Monday, March 13, 2017

3549) "ALLAH BERI SAYA KEKUATAN" - SINAR HARIAN - 13/3/2017


DR ZAKIR Naik sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Setiap kali berceramah, pasti ribuan orang akan hadir. Kehebatannya memberikan ceramah, menceritakan mengenai Islam serta menjawab persoalan mengenai agama lain membuatkan majoriti masyarakat mengakui kehebatannya membentangkan fakta. Namun di sebalik kehebatannya, banyak cabaran serta dugaan yang ditempuhinya bagi melakukan kerja dakwah serta menyampaikan mesej kedamaian. Antara cabaran yang dihadapinya adalah digelar sebagai pengganas oleh beberapa pihak, sementara yayasan naungannya, Islamic Research Foundation (IRF) digantung kerajaan India atas pelbagai alasan. Walaupun menghadapi pelbagai rintangan, beliau bersyukur kepada ALLAH SWT kerana masih memberi kekuatan kepadanya untuk melakukan dakwah, tugasan yang dijalankannya aktif lebih 25 tahun lalu. Media antarabangsa melaporkan abang dan kakak anda kini disiasat polis berikutan dakwaan yang mengatakan yayasan seliaan anda, Islamic Research Foundation (IRF) membiayai dana untuk kumpulan pengganas. Apa penjelasan anda? Berhubung tuduhan yang mengatakan saya dengan aktiviti penyelewengan wang dan pemberian dana untuk tujuan keganasan, saya sentiasa menghantar segala rekod transaksi yayasan saya kepada kerajaan India setiap tahun untuk tempoh 25 tahun. Dalam tempoh tersebut, tidak pernah satu tuduhan yang pernah dibuat oleh mana-mana pihak terhadap saya. Isu ini lebih terarah kepada politik pihak tertentu. Tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia yang mana seorang pendakwah terkenal dunia dituduh oleh beberapa pihak sebagai seorang pengganas. Saya pernah merangkul Anugerah Raja Faisal, anugerah tertinggi dalam dunia akademik Islam, Anugerah Al-Quran Dubai yang merupakan anugerah kedua tertinggi selepas Anugerah Raja Faisal, tokoh Maal Hijrah dan beberapa anugerah lagi di beberapa buah negara. Alhamdulillah, banyak negara Islam yang bangun untuk menyokong saya dari belakang. Tetapi persoalan utama, adakah umat Islam di seluruh dunia bersatu untuk mempertahankan individu tersebut. Saya tidak menafikan ada orang Islam yang menyokong agenda pihak ini untuk kepentingan mereka. Alhamdulillah, ALLAH SWT telah menyelamatkan saya banyak kali dalam tempoh 25 tahun ini. Saya tidak akan menyesal sekiranya saya ditakdirkan untuk memasuki penjara. Lihat kepada Rasullah SAW yang berhijrah dari Makkah (ke Madinah) dan kembali semula ke Makkah beberapa tahun kemudian. Adakah anda turut diburu polis India untuk membantu siasatan itu? Biar saya ceritakan sedikit sejarah sebelum dakwaan ini berlaku. Pada 1 Julai 2015, Dhaka, Bangladesh bergegar apabila satu kumpulan pengganas menyerang bandar raya itu dan serangan tersebut mengorbankan 25 mangsa. Dua hari kemudian, terdapat laporan daripada sebuah media Bangladesh yang mengatakan salah seorang daripada ahli kumpulan itu adalah peminat saya. Daripada laporan tersebut, beberapa buah media India mengambil laporan itu dan ini sekali gus membuatkan nama saya meledak secara tiba-tiba. Dari situ, ribuan Muslim India bangkit untuk mempertahankan saya. Dan Alhamdulillah, setahun kemudian, Parlimen India mengesahkan bahawa saya tidak terlibat dengan sebarang gerak kerja kumpulan pengganas kerana tidak menjumpai apa-apa kaitan saya dengan mana-mana kumpulan pengganas. Namun, selepas beberapa bulan, pihak berkuasa ini kembali menyiasat semula kes berkenaan. Pada bulan September 2015, kerajaan India mengambil keputusan untuk menggantung yayasan saya bagi tempoh lima tahun. Melihat pada situasi tersebut, dalam satu sidang media, saya mengatakan bahawa saya bersedia untuk disiasat oleh pihak berkuasa India. Sekiranya mereka mahu melakukan pendakwaan, saya bersedia untuk didakwa di mahkamah dengan syarat pendakwaan itu didengari di mahkamah negara lain. Saya juga bersedia sekiranya kes ini dibawa ke mahkamah Malaysia untuk dibicarakan mengikut lunas undang-undang antarabangsa. Saya tidak takut. Berapa ramai memeluk Islam di hadapan anda? ALLAH SWT adalah Tuhan yang menyimpan segala rekod hidup kita. Hanya Dia yang akan mengizinkan sama ada seseorang itu memeluk Islam atau tidak. Saya hanya bertugas sebagai orang yang bertanggungjawab mengajak dan mengajar masyarakat mengenai Islam. Saya sentiasa berdoa supaya ALLAH SWT mempermudah kan urusan saya untuk mengajar masyarakat dan menerima apa yang saya buat ketika ini. Bagaimana anda melihat masyarakat Islam di Amerika Syarikat (AS) selepas Donald Trump dipilih menjadi presiden AS? Saya tidak mempunyai angka berhubung perkara ini kerana tidak membuat sebarang kajian. Tetapi, setelah insiden 11 September 16 tahun yang lalu, yang mana agama Islam dikecam dengan teruknya oleh majoriti masyarakat dunia, jumlah rakyat AS yang memeluk Islam dianggarkan dalam 34,000 orang dalam tempoh 10 bulan pertama selepas insiden itu. Lebih teruk sesebuah pihak mengecam Islam, lebih ramai masyarakat yang ingin mengenali dan memeluk Islam. Jangan takut untuk memberi maklumat mengenai Islam kepada masyarakat. Tetapi, takutlah kepada ALLAH SWT. ALLAH SWT telah berjanji bahawa Islam akan bangkit. Kita perlu melahirkan kepercayaan terhadapNYA. Adakah anda sudah mempersiapkan seseorang sebagai penyambung legasi pendakwah penceramah setaraf anda? Kita sudah merancang beberapa perkara untuk berdakwah demi Islam. Saya sudah mengajar kanak-kanak kecil mengajar dan menghafal Al-Quran sejak umur 2 tahun. Saya sudah meramalkan beberapa tahun lalu apa yang akan berlaku terhadap saya sekiranya melakukan kerja dakwah dan hari ini, ia telah berlaku. Memang kerja dakwah akan menghadapi cabaran serta dugaan dari pelbagai sudut. Kita lihat Rasullah SAW yang menghadapi pelbagai cabaran untuk berdakwah selama puluhan tahun. Ini semua keizinan ALLAH SWT. Apakah rahsia anda hingga boleh hafal kitab-kitab agama lain? Ia adalah satu rahsia terbuka. Ini semua adalah bantuan ALLAH SWT. Saya pernah beritahu anak saya, walaupun dia berjaya menghafal kitab, tanpa bantuan ALLAH SWT, dia tidak mungkin akan berjaya. Saya pernah gagal dalam peperiksaan bahasa Inggeris. Tetapi, dengan bantuan ALLAH SWT, saya berjaya bertutur dalam bahasa Inggeris. Alhamdulillah

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...