Saturday, August 9, 2014

2084) UTUSAN 9/8/2014 - Jadikan sekolah vernakular satu aliran - NGO - PPIM








Jadikan sekolah vernakular satu aliran - NGO

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kira-kira 400 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyarankan agar kerajaan menjenamakan semula sekolah vernakular di negara ini kepada Sekolah Kebangsaan 1Malaysia.

Penjenamaan semula itu menurut mereka akan dapat memperkukuhkan perpaduan antara kaum di Malaysia berpandukan kepada peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Negara melalui sistem pendidikan yang mantap demi masa depan semua.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kesemua NGO berkenaan juga mencadangkan agar satu jawatankuasa Kabinet ditubuhkan segera bagi membolehkan kerajaan menjalankan kajian mendalam dan terperinci mengenai saranan menjenamakan semula sekolah vernakular.

"Cadangan kami ini juga adalah sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang menekankan aspek pendidikan yang perlu bermula dari sekolah rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

"Dalam konteks ini, kesatuan dalam sistem pendidikan haruslah bermula di peringkat prasekolah agar PPPM 2015/2025 menjadi realiti," katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu di sini hari ini.

Turut hadir ialah wakil beberapa NGO iaitu Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin, Presiden Suara Guru Masyarakat Malaysia, Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari dan Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia, Dzulkarnain Taib.

Nadzim berkata, kerajaan perlu memandang serius persepsi rakyat yang melihat kewujudan sekolah vernakular di Malaysia sebagai sesuatu yang sudah tidak relevan dan lapuk di samping menjadi batu penghalang utama kepada penyatuan sistem pendidikan kebangsaan.

"Ia juga dianggap sebagai ancaman kepada perpaduan kaum yang menjadi tonggak terpenting kepada kestabilan dan keharmonian negara.

Sementara itu, Abdul Raof yang juga merupakan bekas pendidik serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Pelajaran berkata, soal perpaduan antara kaum berdepan dengan cabaran sekiranya sekolah vernakular terus wujud di negara ini.

Katanya, usaha beberapa pihak yang mahukan sekolah vernakular diganti dengan sekolah kebangsaan adalah langkah murni dengan satu matlamat iaitu meningkatkan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yang dilihat semakin menjurang pada masa kini.

"PPPM yang dirangka sudah cantik. Namun masih ada kumpulan yang tidak bersetuju dengan matlamatnya yang tidak lain adalah demi mengeratkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum kita.

"Desakan kita ini juga sebenarnya bukan mahu berkonfrontasi tetapi lebih kepada mencari penyelesaian secara baik terutama melalui perbincangan untuk mewujudkan sekolah satu aliran berbanding menambah bilangan sekolah vernakular," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Nor Izzat yang merupakan seorang guru berkata, pelaksanaan sekolah satu aliran sebenarnya akan dapat membantu pelajar menguasai bahasa kebangsaan dengan lebih baik.

"Adalah diakui bahawa penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar sekolah vernakular lemah," katanya.
Dzulkarnain dalam pada itu berkata, pihak NGO terlibat akan menubuhkan satu sekretariat bagi menilai semula sistem sekolah vernakular itu.

Katanya, sekreteriat yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat itu akan mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk bertemu dengan pihak kerajaan untuk mencadangkan berhubung perkara tersebut.

"Kami akan berjuang habis-habisan melalui cara yang sederhana dalam isu ini. Sistem persekolahan vernakular pada hari ini perlu dikaji dan dinilai semula dengan penuh teliti," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140809/dn_15/Jadikan-sekolah-vernakular-satu-aliran---NGO#ixzz39rK69zbU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...