Saturday, August 16, 2014

2098) BERITA HARIAN 13/8/2014 - Perkasa pendidikan kepenggunaan - PPIM



Perkasa pendidikan kepenggunaan

Kuala Lumpur: Kelompok muda perlu didedahkan kepada aspek hak kepenggunaan bagi memastikan generasi masa hadapan mempunyai pengetahuan mengenai setiap isu yang berlaku.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata sudah terlambat bagi mendidik golongan dewasa kerana majoriti daripada mereka sudah menjadi komuniti pembeli selepas diterapkan fahaman itu sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun katanya, generasi muda masih boleh dididik dan diterangkan bagaimana hak kepenggunaan adalah milik mereka dan bagaimana orang ramai bertindak dalam berhadapan sesuatu isu.

"Terdapat banyak hak kepenggunaan diabaikan kerana kita tidak mengetahui, sudah tiba masanya kerajaan memperkasa pendidikan kepenggunaan terutamanya kepada generasi muda seawal dari peringkat sekolah rendah.

Komuniti berpengetahuan

"Hanya melalui pendekatan ini kita dapat melahirkan komuniti pengguna yang berpengetahuan serta mampu bertindak sekiranya berhadapan tekanan daripada pasaran yang menekan," katanya ketika dihubungi BH semalam.

Berikutan itu PPIM mencadangkan suatu peruntukan khusus diberi kerajaan pada pembentangan Bajet 2015 khusus kepada menjalankan kempen serta penerangan kepada kanak-kanak sekolah di seluruh negara.

Nadzim berkata, dalam berhadapan tekanan kenaikan harga barang, Bajet 2015 diharap tidak `bersikap' negatif seperti pengumuman kenaikan caj atau cukai yang boleh menyebabkan orang ramai terus terbeban.

"Pengguna sentiasa menyokong kepada perkembangan ekonomi negara tetapi berhadapan tekanan apabila berhadapan isu kenaikan harga barang yang melampau.

"Apa yang kita mahu kadar tol, caj bil utiliti, yuran sekolah memandu tidak dinaikkan dan yang baharu kerajaan diminta memberi tumpuan kepada kadar parkir di ibu negara yang mencecah RM15 sejam ketika ini," katanya.

Turut ditekankan adalah pemantauan kepada syarikat telekomunikasi yang mengenakan caj tambahan tanpa mendapat kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga `mengejutkan' pengguna yang menerima bil.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...