Monday, June 2, 2014

1973) BERITA HARIAN 2/6/2014 - Mekanisme sesuai perlu: PPIM


Kuala Lumpur: Mekanisme baharu penjualan minyak subsidi sepatutnya dilaksana lebih awal bagi memastikan hanya pengguna layak mendapat manfaat dari bantuan kerajaan itu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pengguna sudah lama menunggu pelaksanaan sistem itu kerana mekanisme sedia ada didapati tidak adil dan gagal membela nasib rakyat. 

“Mekanisme sekarang menggunakan sistem terbuka di mana sesiapa sahaja dapat membeli minyak subsidi sehingga golongan kaya yang tidak memerlukan bantuan mendapat manfaat. 


“Hasil penjimatan daripada mekanisme baharu ini boleh digunakan kerajaan bagi memberi lebih banyak manfaat kepada orang ramai seperti menaik taraf infrastruktur atau membaiki kemudahan bagi tentera dan polis,” katanya ketika dihubungi BH.

Beliau mengulas cadangan pelaksanaan sistem baharu penjualan diesel dan petrol bersubsidi untuk kenderaan komersial mulai 1 September, manakala bagi kenderaan persendirian pada 1 Oktober atau November depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Alias Ahmad, berkata melalui sistem itu, kerajaan menjangka mampu menjimatkan lebih RM9.8 bilion subsidi minyak selain memastikan hanya mereka yang berhak dan layak menikmati kemudahan subsidi berkenaan. 

Langkah itu adalah bagi memastikan hanya rakyat negara ini yang berhak mendapat subsidi serta mengelak kegiatan penyeludupan dan penjualan minyak kepada pihak berkepentingan. 
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang arahan daripada KPDNKK mengenai pelaksanaan mekanisme baharu berkenaan.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL