Thursday, December 25, 2014

2283) UTUSAN BORNEO - 24/12/2014 - PPIM Cadang Kerajaan Tubuh Suruhanjaya Insolvensi Bantu Individu Bankrap

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Insolvensi bagi membantu individu bankrap keluar dari belenggu kebankrapan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata suruhanjaya itu perlu memandangkan senario kebankrapan yang semakin membimbangkan setiap tahun.
Jelasnya, terdapat juga kes kebankrapan yang bukan kerana hutang individu itu sendiri tetapi disebabkan penganiayaan pihak lain.
“PPIM menerima banyak aduan dari masyarakat yang mengatakan mereka tidak tahu telah bankrap dan hanya mengetahui mengenainya apabila nama mereka keluar dalam iklan surat khabar.
“Ramai antaranya tidak menerima pun notis daripada Jabatan Insolvensi dan ada juga kes yang diisytihar bankrap kerana ada individu lain telah menggunakan kad pengenalan mereka tanpa pengetahuan untuk membuat pinjaman kad kredit dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.
Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Kewangan PPIM Sheikh Abdul Kareem Said berkata kewujudan suruhanjaya itu boleh membantu mengatasi beberapa kelemahan dalam Jabatan Insolvensi.
“Misalnya, individu yang bankrap akibat penganiayaan pihak lain, Jabatan  Insolvensi tidak menyiasat terlebih dahulu, mereka terus membankrapkan pemiutang berdasarkan jumlah hutang daripada bank,” kata beliau.
Menurutnya, individu bankrap juga mengambil masa lama untuk membebaskan diri mereka dari kebankrapan kerana terlampau banyak kerenah birokrasi perlu dilalui.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata baru-baru ini, seramai 12,381 individu diisytiharkan bankrap bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Daripada jumlah itu, 579 adalah individu dari kalangan belia berumur 25 tahun ke bawah. — Bernama

Sumber : http://www.utusanborneo.com.my/content/ppim-cadang-kerajaan-tubuh-suruhanjaya-insolvensi-bantu-individu-bankrap

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...