Sunday, December 7, 2014

2243) SEMINAR HIBURAN DAN ISLAM : Hiburan tersasar dari agama punca belanja rumah tangga tidak seimbang, kata pensyarah

Profesor Datuk Baharudin Ahmad berkata sebahagian besar perbelanjaan keluarga dihabiskan kepada hiburan dan makanan ringan yang tidak berzat. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 6 Disember, 2014.
Profesor Datuk Baharudin Ahmad berkata definisi hiburan bagi orang Islam ketika ini sudah tersasar daripada matlamat yang sebenar mengikut landasan budaya dan agama.

"Sebahagian besar perbelanjaan keluarga dihabiskan kepada hiburan, makanan ringan yang tidak berzat, pakaian yang melambangkan kebanggaan anak muda kepada sebuah kelab bola sepak, pertubuhan sosial berkaitan hiburan atau pakaian berjenama. "Cara berpakaian, jenama pilihan, fesyen terbaru, muzik dan filem terbaru serta berbagai-bagai lagi, menjadikan perbelanjaan rumah tangga tidak seimbang," katanya pada satu seminar anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Dalam kertas kerjanya yang dibentangkan ketika Seminar Kebangsaan Hiburan dan Islam itu, Baharudin juga mengatakan bunyi-bunyian yang dihasilkan sesetengah alat muzik boleh menimbulkan masalah sosial. Beliau sependapat dengan seorang lagi penceramah di seminar itu, pendakwah bebas Abdul Raof Nurin yang menegaskan, majoriti ulama besar berpendapat penggunaan alat muzik yang bertali seperti gitar adalah haram.

"Majoriti ulama mengharamkan penggunaan alat-alat muzik, kecuali yang diketuk dan dipukul seperti kompang, gendang, walaupun yang mempunyai kerencing," kata Raof dalam kertas kerjanya.

Ia termasuk piano, drum, saksofon dan yang seumpamanya, katanya.

Penggunaan alat muzik tersebut dikatakan mengheret ke arah hiburan yang meniru budaya Barat dan tidak bercirikan Islam. "Mendengar nyanyian dan lagu yang tiada kena mengena langsung dengan keagamaan, disertai dengan penggunaan atau bunyi alat muzik yang dilarang syarak, ditambah pula mengadakan konsert dengan pergaulan tanpa batas, melalaikan fardhu sembahyang, sangat berkesan menarik golongan remaja kepada kelalaian," katanya.

Raof berkata, agama Islam tidak melarang umatnya berhibur, tetapi ia mesti memenuhi syarat tertentu yang mengambilkira faktor masa, tempat dan kegiatan yang dilakukan semasa berhibur. "Tiada melarat kepada perkara haram, tiada pergaulan tanpa batasan antara lelaki dan perempuan, tidak disertai arak, tidak melalaikan sembahyang, tiada senikata atau gerak membangkitkan nafsu," katanya.

Beliau juga berpendapat, pertandingan nyanyian dan acara sukan renang yang bercampur antara lelaki dan perempuan adalah bertentangan ajaran Islam. "Ini semua contoh yang menunjukkan terdapat insan hari ini yang tidak memahami hakikat yang iman dan amal soleh adalah punca kebahagiaan dan merupakan hiburan yang sejati," katanya.

- Disember 6, 2014.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...