Tuesday, July 9, 2019

5062) CADANGAN JUAL ISI DURIAN WAJAR DIPERTIMBANG - SINAR HARIAN - 09/07/2019



KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengalu-alukan sekiranya terdapat pilihan pasaran terbaru dalam penjualan durian di mana raja buah itu dijual tanpa kulit.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, inisiatif seperti itu bukan sahaja memberi pilihan kepada pengguna, malah dapat mengatasi masalah penipuan dan kerugian dialami pengguna yang kerap memperoleh durian buruk atau busuk.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan perkara ini, mungkin dengan mewujudkan satu peraturan untuk penjual durian menjual isi durian sahaja kerana ia langkah yang sangat baik.

“Namun, jika ia dilaksanakan, penjual durian perlu memastikan kualiti atau jaminan isi durian itu mestilah berada pada tahap terbaik. Langkah tersebut sebenarnya telah diaplikasikan untuk durian yang dieksport ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Terdahulu, tular kisah mengenai seorang pemuda, Mohd Izzuwan Ismail, 30, yang menjual durian tanpa kulit di bahu jalan di Batu 15, Jalan Sintok, Kedah sehingga gerainya menjadi tumpuan peminat raja buah itu.

Mekanik motosikal itu dilaporkan berkata, inisiatif tersebut diambil kerana dia sering terbeli durian buruk dan mendapat idea untuk menjual isi durian saja bagi memastikan pelanggan berpuas hati.

Setiap isi durian diisi di dalam bekas dan dijual pada harga RM25 sekilogram, sementara sebiji durian akan dijual bermula dengan harga RM8 sekilogram sehingga RM25 mengikut jenis.


Artikel oleh: Sinar Harian

CADANGAN JUAL ISI DURIAN WAJAR DIPERTIMBANG

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...