16 Februari 2010, Ketua Paderi Gereja Roman Katolik, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara lain, pengisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.
Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk kepada “Tuhan” dalam edisi Bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.
Terdahulu, pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sisi undang-undang, tidak sah dan batal.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL