Thursday, August 7, 2014

2080) UTUSAN 7/8/2014- Splash bernilai RM2.5b, bukan RM250j - PPIM





Splash bernilai RM2.5b, bukan RM250j


KUALA LUMPUR 6 Ogos - Nilai harta bersih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash), berjumlah RM2.23 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013 dan dijangka meningkat hampir kepada RM2.5 bilion dalam tempoh sembilan bulan sehingga 31 Disember 2013.

Pengerusinya, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah (gambar) berkata, Splash juga mempunyai tempoh konsesi yang masih belum lupus selama 16 tahun dengan pengiraan kasar aliran tunai tidak dipotong (Discounted Cash Flow) kira-kira RM1.4 bilion.

Oleh itu katanya, nilai sebenar syarikat Splash adalah RM3.9 bilion dan bukannya RM250 juta seperti yang dinyatakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, sekiranya Splash dijual pada harga RM2.5 bilion, maka mereka terpaksa mengorbankan 16 tahun konsesi tanpa sebarang pampasan.

"Nilai syarikat Splash sebanyak RM2.23 bilion bukannya satu angka rekaan saya tetapi merupakan apa yang tersurat dalam akaun kami yang telah diaudit oleh satu firma bebas dan profesional," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan meminta Splash tampil memberi penjelasan sama ada syarikat konsesi air itu bernilai RM250 juta dan bukannya RM2.5 bilion seperti yang didakwa beberapa pihak bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Isu berkenaan timbul ekoran daripada kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pemuda Pakatan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb), Norizwan Mohamed pada 26 Julai lalu yang meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab tuduhan mengatakan beliau telah mengarahkan Menteri Besar Selangor supaya membeli Splash pada harga RM2.5 bilion berbanding tawaran asal sebanyak RM250 juta.
Terdapat beberapa dakwaan yang turut mengaitkan keengganan Abdul Khalid memenuhi permintaan itu menyebabkan desakan daripada PKR untuk beliau berundur daripada jawatannya dan digantikan dengan Presiden parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pada itu, penstrukturan semula urusan pengambilalihan syarikat konsesi telah dimulakan dan Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mengemukakan tawaran pengambilalihan kepada pemegang saham empat syarikat konsesi iaitu Konsortium Abbas Sdn. Bhd. (Abbas), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn. Bhd. (Puncak Niaga) dan Splash. Bagaimanapun pengambilalihan Splash belum dimuktamadkan.

Namun, Perjanjian Dasar Induk (HOA) berhubung penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor tidak akan terjejas tanpa penyertaan Splash kerana syarikat itu hanya mengendalikan sebuah loji manakala Puncak Niaga menguruskan 27 loji dan Syabas pula menyalurkan air untuk semua penduduk.

Wan Azmi menjelaskan, Splash pernah menerima satu tawaran daripada kerajaan Selangor yang bernilai RM1.6 bilion pada 2009 dan kesemua pemegang saham bersetuju menerima tawaran tersebut.

"Tetapi malangnya, kerana dua syarikat konsesi lain iaitu Puncak Niaga dan Syabas telah menolak tawaran yang dibuat untuk membeli syarikat mereka, akibatnya kerajaan Selangor gagal meneruskan pembelian Splash.

"Saya kira pendirian saya (30 peratus) dan Gamuda (40 peratus) untuk menolak tawaran KDEB bukanlah satu perkara yang luar biasa. Dalam urus niaga, prinsip kerelaan membeli dan menjual perlu dihormati. Tawaran yang tidak melebihi 10 peratus nilai harta bersih sudah tentunya tidak masuk akal dan perlu ditolak," katanya.

Beliau juga melemparkan persoalan kepada KDEB tentang tindakannya membeli sebuah syarikat yang jelas sudah tenat dan berada di ambang kemuflisan secara tergesa-gesa dengan menawarkan harga berjumlah RM441 juta.
"Adalah perlu saya kaitkan tawaran yang dibuat kepada Syabas. Akaun syarikat hingga 31 Disember 2013 yang diaudit menunjukkan nilai ekuiti negatif berjumlah RM2.04 bilion.

"Ini selepas tuntutan hasil sejumlah RM3.5 bilion yang merupakan kenaikan tarif yang telah pun ditolak kerajaan Selangor. Oleh itu, ekuiti negatif Syabas boleh diletakkan pada anggaran RM5.6 bilion. Tetapi mengapa KDEB perlu tergesa-gesa membeli syarikat yang hampir muflis ini?" tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20140807/ko_01/Splash-bernilai-RM2.5b,-bukan-RM250j#ixzz39fnQcjHB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...