Saturday, August 16, 2014

2099) BERITA HARIAN 15/8/2014 - PPIM harap ada dana tangani isu kesucian produk - PPIM



PPIM harap ada dana tangani isu kesucian produk

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berharap Bajet 2015 turut menyediakan peruntukan bagi menangani isu kesucian produk selain meningkatkan pengecualian cukai untuk barangan dan khidmat kesihatan.

Antara langkah dicadangkan ialah menambah makmal bertauliah untuk menjalankan ujian halal ke atas produk, manakala kadar pengecualian cukai bagi kos pembelian barangan kesihatan seperti ubat-ubatan serta insurans diri dan keluarga, dinaikkan.

PPIM juga menyarankan supaya bantuan khas tunai secara 'one off' kepada golongan memerlukan seperti orang kurang upaya (OKU), rakyat miskin termasuk pelajar dan miskin bandar serta pesara tentera tidak berpencen, turut diberikan perhatian.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Maamor Osman (gambar), berkata kerajaan perlu serius dan komited melindungi serta memperkasa kepentingan umat Islam, maruah agama dan institusinya seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya tiada keraguan terhadap kesucian produk.

Tumpuan khusus

"Peruntukan bagi menambah makmal bertauliah, contohnya bagi mengesan kehadiran DNA dalam produk perlu disegerakan, sekali gus dapat menyekat penyalahgunaan sijil halal," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata tumpuan khusus kepada langkah menangani peningkatan kos sara hidup dan meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah serta sederhana, termasuk miskin bandar perlu diberi perhatian dalam Bajet 2015.

"Lebih baik penekanan diberi kepada usaha menangani peningkatan kos sara hidup terutama memastikan subsidi dinikmati golongan sepatutnya. Selain itu, peruntukan bagi aktiviti hiburan perlu dikurangkan dan disalur untuk aktiviti lebih bermanfaat seperti keagamaan dan akademik," katanya.

Beliau juga berharap, gaji penguat kuasa undang-undang termasuk polis dikaji semula kerana kadar sedia ada masih di bawah paras miskin bandar dan tidak lagi relevan terutama bagi yang bekerja di kota besar, sekali gus menjejaskan produktiviti dan kualiti kerja mereka.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...