Friday, July 19, 2019

5089) KERAJAAN DIGESA TIMBANG SEMULA PELAKSANAAN LEVI PELEPASAN - MALAYSIA GAZETTE - 19/07/2019


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan menimbang semula pelaksanaan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara yang akan bermula September depan.
Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, perjalanan udara bukan lagi suatu bentuk kemewahan, sebaliknya ia adalah keperluan sesetengah pihak seperti pelajar mahupun pesakit yang mendapatkan rawatan di luar negara.
Menurut beliau, masyarakat sering menganggap hanya individu yang berkemampuan sahaja menaiki kapal terbang sedangkan boleh lihat di lapangan terbang ramai golongan berpendapatan sederhana dan rendah juga menggunakan khidmat syarikat penerbangan.
Malah, Nadzim turut menegaskan industri pelancongan perubatan di Malaysia yang semakin berkembang juga akan terkesan dengan penguatkuasaan levi pelepasan dan ia dilihat sedikit sebanyak menjejaskan kedudukan negara sebagai pusat perubatan serantau.
“Impak yang lebih ketara akan memberi kesan kepada ketibaan pelancong secara keseluruhan terutamanya ketika negara mensasarkan ketibaan lebih 30 juta pelancong luar sempena Tahun Melawat Malaysia tahun hadapan (VMY2020) yang dijangka menjana pendapatan RM100 bilion untuk negara.
“Kesan turut dijangka membabitkan industri pelancongan dan ekonomi negara secara keseluruhan dan kesan lanjutan kepada hotel-hotel, pusat beli-belah, sehinggalah kepada pemandu teksi dan e-hailing yang bergantung pendapatan kepada industri ini,” katanya menerusi kenyataan media.
April lalu, Dewan rakyat melukuskan Rang Undang-undang Levi Pelepasan 2019 yang antara lain akan menyediakan peruntukan bagi mengenakan levi pelepasan ke atas mana-mana individu yang meninggalkan negara serta perkara-perkara lain berkaitan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 mencadangkan agar levi pelepasan dikenakan pada kadar RM20 seorang untuk penumpang yang terbang ke negara anggota ASEAN dan RM40 ke negara lain.
Beliau turut memaklumkan bahawa jemaah haji dan umrah kali pertama dikecualikan daripada membayar levi pelepasan udara ke luar negara dan ia turut terpakai bagi penganut agama lain yang kali pertama mengerjakan ibadat mengikut agama masing-masing.
Dalam pada itu, Nadzim menggariskan panduan yang jelas harus dikeluarkan untuk mereka daripada agama lain.
“Kami mewakili pengguna di negara ini menyambut baik kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi untuk menunda pelaksanaan levi pelepasan ini setidak-tidaknya selepas Tahun Melawat Malaysia 2020 berakhir.
“Bagaimanapun, kita amat berharap agar levi pelepasan ini dihapuskan sepenuhnya, demi kepentingan pengguna Malaysia dan industri pelancongan kita,” ujarnya.

Artikel oleh: Malaysia Gazette
KERAJAAN DIGESA TIMBANG SEMULA PELAKSANAAN LEVI PELEPASAN

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...