Tuesday, March 14, 2017

3553) Hasutan Ancam Keharmonian Negara - Malaysia Aktif - 14/3/2017

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Malaysiaaktif) – “Beliau merupakan seorang ahli politik dan juga peguam, seharusnya Raveenthran Subramaniam tahu apa yang ingin beliau sampaikan melalui perucapan atau mana-mana rangkaian media sosial, beliau tahu apa kesan yang bakal berlaku jika ia berbaur negatif. Sekalipun beliau telah memohon maaf atas ketelanjuran beliau, tindakan tegas perlu diambil.” Demikian tegas Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan ketika ditemui semasa Sidang Media Khas berkenaan isu ini di Restoran Sembang-Sembang, di sini hari ini. PPIM dan wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) amat gusar dan terkesan dengan kenyataan tersebut kerana ianya suatu kenyataan yang tidak terpanggil dan tidak berakal serta tidak sesuai untuk dipakai. Datuk Nadzim Johan (tengah) memberikan penerangan dan menjawab soalan media berkenaan isu Hasutan Ancam Keharmonian. Turut hadir, wakil Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), wakil Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia, wakil Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID) serta wakil Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PEMA) “Kami amat tersinggung dan beliau sebagai seorang rakyat Malaysia yang berpendidikan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan bahawa Islam bukan satu agama yang aman. “Ia merupakan suatu penghinaan termasuk menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam dan Islam merupakan agama rasmi Persekutuan dan tiada satu sebab mengapa beliau seharusnya mengeluarkan kenyataan seperti ini tanpa sebarang bukti yang boleh menjejaskan keharmonian negara,” jelas Nadzim. Kurang 24 jam yang lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Raveentharan dalam laman sosial peribadi beliau dengan menggunakan nama yang sama telah memuat naik status dalam bahasa Inggeris yang bermaksud ‘Islam tidak pernah jadi agama keamanan’ (firstly, Islam was never a religion of peace). Walaubagaimanapun, status yang dimuat naik tersebut telah dipadamkan dan disusuli dengan status permohonan maaf. Ketika ditemui, Presiden Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia, Dr. Noorazman Mohd Samsudin turut menyatakan isu kenyataan ini perlu diambil serius kerana ia adalah kenyataan seorang ahli politik dan para agamawan yang fanatik mungkin mensalahtafsirkan isu ini. Menurut Noorazman ia boleh membawa kepada perselisihan agama seperti yang berlaku di India pada tahun 1992 iaitu peristiwa Perobohan Masjid Babri akibat daripada perhimpunan parti politik dan  hasutan yang seterusnya menjadi isu keganasan agama. “Tujuh laporan polis telah dibuat dalam tempoh 24 jam dari kenyataan Raveenthran Subramaniam dan walaupun beliau telah memohon maaf namun kesannya amat besar.   “Perkataan ‘never’ (tidak pernah) dalam kenyataan beliau amat jelas dan menekankan terhadap pandangan beliau yang negatif kepada Islam secara keseluruhannya. Kami mendesak beliau disiasat dan ditahan oleh pihak berkuasa berikutan kenyataan yang dilihat mencabar dan menghina Perlembagaan Persekutuan,” tegas Noorazman. Noorazman juga menggesa agar perkara ini dipandang serius oleh pihak berkuasa dan mengenalpasti tujuan kenyataan tersebut dikeluarkan. Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID) Malaysia, Masridzi Sat pula berkata isu penghinaan terhadap kesucian agama Islam semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Tindakan pihak yang menyalahgunakan kebebasan bermaklumat di Malaysia merupakan racun kepada kemakmuran negara. “Bagaimanapun, kita berharap apa yang diungkap melalui permohonan maaf itu bukan sekadar untuk meredakan kemarahan umat Islam semata-mata, sebaliknya harus diteruskan di peringkat pendakwaan dan hukuman”, katanya. Jelas Masridzi, permohonan maaf individu terbabit yang disiarkan melalui facebook tidak harus dijadikan alasan oleh pihak berkuasa untuk tidak mengambil sebarang tindakan. Pihak berkuasa harus bertindak tegas bagi memastikan ia tidak berterusan. “Tindakan pihak berkenaan sekiranya tidak dibendung boleh menyemarakkan sentimen perkauman dan keagamaan. Saya bimbang keadaan akan semakin parah sehingga mencetuskan perpecahan perpaduan pelbagai kaum dan agama di negara ini,” tambahnya lagi. Turut hadir semasa Sidang Media Khas tersebut ialah Pengarah Latihan PPIM, Izham Nayan, Timbalan Pengerusi serta Setiausaha Agong Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Mahmud Hishamuddin dan Mansor Ibrahim dan Presiden Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PEMA), Zamri Zaimon. -MSM

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...