Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, sasaran jualan itu merupakan peningkatan sebanyak RM10 juta berbanding penganjuran Halfest pada tahun lalu.
Jelasnya, selain itu, Halfest Jakim 2019 juga dijangka mampu menarik seramai 80,000 hingga 90,000 pengunjung dalam tempoh lima hari penganjuran ekspo tersebut.
“Inisiatif rahmah yang dijalankan oleh Jakim dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui ekspo ini memberi manfaat kepada masyarakat dengan menjelaskan tentang kepentingan halal kepada semua rakyat.
“Penganjuran ekspo ini dilihat mampu menyokong usaha pihak kerajaan dalam membangunkan Dasar Halal Negara yang telah dipersetujui semasa Mesyuarat Halal Malaysia ke-4 baru-baru ini yang menjadi rujukan kepada pemegang taruh di pelbagai agensi terhadap isi berkaitan halal,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Halfest Jakim 2019 di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Abd. Khadir dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Halfest Jakim 2019 dijangka akan menerima penyertaan lebih 450 usahawan yang bakal memenuhi lebih 500 ruang pameran untuk menyajikan pelbagai produk halal berkualiti tinggi kepada pengunjung.
Antara sektor yang diketengahkan sepanjang Halfest Jakim 2019 antaranya makanan,minuman, perbankan islam,takaful, pelaburan patuh syariah, pembungkusan makanan halal, katering, perkhidmatan status halal dan badan keusahawanan.
Ekspo itu dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 5 September depan.
Dalam pada itu, menurut Mujahid, ekspo itu juga berupaya menjadi pusat untuk Jakim dan MAIWP merealisasikan agenda pembangunan ummah berasaslan model Malaysia secara menyeluruh dan menyokong penyertaan usahawan pelapis daripada golongan berpendapatan rendah (B40).
“Apabila idea Halfest Jakim 2019 dikemukakan kepada kami, saya berasa amat gembira kerana Jakim dan MAIWP boleh menggunakan seluruh kekuatan dalam pelbagai aspek untuk membantu usaha meningkatkan syiar islam terutamanya dalam aspek halal.
“Ia selaras dengan matlamat kepimpinan kerajaan baharu yang mahukan Islam dilihat secara secara universal serta holistik selain medan terbaik untuk penyatuan ummah tidak kira bangsa dan agama,” katanya. - K! ONLINE

Artikel oleh: Kosmo
HALFEST JAKIM 2019 SASAR NILAI JUALAN RM70 JUTA