Monday, June 16, 2014

2017)HARIAN METRO 15/6/2014 - Suami muflis, isteri disenarai hitam


Headline: Suami muflis, isteri disenarai hitam
Publication: MA
Date of publication: Jun 15, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 022
Byline / Author: Oleh Ikram Ismail

Kuala Lumpur: Malang bagi pasangan suami isteri ini apabila masing-masing berdepan masalah dengan institusi kewangan berikutan kesalahan individu lain.

Si suami diisytihar bankrap kerana menjadi penama bagi pembelian kereta abangnya, manakala si isteri ditarik balik lesen sebagai ejen insurans selepas disenarai hitam apabila keretanya yang dijual tidak dijelaskan ansuran bulanan oleh pembeli baru.

Kedua-duanya yang ditemui Metro Ahad di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa menjadi mangsa keadaan tanpa diduga akibat terlalu percayakan orang lain.

Kamalruddin Drahman, 67, berkata pada 1997, dia yang bekerja sebagai pegawai keselamatan di sebuah hotel menjadi penjamin kepada abangnya.

"Saya bersetuju kerana mahu membantu abang saya yang bercadang memulakan perniagaan kereta sewa. Lagipun abang saya tiada lesen dan pekerjaan tetap, oleh itu saya ingin membantu," kata bapa kepada tiga anak ini.

Masalah bermula apabila abangnya tidak menjelaskan bayaran ansuran kereta itu selepas tiga tahun.

"Saya ingat lagi, ketika itu kami sekeluarga pulang ke kampung dan mahu mengeluarkan gaji.

"Ketika ingin pulang semula, saya berhajat mengeluarkan duit namun terperanjat mendapati tiada baki di dalam akaun," katanya yang terpaksa meminjam duit daripada saudaranya untuk pulang ke ibu kota.

Apabila pergi ke bank dan bertanya masalah itu, Kamalruddin diberitahu, dia diisytihar bankrap kerana tidak menjelaskan ansuran kereta RM24,000.

"Saya terperanjat dan tidak menyangka abang langsung tidak memberitahu saya. Malah, dia berdolak-dalik dan enggan menjelaskan bayaran tertunggak," katanya yang menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2012.

Sebelum itu, pada 2007, Jabatan Insolvensi Malaysia mengarahkan dia membuat pembayaran balik sebanyak RM50 sebulan.

"Saya bersetuju dengan pembayaran itu, tetapi sejak berhenti kerja pada 2008 selepas diserang penyakit jantung, saya tidak mampu membuat pembayaran," katanya.

Isterinya, Renawati Yahya, 38, pula membeli sebuah kereta pada 2007 dengan pembayaran RM864 sebulan.

Pada 2010, dia tidak mampu membayar ansuran bulanan kerana suaminya sakit.

"Saya menjual kereta terbabit dengan sebuah syarikat kereta terpakai tanpa menukar nama.

"Malah, saya diyakinkan dengan satu perjanjian antara saya dan penerima kereta yang dia akan membayar ansuran," katanya.

Malangnya, pembeli kereta Renawati tidak menjelaskan ansuran dan akhirnya kereta terbabit dilelong oleh bank sebanyak RM30,400 pada Januari lalu.

"Saya cuma tahu apabila menerima surat bahawa saya perlu menjelaskan lagi baki hutang sebanyak RM17,600," katanya.

Selepas gagal menjelaskan bayaran terbabit, Renawati terpaksa berhenti kerja sebagai ejen insurans kerana peraturan institusi kewangan tidak membenarkan kakitangan yang disenarai hitam bekerja.

"Kini saya dan suami bergantung kepada kerja mengandam dan berniaga kecil-kecilan," katanya yang mahu pelepasan senarai hitam untuknya dan muflis bagi suaminya daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.

Kamalruddin berkata, kehidupan dia sekeluarga kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga berikutan isterinya juga bakal bankrap jika had hutang mencecah RM20,000.

"Saya bimbangkan anak saya yang masih bersekolah dan mungkin memberhentikan mereka daripada persekolahan kerana bantuan RM300 daripada Baitulmal tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga.

"Ketika ini pendapatan saya dan isteri juga tidak mencukupi untuk membayar hutang," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya kini berhubung dengan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi permohonan pelepasan muflis untuk Kamalruddin.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL