Thursday, December 25, 2014

2277) UTUSAN MALAYSIA - 24/12/2014 - Tangani Isu Birokrasi


Tubuhkan suruhanjaya dalam Jabatan Insolvensi

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Kerajaan disaran mewujudkan satu suruhanjaya dalam Jabatan Insolvensi bagi me­lancarkan urusan dokumentasi dan membentuk sistem kerja yang le­bih sistematik.

Hal ini berikutan terdapat banyak aduan mengenai masalah biro­krasi di jabatan tersebut termasuk isu kelewatan dalam menyediakan dokumen-dokumen berhubung individu yang diisytihar muflis.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, terdapat banyak kes melibatkan individu yang diisytihar muflis oleh pihak bank tidak menerima sebarang dokumen berkaitan daripada Jabatan Insolvensi.

Menurut beliau, masalah itu menimbulkan kekeliruan kepada mereka yang terlibat, se­kali gus menyukarkan proses untuk bebas daripada muflis.

“Cadangan suruhanjaya tersebut dilihat sebagai satu kaedah penyelesaian terbaik untuk menangani masalah-masalah birokrasi yang timbul di Jabatan Insolvensi.

“Jabatan tersebut perlu mempunyai satu sistem yang efektif bagi memaklumkan kepada individu yang diisytiharkan muflis lebih awal sebelum mereka dikenakan tindakan mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Biro Penyiasatan dan Pembangunan Insan PPIM, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied dan Pegawai Kerja PPIM, Mohd. Mustaffa Hamzah.

Dalam pada itu, Nadzim turut menyifatkan tiada komunikasi efektif antara pihak bank dengan Jabatan Insolvensi dalam menyampaikan maklumat kepada mereka yang diisytihar muf­lis.

“Hal ini dapat dilihat apabila ada di antara nama yang diisytihar muflis dan disiarkan dalam akhbar masih tidak mengetahui tentang perkara tersebut.

“Hasil pemantauan PPIM, sebanyak 60 peratus daripada kira-kira 170 kes muflis yang disiarkan dalam akhbar mengadu mereka tidak menerima sebarang dokumen daripada jabatan berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap suruhanjaya yang dicadang­kan tersebut dapat membantu memudahkan urusan dokumentasi sekali gus membebaskan individu terlibat daripada belenggu muflis.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...