Friday, April 11, 2014

1843) 2 APRIL 2014 UTUSAN MALAYSIA - CELCOM PERLU BERLAKU JUJUR



KUALA LUMPUR 1 April - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna mendesak Celcom Axiata Bhd. (Celcom) meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan, selain berlaku jujur dalam unjuran penyata bulanan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, adalah suatu yang tidak wajar syarikat perkhidmatan telekomunikasi berkenaan enggan menaik taraf mutu perkhidmatan dengan alasan untuk menjimatkan kos syarikat.
Jelasnya, perkhidmatan Celcom adalah indah khabar daripada rupa walaupun merupakan antara syarikat telekomunikasi gergasi di Malaysia.
Tambahnya, ekoran keengganan Celcom untuk menaik taraf perkhidmatannya, pengguna terpaksa berdepan dengan tekanan akibat perlu membayar jumlah bil yang tinggi dan tidak masuk akal.
"Celcom perlu memastikan mutu perkhidmatan setaraf dengan caj dikenakan, namun apa yang berlaku sekarang, pengguna perlu membayar caj yang mahal tetapi menikmati servis amat minimum," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Nadzim, antara aduan yang seringkali diterima adalah berhubung mutu talian yang tidak lancar selain tersekat-sekat dan drop call.
"Saya yakin jika Celcom memandang masalah pengguna dari sudut yang berbeza dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata, masalah yang acap kali mengganggu pengguna dapat diatasi.
"Pembinaan terminal menara komunikasi yang lebih banyak dilihat sebagai langkah terbaik dalam mengatasi kerunsingan pelanggan syarikat telekomunikasi berkenaan. Melalui cara itu, kebarangkalian talian tersekat-sekat dan tidak lancar dapat ditangani," jelasnya.
Selain itu, beliau memberitahu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) boleh bertindak menyaman syarikat berkenaan ekoran menganiaya pengguna.
"Sebelum perkara itu berlaku, ada baiknya, Celcom bertindak terlebih dahulu mengatasi masalah pelanggannya. Celcom memiliki keuntungan yang tinggi, jadi saya tidak melihat kekangan bagi mereka untuk membaiki kualiti perkhidmatan," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung ketidakpuasan pelanggan syarikat telekomunikasi itu dari segi pembayaran hutang.
Jelasnya, Celcom melantik ejen kutipan yang bertindak untuk menghubungi pelanggan bagi mengingatkan tentang pembayaran bil, namun golongan ini bertindak melangkaui peraturan ditetapkan oleh SKMM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
"Ejen berkenaan bertindak melampau apabila menghubungi pelanggan tanpa mengira waktu sehingga mengganggu masa rehat.
"Malah, ada dalam kalangan mereka menggunakan kekerasan dan mengugut pelanggan yang enggan membayar bil seperti diarahkan," jelasnya.
Tambahnya, Celcom sebagai sebuah syarikat telekomunikasi yang besar dan terkenal seharusnya mengambil sikap untuk menjaga kepentingan pengguna.
"Ini tidak, masih terdapat banyak aduan berhubung langganan konteks atau aplikasi yang diberhentikan. Walaupun pelanggan sudah berhenti menggunakan perkhidmatan berkenaan, namun masih perlu membayar kerana konteks atau aplikasi tersebut di bawah syarikat pembekal.
"Sepatutnya Celcom tidak lepas tangan. Mereka patut bersama pelanggan mencari jalan bagi mengatasi masalah berkenaan," katanya.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL