Thursday, April 24, 2014

1866) BERITA HARIAN 22/04/2014 - Bilangan individu bankrap ke MdI meningkat



PUTRAJAYA: Bilangan individu bankrap yang menghadirkan diri ke Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) pada tahun lalu meningkat 37 peratus kepada 50,912 orang berbanding 37,265 pada tahun sebelumnya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, berkata peningkatan itu mencerminkan keberkesanan program kesedaran yang dijalankan MdI di seluruh negara untuk menggalakkan orang ramai mendapatkan khidmat nasihat mereka. 


"Kita galakkan mereka yang bankrap supaya datang kepada kita supaya mereka dapat discaj seberapa segera. Kalau boleh kita tidak mahu jumlah bankrap ini meningkat meskipun kita tahu ia sukar dielakkan akibat adanya pinjaman kewangan untuk perniagaan, perumahan dan sebagainya," katanya ketika berucap dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MdI 2013, di sini hari ini. 



Bercakap kepada pemberita kemudian, Nancy menyarankan agar MdI mempertimbang peruntukan tidak melelong rumah pertama individu yang bankrap dalam pindaan Akta Kebankrapan 1967 yang sedang dibuat oleh institusi itu. 

"Saya rasa ini antara perkara yang boleh menyebabkan orang kita tertekan dari segi kehidupan kerana kalau itu sahaja rumah yang mereka ada, kalau dilelong ke mana mereka nak pergi," katanya. 

Katanya, pindaan akta itu bagi memudahkan individu yang diisytihar bankrap mendapat pelepasan kebankrapan. 

Ketika ini individu yang bankrap boleh keluar daripada kebankrapan melalui tiga kaedah iaitu pembatalan melalui mahkamah, pelepasan melalui mahkamah dan pelepasan sijil Ketua Pengarah Insolvensi. 
Mengenai cadangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini berhubung penubuhan khidmat guaman percuma bagi membantu golongan muflis berdaftar, Nancy berkata terpulang kepada PPIM jika mahu membantu menyediakan perkhidmatan itu. 

"Kita tak melarang PPIM nak buat perkhidmatan itu, kita hargai. Tetapi kalau mengatakan MdI tidak membantu langsung, itu tidak betul. Ini kerana MdI memang tidak memberi perkhidmatan guaman tetapi Jabatan Bantuan Guaman ada," katanya. 

BERITA SELANJUTNYA
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BilanganindividubankrapkeMdImeningkat/Article/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL