Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan berterusan perlu supaya sindiket yang merupakan kartel menjalankan aktiviti haram tidak langsung diberikan peluang dan ruang.

“Pegawai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu sentiasa menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap syarikat yang gagal melunaskan cukai kepada kerajaan kerana sindiket ini dilihat cukup kuat menipu.

“Kita yakin, jika diberi ruang dan peluang kepada sindiket ini, sudah pasti penjenayah kecil akan bertukar besar dan mungkin bertambah besar jika tidak dikekang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Laporan eksklusif Mingguan Malaysia hari ini mendedahkan beberapa syarikat milik seorang ahli perniagaan yang diserbu kerana dipercayai gagal melunaskan cukai kepada kerajaan, rupa-rupanya berselindung di sebalik perniagaan ternakan ayam dan udang bagi menjalankan aktiviti perjudian haram empat nombor ekor (4D).

Malah, hasil daripada serbuan itu turut menemukan senarai nama pegawai dan anggota sebuah agensi penguat kuasa yang didakwa menerima habuan secara bulanan daripada sindiket tersebut.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, amalan rasuah yang berlaku dalam kalangan agensi penguat kuasa tidak kira melibatkan pegawai atasan mahupun bawahan adalah didorong oleh imbuhan sangat lumayan.

“Rasuah ini bagaikan api. Untuk jangka masa pendek, mungkin boleh memadamnya menggunakan pemadam api tetapi untuk jangka panjang, perkara ini perlu dididik dari kecil bermula dengan keluarga dan peringkat sekolah.

“Perkara ini perlu dimulakan daripada sekolah supaya masyarakat terutamanya golongan muda dididik bukan untuk takut dengan undang-undang tetapi menjadikannya sebagai satu budaya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pihak berkuasa perlu bertindak lebih agresif dalam menjalankan siasatan dan serbuan.

“Buat masa ini, mungkin pengusaha menggunakan pelbagai taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa tetapi dengan adanya serbuan demi serbuan, sindiket ini pasti akan lumpuh,” katanya.